Kita kerap kali mendengar istilah wasatiyyah yang
diterjemahkan secara bahasa sebagai sederhana dan moderat tidak melampau.
Konsep tersebut amat menarik perhatian ramai betapa indah ajaran yang dibawa
oleh Islam. Hal ini kerana konsep sederhana merupakan ajakan yang amat memikat
manusia secara fitrah supaya bersama dengan Islam. Cuma, yang berlaku ialah
kita hanya pandai memetik istilah tersebut kemudian menghuraikannya dengan akal
mentah semata-mata. Akhirnya mesej sederhana acuan wahyu gagal difahami oleh
kita semua.
“Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Islam), sebagai
umat pertengahan. Agar kamu menjadi saksi ke atas manusia yang lain dan agar
Rasul menjadi saksi atas perbuatan kamu.” (Surah al-Baqarah : ayat 142)
Makna Wasatiyyah
Wasatiyyah dari sudut bahasa diertikan sebagai sederhana,
tidak melampau dan moderat. Al-Imam Dr Yusuf al-Qaradhawi telah menyenaraikan
beberapa makna sebenar yang terkandung di dalam konsep wasatiyyah.
Umat Yang Adil
Diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri rekod Imam Bukhari
dan Imam Ahmad, maksudnya:
“Sesungguhnya Nabi
SAW telah mentafsirkan wasatiyyah dengan keadilan.” (Riwayat al-Bukhari)
Fitrah manusia sememangnya tertarik dengan ajakan
keadilan kerana ia tuntutan universal. Sama ada non muslim atau atheis,
semuanya mengaku ingin menegakkan keadilan. Cuma resipi untuk berlaku adil
hanya diajar oleh Islam melalui petikan ayat al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah
memerintah (kamu agar) berlaku adil dan ihsan...” (Surah al-Nahl : ayat 90)
Manakala Nabi SAW telah menerangkan ehsan, maksudnya:
“Kamu hidup
mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihat Allah. Namun sekiranya
kamu tidak mencapai ke tahap itu, kamu perlu yakin bahawa Dia melihat kamu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ihsan dalam erti kata lain ialah peka dengan dosa pahala
serta sensitif dengan pengawasan Allah. Bermakna golongan yang tidak menerapkan
konsep dosa dan pahala di dalam segenap urusan mereka pasti akan gagal membawa
keadilan. Seterusnya memahamkan kita bahawasanya barangsiapa yang tidak
sensitif dengan dosa pahala bukanlah dalam kalangan mereka yang mendukung
agenda wasatiyyah.
Rasulullah SAW menegaskan konsep keadilan yang memerangi
amalan diskriminasi sebagai tanda betapa serius Islam menaja keadilan untuk
semua. Baginda dengan tegas telah bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya
rosaknya generasi yang terdahulu, sikap mereka apabila golongan bangsawan
mencuri, mereka biarkan. Apabila golongan bawahan mencuri, mereka kenakan
hukuman. Demi Allah jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku
sendiri yang akan potong tangannya.”
Keadilan hanya dapat dicapai apabila setiap lapisan
masyarakat diasuh agar peka dengan dosa pahala. Hasil daripada penerapan
tersebut, barulah diskriminasi dapat dihapuskan secara menyeluruh.
Umat Yang Konsisten
Bermakna terpelihara daripada kemungkaran dan
penyelewengan. Pemahaman ini diambil dari ayat:
“Tunjukkanlah kami
jalan yang lurus. Jalan yang engkau beri nikmat, bukan jalan golongan yang
dimurkai dan bukan jalan golongan yang sesat.” (Surah al-Fatihah : ayat 6-7)
Jalan yang lurus ialah jalan yang sederhana tidak
melampau. Imam Ahmad telah meriwayatkan bahawa Baginda Nabi SAW telah
menafsirkan bahawa golongan yang dimurkai adalah Yahudi dan yang sesat adalah
Kristian.
Prinsip wasatiyyatul Islam ialah dengan konsisten tidak
mengikuti kegagalan Yahudi dan Kristian. Golongan Yahudi dimurkai kerana
ketagihan melakukan mungkar sehingga membunuh nabi mereka. Manakala sesatnya
Kristian kerana ketagihan melakukan bidaah sehingga mendewakan nabi mereka ke
tahap tuhan.
