Awal bulan lalu, pasukan tentera
Perancis telah dikerah ke Mali, Afrika Barat untuk menyekat kemaraan kumpulan
militan yang telah menawan kebanyakan bandar di negara itu sejak April lalu.
Campur tangan tentera Barat itu kononnya
bertujuan untuk membebaskan negara tersebut dari cengkaman militan.
Tetapi, apakah matlamat sebenar mereka?
Apakah yang menarik perhatian tentera
asing ini untuk campur tangan di Mali?
Mali hanya salah sebuah negara miskin
di Afrika yang dikelilingi gurun tetapi krisis yang
berlarutan hampir setahun
telah menarik perhatian
negara Barat.
Selain itu, negara tersebut tidak
mungkin menjadi penjana serantau kerana ia bukan penyumbang utama kepada
ekonomi dunia.
Ia juga bukan sebuah negara yang kaya
dengan minyak atau gas asli tetapi saiznya hampir dua kali ganda lebih besar
dari Perancis tanpa kawalan ketat di sempadan dikatakan memberi satu kelebihan
kepada kumpulan militan untuk keluar dan masuk dengan bebas di Mali.
Negara jiran Mali seperti Niger dan
Mauritania turut terkena tempias dan berhadapan dengan masalah kegiatan militan
yang didakwa bersekongkol dengan Al-Qaeda.
Difahamkan, pada era 1990-an,
penindasan kumpulan militan di rantau itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya
100,000 nyawa.
Tahap keselamatan yang rendah di Mali
termasuk di kebanyakan Afrika Barat telah memberi peluang kepada kumpulan
ekstremis dan kumpulan jenayah bertapak merentasi Mediterranean hingga utara
Nigeria.
Antara kumpulan militan yang aktif
beroperasi di rantau itu adalah Al-Qaeda di Maghreb (Aqim), Pergerakan Individu
dan Jihad di Afrika Barat (Mujao), Ansar Dine dan Boko Haram.
Kegiatan penyeludupan senjata secara
berleluasa oleh kumpulan militan di utara Mali hingga mewujudkan persekitaran
tidak selamat di rantau itu pernah disuarakan oleh Menteri Pertahanan Algeria,
Abdelmalek Guenaizia.
Kejatuhan bekas pemimpin Libya, Muammar
Gaddafi juga dipercayai menjadi punca
senjata boleh diperoleh dengan mudah menerusi pasaran gelap di seluruh Afrika
Utara.
Sebelum ini, agensi perisikan Barat
percaya kumpulan militan seperti Aqim mempunyai senjata canggih termasuk peluru
berpandu antipesawat sebagai persediaan untuk menghadapi musuh.
Krisis dan segala kekacauan di Mali
didalangi kumpulan pemisah Tuareg (penyokong kuat Gaddafi) yang didakwa
mempunyai kaitan dengan Al- Qaeda pada Januari tahun lalu.
Kira-kira dua bulan selepas itu, sekumpulan askar Mali yang berpaling tadah
menggelar diri mereka sebagai Jawatankuasa Kebangsaan bagi Penubuhan Demokrasi
(CNRDR) pula merampas kuasa daripada Presiden Amadou Toumani Toure dan turut
menggantun Perlembagaan negara tersebut.
Selain itu, Ansar Dine di bawah pimpinan Iyad ag Ghali dari puak pemisah
Tuareg turut mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan politik di negara
itu dan berjaya menawan beberapa bandar termasuk Timbuktu daripada kawalan
tentera kerajaan.
Mereka turut mengenakan beberapa
peraturan ketat seperti mengharamkan muzik dan menjatuhkan hukuman berat
terhadap individu melakukan kesalahan moral selepas menguasai kawasan di utara
negara tersebut.
Menjelang musim bunga tahun lalu, Mali
Utara telah menjadi wilayah terbesar di dunia yang dikawal oleh kumpulan
militan.
Konflik itu juga telah menjerumuskan
Mali ke dalam krisis kemanusiaan yang menyaksikan ratusan ribu penduduk hilang
tempat tinggal dan terpaksa menjadi pelarian.
Lebih 50,000 penduduk yang mendapat
perlindungan di kem pelarian Mauritania juga terdedah dengan masalah kebuluran
dan dijangkiti wabak penyakit malaria serta cirit-birit.
Selain itu, kira-kira 200,000 orang
turut melarikan diri ke selatan untuk menyelamatkan diri daripada menjadi
mangsa keganasan kumpulan militan.
Bagaimanapun, operasi besar-besaran
dalam masa singkat yang mendapat bantuan tentera Perancis berjaya merampas semula beberapa bandar utama
di tengah dan utara Mali serta Timbuktu, sebuah kawasan diiktiraf sebagai Tapak
Warisan Dunia Unesco.
Tentera mendakwa kumpulan militan kini
berpecah dalam kumpulan kecil dan kebanyakannya telah melarikan diri ke kawasan
pergunungan.
Beberapa pihak berpendapat Barat
menjadikan operasi itu sebagai eksperimen untuk menguji keberkesanan tindakan
ketenteraan bagi menumpaskan kumpulan militan di rantau tersebut.
Tetapi, adakah strategi gabungan
tentera tersebut benar-benar berhasil dan berjaya menamatkan kesulitan dan
konflik bersenjata di Mali? – CNN
Pelarian di Tanah Air Sendiri |
Krisis makanan sejak 10 bulan lalu |
No comments:
Post a Comment