Utamakan pemimpin diyakini rakyat
Kempen
patut berlandaskan kualiti peribadi bukan taktik kotor malukan individu
Segala
kekuasaan dan kemuliaan itu adalah hak mutlak Allah SWT. Dia berhak memberi
kuasa pemerintahan dan kemuliaan kepada sesiapa saja yang dikehendaki dan
menarik balik semua itu daripada sesiapa dikehendaki.
Allah SWT
berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan (Allah) yang mempunyai
kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa
yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada
sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang
Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.
Dalam kekuasaan Engkaulah saja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Ali-Imran, ayat 26)
Jangan memburukkan lawan
Pendekatan
memburukkan orang lain bagi mencapai apa juga matlamat, jauh berbeza dengan
pendekatan yang digunakan Rasulullah SAW ketika melancarkan kempen Islam kepada
penduduk Yaman.
Tambahan
pula terdapat golongan intelek terdiri daripada ahli kitab dalam kalangan
penduduk Yaman itu. Dalam hal ini, Rasulullah SAW tidak menggunakan pendekatan
mendedahkan atau menyebarkan kesesatan dan keburukan agama sedang dianuti
penduduk Yaman ketika itu.
Sebaliknya
Baginda memulakan sesuatu kempen dengan menonjolkan kekuatan dan kualiti
peribadi pemimpin yang ditugaskan untuk berkempen iaitu Mu‘az bin Jabal.
Maksudnya, Baginda cuba membina kepercayaan dalam diri pihak yang dikempen
(penduduk Yaman) terhadap Mu‘az bin Jabal.
Menerangkan
mengenai diri Mu‘az bin Jabal yang diutuskan itu, Rasulullah SAW telah menulis
sepucuk surat kepada penduduk Yaman. Dalam surat itu Baginda SAW menyatakan:
“Sesungguhnya aku telah utuskan kepada kamu orang yang terbaik daripada
keluargaku.”
Surat
Baginda ini sudah tentu dapat memberikan pengaruh besar dan membina kepercayaan
yang tinggi dalam diri penduduk Yaman terhadap Mu’az bin Jabal. Paling tidak
mereka mengetahui Mu‘az bin Jabal adalah orang terbaik kerana beliau sebahagian
daripada ahlul bait Rasulullah SAW.
Jelas di
sini dalam berkempen, kualiti peribadi dan latar belakang seseorang pemimpin
itu adalah salah satu kekuatan atau kelebihan yang patut ditonjolkan. Hal ini
dapat membina kepercayaan terhadap seseorang pemimpin.
Bagi
membuktikan pentingnya aspek kualiti peribadi seseorang pemimpin itu,
Rasulullah SAW sentiasa berpesan secara khusus kepada pemimpin supaya
memelihara kualiti diri dengan bertakwa kepada Allah SWT, memperbanyakkan zikir
dan bertaubat apabila terlanjur melakukan kesalahan.
Atha’ bin
Yasar menyatakan, Rasulullah SAW mengutuskan Mu‘az bin Jabal ke Yaman, lalu
Mu‘az berkata: “Wahai Rasulullah, berikanlah aku wasiat. Baginda SAW bersabda:
Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dengan semaksimum kemampuan. Sebutlah
nama Allah SWT setiap kali engkau melintasi batu-batuan dan pohon-pohonan.
Apabila engkau melakukan kesalahan, maka iringilah dengan taubat. Kesalahan yang
tersembunyi dengan taubat yang tersembunyi, kesalahan yang terang-terangan
dengan taubat yang terang-terangan.” (Riwayat al-Bukhari)
Tonjolkan kekuatan, kualiti diri
Apabila
berkempen, perkara utama perlu dititikberatkan adalah menonjolkan kekuatan dan
kelebihan yang dimiliki iaitu aspek kualiti diri pemimpin dan perancangan
pembangunan, bukan mendedahkan kelemahan dan keburukan orang lain semata-mata
untuk menutupi kepincangan yang ada.
Ada kala
kerana terlalu asyik mendedahkan kelemahan dan keburukan orang lain, mereka
terlupa untuk menonjolkan kekuatan serta kelebihan yang ada. Bukan setakat itu,
malah mereka juga terlupa melaksanakan segala janji yang ditaburkan.
Sebagai
pemimpin, terutama yang memperjuangkan Islam, mereka seharusnya membina budaya
dan sikap tersendiri. Mereka tidak seharusnya terpengaruh dengan budaya dan
sikap yang dilarang oleh Islam.
Mesej
Islam yang dibawa seharusnya membentuk satu pasukan Islam yang sentiasa mengikut
peraturan dan adab sopan Islam. Dalam hal ini biarlah masyarakat tertarik
dengan kualiti peribadi pemimpin dan perancangan pembangunan yang diatur.
Jangan
membuat fitnah, menyebar fitnah, mengumpat dan mendengar umpatan. Islam
melarang umatnya mendedahkan aib orang lain sebaliknya diminta supaya menutup
keaiban itu daripada pengetahuan umum.
Perkara
paling penting ialah kebaikan dan perancangan pembangunan yang berteraskan
Islam perlu ditonjolkan setiap masa. Usaha ini lebih berkesan daripada menyerang
musuh dengan mendedahkan keaiban mereka.
Tidak
salah jika kita mempelajari cara syarikat mempromosi produk mereka. Dalam
iklannya, tidak pernah didedahkan kekurangan dan kelemahan produk syarikat lain
sebaliknya kebaikan serta kelebihan yang ada pada produknya didedahkan
sepenuhnya berkali-kali.
No comments:
Post a Comment