Maka wasatiyyah acuan Islam yang diperakui syarak
bermakna tidak melakukan perkara mungkar dan menjauhi perkara bidaah melampau
yang menyesatkan.
Umat Contoh
“...Agar kamu
menjadi saksi ke atas manusia...” (maksud petikan daripada surah al-Baqarah :
ayat 143)
Umat "Wasatha" bermaksud umat pertengahan.
Perkara ini dibuktikan keadaan geografi negara-negara yang didiami oleh umat
Islam berada di tengah-tengah peta dunia. Mereka tidak berada di hujung utara
dan tidak juga berada di hujung selatan. Umat Islam telah ditakdirkan secara
geografi berada di tengah-tengah masyarakat dunia supaya memudahkan ajaran
Islam itu berkembang pesat.
Begitu juga umat pertengahan bermaksud umat yang sentiasa
diperhatikan untuk dijadikan sebagai contoh. Cuba pembaca bayangkan seseorang
yang duduk di tengah-tengah lingkungan manusia. Sudah pasti dia akan
diperhatikan di segenap penjuru oleh orang ramai kerana posisinya berada di
tengah-tengah. Apabila sedar diperhatikan, sudah tentu dia akan berusaha menunjukkan
tingkah laku yang terbaik.
Justeru maksud Umat Pertengahan adalah umat yang wajib
menjaga tingkah laku supaya mereka dicontohi.
Umat Yang Kuat
Apabila kita berinteraksi dengan sunnah Allah,
pertengahan merupakan satu kedudukan yang terkuat. Al-Imam Dr Yusuf
al-Qaradhawi telah mengajak kita berfikir, “Apakah kalian tidak memerhatikan,
umur muda merupakan umur yang terkuat. Golongan muda berada di tengah-tengah
julat umur manusia. Mereka hidup di pertengahan antara dua kelemahan. Yakni
kelemahan kebudak-budakan dan kelemahan si tua bangka. Begitu juga cuba kalian
perhatikan kejadian matahari. Pancarannya yang paling kuat adalah ketika
tengahari.”
Maka konsep wasatiyyah di dalam Islam bermakna umat yang
membina kekuatan dan membiaskan segala yang dimiliki untuk mentuankan Islam di
atas muka bumi. Bukanlah makna wasatiyyah umat yang lemah dan mandom, dilihat
tiada upaya mempertahankan agama sendiri.
Lawan Bagi Wasatiyyah
Untuk mengenali putih, kita perlu mengenali hitam. Begitu
juga untuk mengenali sederhana, kita perlu mengenali makna melampau. Di dalam
al-Quran, Allah mengistilahkan ‘taghut’ sebagai melampaui batas.
Saidina Umar menyatakan bahawasanya taghut merupakan syaitan
yang menyesatkan manusia. Sama ada dalam kalangan jin mahupun manusia yang
dikenali. Manakala Imam Malik mendifinisikan taghut sebagai apa-apa yang
disembah melainkan Allah.
Adapun Imam Ibnu Qayyim menerangkan taghut sebagai setiap
sesuatu yang melampaui batas. Sehingga diutamakan atau diikuti atau ditaati
lebih daripada Allah. Maka mana-mana golongan yang berhukum selain daripada
yang digariskan oleh Allah dan Rasul adalah taghut.
Di dalam al-Quran, Allah menyatakan taghut boleh jadi
dalam kalangan individu manusia biasa:
“Pergilah kepada
Firaun, sesungguhnya dia sudah melampau (taghut).” (Surah Taha : ayat 24:
Begitu juga Allah telah menyatakan taghut sebagai
ideologi yang bertentangan daripada taat kepada Allah. Firman Allah Taala,
bermaksud:
“Sesungguhnya pasti
kami utuskan untuk setiap umat, Rasul (yang akan memastikan) kamu menyembah
Allah dan menjauhi taghut...” (surah an-Nahl : ayat 26)
Ada juga di dalam al-Quran Allah menegaskan bahawa
undang-undang yang bercanggah dengan ajaran Nabi SAW sebagai taghut:
“Apakah kamu tidak
memperhatikan golongan yang mengaku dirinya telah beriman dengan apa yang
diturunkan kepadamu dan dengan apa yang diturunkan kepada orang sebelum kamu?
