Saturday, February 16, 2013

Profile: Zhang Ziyi



Zhang Ziyi

Zhang Ziyi selesa pilih laluan bersih memacu bakat sebagai pelakon.

Melewati lebih sedekad sebagai insan seni, lunak bicara Zhang Ziyi dibaluti bait perkataan matang, menterjemahkan sisi dirinya yang masih kental memegang adat tanpa sesekali membiarkan ia hakis ditelan masa.

“Ramai memilih laluan tidak baik ketika berusaha mencari diri. Namun itulah realiti dunia seni - ia bukan sebuah dunia yang bersih,” kata Ziyi, ikon industri perfileman China yang terpaksa bergelut dengan pelbagai tafsiran umum sejak serius menceburkan diri di layar lebar pada 1999.

Dua personaliti

Aktres kelahiran Beijing berusia 33 tahun itu berkata, setiap manusia dikurniakan dua sisi personaliti berbeza sama ada kental atau lembut.

Pegangan itu juga kata Ziyi, menjadi titik tolak yang menyerlahkan kekuatan dan pesona dirinya apabila beraksi di layar perak..

Serlah persona

Pegangan itu juga kata Ziyi, menjadi titik tolak yang menyerlahkan kekuatan dan pesona dirinya apabila beraksi di layar perak.

“Setiap kali menjiwai watak kental, sebahagian daripada kekuatan itu ada dalam diri saya. Begitu juga apabila memainkan peranan yang penuh kelembutan. “Setiap aspek diri saya ada dalam karakter yang saya jayakan,” katanya.

Menjalani latihan sebagai penari sejak berusia 11 tahun, Ziyi menghabiskan masa selama enam tahun untuk menguasai tarian tradisional Cina, sebelum mendalami klasik balet. Namun seperti yang sering diucapkan dalam beberapa temubual sebelum ini, Ziyi selalu berasakan tarian tidak menjanjikan masa depan gemilang buat dirinya.

“Mungkin ia hanya perasaan saya ketika itu tetapi apabila menoleh semula laluan yang pernah dilalui saya tidak membuat pilihan yang salah.




Beralih profesion

“Beralih profesion daripada tarian kepada lakonan adalah pilihan yang tepat. Saya merasai kepuasan luar biasa setiap kali berlakon tetapi tidak ketika menari,” katanya yang ditawarkan watak utama dalam The Road Home yang menjulang anugerah perak di Berlin Film Festival pada 1999.

Tiada siapa menduga, perjalanan yang direntasi sejak berusia 19 tahun mampu membawa langkahnya hingga menerjah pasaran antarabangsa. Semua itu kata Ziyi, berlaku secara semula jadi kerana dia tidak pernah merencana perjalanan dan laluan kerjaya seninya.

“Selepas The Road Home, saya ditawarkan untuk membintangi Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) diikuti Rush Hour 2 (2001).

Ia berlaku terlalu pantas, setiap satu seperti tersusun indah. Saya tidak pernah terfikir segala kemungkinan itu,” katanya.

Sejurus selepas menjayakan House Of The Flying Daggers pada 2004, Ziyi mengukuhkan lagi profil dirinya di Hollywood menerusi dua filem iaitu Memoirs of a Geisha dan Horseman.

Ziyi berkata, dia terhutang budi kepada Wong Kar-wai yang banyak membantunya dalam mengukuhkan profil lakonannya sejak kali pertama berkolaborasi dalam filem romantik drama, 2046. Keakraban yang terbentuk ketika menyertai Festival Filem Cannes, membuatkan Ziyi tidak lagi melihat Kar-wai sebagai pengarah sebaliknya sebagai mentor dan sahabat.

“Tidak kira bagaimana proses dan hasilnya, Kar-wai pada mata saya seorang yang bijaksana. Dia hanya satu dan tidak ada bandingnya. “Mungkin kerana itu, saya tidak pernah peduli sama ada dia memberikan skrip atau sebaliknya ketika ditawarkan berlakon di bawah arahannya.

“Sekiranya kamu mempercayai seseorang, serahkan saja kepadanya untuk menguruskan semua itu,” katanya. Atas kepercayaan itu, khalayak lebih mengenali Ziyi sebagai seorang pelakon yang begitu berhati-hati dalam pemilihan watak.

Utamakan karakter “Saya mengutamakan karakter yang menggerakkan saya, berbeza filem arahan Kar-wai kerana saya akan pantas memberikan persetujuan tanpa terlebih dulu melihat skrip. “Sama seperti The Grandmaster yang ditayangkan Januari lalu. Saya memberikan persetujuan tanpa melihat skrip kerana apa yang utama adalah kepercayaan.

“Cara kami bekerja juga unik. Pembangunan karakter dan keserasian antara watak dilakukan ketika di set penggambaran. “Pada permulaan, banyak babak yang menuntut saya meluahkan emosi.

Dalam proses itu, kami menyedari watak itu adalah sebaliknya. “Pada akhirnya, babak menangis yang dilakonkan hanya sia-sia kerana ia perlu ditangani dengan cara berbeza. Sepanjang penggambaran, kami cuba mencari arah dan personaliti karakter berkenaan,” katanya.




Dugaan getir

Akur dirinya sebagai fokus masyarakat, Ziyi tidak dapat mengelak daripada berterusan mangsa fitnah yang cuba merosakkan reputasinya di mata dunia. Paling menyakitkan laporan media pada Mei lalu yang mendakwa dia menerima bayaran RM340 juta untuk tidur bersama bekas pegawai atasan Parti Komunis, Bo Xilai antara 2007 dan 2011.

Dakwaan itu bermula daripada sebuah laman sesawang berbahasa Cina yang berpangkalan di Amerika Syarikat, sebelum disebarkan oleh tabloid dari Hong Kong, Apple Daily.

Mereka cerita

“Mungkin kerana saya tidak begitu rapat dengan penggiat media di Hong Kong, membuatkan mereka dengan mudah memetik kata-kata saya atau mereka-cipta cerita hanya berdasarkan foto yang diperoleh.

“Mereka tidak pernah berputus asa, malah akan sentiasa mereka-reka cerita mengenai saya. Setiap kita melihat sesuatu dari sudut berbeza, mungkin mereka mahu melihat saya di rumah supaya lebih dekat dan dihargai.

“Tetapi saya bekerja dalam dunia yang berbeza, malah tidak pernah berharap semua orang akan menghargai apa yang saya lakukan,” katanya.


No comments:

Post a Comment