Tuesday, February 19, 2013

Amah Hempas Bayi ke Penjara 20 Tahun

 
Tidak tahu apa puncanya Amah ini telah naik hantu
Tidak ada sifat manusia pada Amah ini
Apa dosa bayi 4 bulan yang baru kenal dunia itu

Upah dibayar.. Tempat tinggal, makan dijaga
Apa lagi yang tidak cukup?
Hanya Amah itu yang tahu jawapannya.

Dari pengalaman lalu, Untuk Ibu dan bakal Ibu, Bayi menangis hanya 3 sebab.
1)  Lapar
2) Mengantuk
3) Sakit



Liputan dari TV3





   
'Saya serik ambil pembantu rumah'
KUANTAN 17 Feb. - Ibu kepada bayi berusia empat bulan yang dilambung sehingga cedera di tangan dan kakinya di Bukit Setongkol di sini kelmarin memberitahu, dia serik untuk mengambil khidmat pembantu rumah lagi.

Nina Suraya Sulaiman, 24, berkata, dia dan suami turut bimbang untuk menghantar Mohamed Harez Mohd. Zamri ke mana-mana pusat asuhan kanak-kanak kerana trauma dengan kejadian menimpa anaknya itu.

"Anak saya telah dibenarkan keluar wad hari ini dan esok saya akan bawa semula ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk pemeriksaan keseluruhan badan terutama di kepala kerana bimbang ada pendarahan dalaman.

"Kesan lebam dan bengkak di badan anak saya sudah mula surut. Saya serik dan tidak akan gunakan lagi khidmat pembantu rumah selepas ini, biarlah ini menjadi yang pertama dan terakhir," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, polis menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa melambung anak majikannya sehingga cedera di tangan dan kaki.

Berita Terkini...

Pembantu rumah dera bayi dipenjara 20 tahun
KUANTAN - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sejumlah 20 tahun ke atas seorang pembantu rumah warga Indonesia selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia empat bulan, Jumaat lalu.

Hakim Mohd Azhar Othman memutuskan hukuman itu memandangkan kesalahan yang dilakukan Yuliana, 23, amat serius dan mendatangkan kesan besar bukan sahaja kepada keluarga mangsa tetapi masyarakat di seluruh dunia.

"Perbuatan kamu telah menyebabkan masyarakat menjadi takut dan tidak tenteram apabila meninggalkan anak kepada pembantu rumah.

"Mahkamah berpendapat hukuman ini setimpal dan dapat memberi pengajaran kepada kamu dan masyarakat," katanya.

Yuliana berasal dari Sukarame, Acheh bekerja tidak sampai sehari sebagai pembantu rumah dengan keluarga mangsa.

Ini dia Orangnya...
 


Bagi pertuduhan pertama, ibu kepada dua anak itu didakwa menghempas dan melambung Mohamed Hareez Mohamed Zamri sebanyak sembilan kali yang boleh mendatangkan kematian kepada mangsa pada 7.45 pagi, 15 Februari lepas di kediaman ibu bapa mangsa di nombor 7, Lorong Bukit Setongkol 38, Jalan Bukit Setongkol di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, pada tempat dan masa yang sama, dia didakwa menganiaya Mohamed Hareez dengan tujuan mendatangkan kecederaan yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima tahun penjara untuk kesalahan kedua.

Bagaimanapun Mohd Azhar memutuskan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dan dia hanya perlu menjalani hukuman penjara 15 tahun dari tarikh tangkapan iaitu pada hari kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamed.

Mengikut fakta kes, pada 7.45 pagi pada hari kejadian, ibu bapa mangsa yang sedang bersarapan di sebuah kopitiam di sini terkejut apabila melihat bayi sulung mereka dilambung dan dihempas pembantu rumah melalui rakaman kamera litar tertutup di telefon bimbit bapa mangsa.

Berikutan itu, ibu mangsa, Nina Suraya Sulaiman, 24, segera menghubungi jiran supaya pergi menyelamatkan anaknya sebelum kedua-dua mereka bergegas pulang.

Bapa mangsa kemudiannya menghubungi polis dan tertuduh ditahan pada 9.15 pagi.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju lokap bewarna ungu tidak menunjukkan sebarang reaksi atau riak wajah ketika menyaksikan rakaman CCTV perbuatannya yang dipertontonkan kepadanya di dalam mahkamah menerusi komputer riba.

Dia bagaimanapun menitiskan air mata ketika diminta mengemukakan rayuan hukuman dan berkata: "Saya takut".

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamed. - Bernama




No comments:

Post a Comment