(tiba-tiba) Mereka mahu berundang-undangkan taghut, padahal mereka telah
diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa
hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah al-Nisa’
ayat 60)
Jelas di sini, lawan bagi sederhana adalah melampau yang
diistilahkan oleh Allah sebagai taghut. Maka sebelum mencanangkan konsep
wasatiyyah, kita perlu pastikan kita bukanlah daripada kalangan orang yang
dicop oleh Allah sebagai taghut.
Wasatiyyah Yang Disalahfahami
Yang berlaku kini, ramai yang gemar memetik
istilah-istilah yang telah diperkenalkan oleh al-Quran. Contohnya konsep
wasatiyyah. Tetapi mereka amat degil untuk merujuk nas wahyu tentang apa
sebenarnya kehendak konsep ideal yang dicanangkan. Akhirnya mereka mentafsirkan
konsep yang diperkenalkan oleh al-Quran tanpa merujuk al-Quran. Oleh itu, jika
dilihat ramai yang beranggapan Islam adalah agama sederhana diterjemahkan
dengan tidak terlalu baik dan tidak terlalu jahat. Dipilih-pilih ajaran Islam.
Mana yang dilihat sesuai dengan kehendak nafsu baru timbul selera untuk diikuti.
Dr Yusuf al-Qaradhawi telah menyatakan pemahaman cacat
umat Islam terhadap agama mereka dengan, “Ramai
umat Islam yang beranggapan bahawa Islam sebagai agama yang sejahtera tetapi
tiada jihad. Islam sebagai agama yang ada akidah tetapi tiada undang-undang.
Islam sebagai sebuah agama tetapi dinafikaan hak untuk bernegara. Islam sebagai
agama yang benar tetapi tiada ruang untuk mempertahankan kebenaran. Islam yang
ada al-Quran tetapi tiada pedang.”
Jika dilihat realiti yang berlaku, inilah pemahaman umat
Islam terhadap agama mereka. Inilah sederhana bagi mereka. Maka dicanang
istilah wasatiyyah, sedangkan yang ditegakkan adalah taghut. Yang disebut-sebut
Islam sederhana, sedangkan merekalah petualang yang melampau menolak Islam.
Allah Taala telah menegaskan perbuatan cakap tidak serupa bikin dengan ayat:
“Mengapa kamu suruh
orang melakukan kebajikan, sedangkan kamu lupa keadaan diri kamu padahal kamu
membaca al-Kitab. Apakah kamu tidak berakal?” (Surah al-Baqarah : ayat 44)
Hari ini mereka menyambut Maulid al-Rasul, minggu depan
mereka sambut Psy dengan Gangnam Style. Ghairah dilagukan al-Quran, pada masa
yang sama turut ghairah menafikan hak al-Quran untuk dilaksanakan. Di stesen
televisyen beberapa ketika ada kuliah agama, yang berbaki kempen hedonisme.
Dibanggakan Islam agama rasmi, namun dicari sumber lain sebagai solusi.
1001 contoh lagi yang boleh difikirkan oleh pembaca untuk
membuktikan betapa cacatnya pemahaman umat Islam terhadap konsep sederhana.
Lihat realiti sekeliling, itulah kesan perang pemikiran yang menjajah minda dan
pemikiran umat Islam, sehingga mereka tidak mengerti apa yang dianjurkan oleh
agama mereka sendiri.
Solusi
Terjemahkan wasatiyyah dengan bahasa wahyu, bukan bahasa
nafsu. Kembalikan pemahaman sebenar wasatiyyah acuan syarak. Sederhananya Islam
yang kita anuti bermaksud teliti menegakkan keadilan, pada masa yang sama
menafikan diskriminasi. Berusaha menunjukkan contoh teladan kepada penganut
agama yang lain. Memerangi mungkar, menjauhi penyelewengan terhadap pemahaman
agama. Seterusnya konsisten merujuk al-Quran dan al-Hadis, membina kekuatan
umat guna untuk mendaulatkan Islam. Itulah sederhana Islam yang dibawa oleh
Nabi SAW.
Kredit buat: Abdul Mu’izz bin Muhammad
No comments:
Post a Comment