Sebut saja tarian samba, pastinya fikiran terus terarah
kepada gaya permainan bolasepak pasukan Brazil yang terkenal itu. Realitinya
pasukan Brazil sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap peminat bolasepak di
seluruh dunia kerana ingin melihat gaya permainan menarik yang seronok untuk
ditonton.
Samba merupakan tarian dan genre muzik Brazil yang
berasal di Bahia dengan berakar di Brazil (Rio De Janeiro) dan Afrika via
perdagangan hamba Afrika Barat dan tradisi agama Afrika. Ia diiktiraf di serata
dunia sebagai simbol Brazil dan Karnival Brazil. Dianggap sebagai salah satu
ekspresi budaya Brazil paling popular, samba telah menjadi ikon identiti
nasional Brazil.
DENGAN kaki yang panjang dan tubuh badan yang
menggiurkan, sambil mengenakan bulu-bulu burung panjang di belakang serta
hiasan kepala, ribuan wanita memenuhi ibu kota Rio de Janeiro, Brazil pada awal
tahun untuk Karnival Samba.
Menjadi karnival tradisi yang membawa jutaan pelancong
asing memenuhi jalan-jalan sekitar ibu kota itu, wanita-wanita seksi akan
bergelek samba sepanjang malam mengikut rentak muzik serta tarian mereka.
Namun, pesta tersebut bukan hanya menekankan kepada wanita
erotik semata-mata kerana ia juga sebenarnya menggabungkan muzik, tema
persembahan yang melibatkan ribuan penari, keindahan kereta berhias dan banyak
lagi.
Diiktiraf sebagai antara parti perarakan terbesar di
dunia, ia biasanya bukan berlangsung untuk dua atau tiga jam, sebaliknya
kehangatan gelekan samba itu akan berlangsung selama dua atau tiga malam.
Tahun ini, Karnival Samba berlangsung selama empat malam
dari 9 Februari lalu yang mengumpulkan enam juta pengunjung.
Menghangatkan lagi termometer karnival itu, pertandingan
perarakan samba terbaik antara sekolah-sekolah samba seluruh Brazil turut
diadakan pada malam terakhir.
Tahun ini, sebanyak 12 buah sekolah beraksi. Menariknya,
persembahan mereka tidak hanya membawa imej seksi semata-mata apabila ia
disatukan dengan kareografi kreatif.
Persembahan samba dari Sekolah Mangueira contohnya,
memukau pengunjung dengan dedikasi khas untuk salah satu kota Brazil, Cuiaba
yang kaya dengan alam semula jadi.
Ribuan penari dari Sekolah Mangueira tampil dengan kostum
merah jambu dan hijau dengan hiasan kepala menyerupai semut, ikan, ular dan
burung.
Karnival tahun ini juga menyaksikan samba memasukkan
elemen Asia apabila menjemput pereka fesyen Jepun, Junko Kashino yang turut
menghasilkan busana pada perarakan itu.
Tidak ketinggalan, seorang peserta lelaki turut tampil
menyerupai Psy, sambil membuat tarian Gangnam Style.
Sumber:Kosmo.com
No comments:
Post a Comment