Thursday, February 28, 2013

Tangguh PRU: Alasan Najib Tidak Munasabah





Tangguh p’raya: Alasan Najib tidak munasabah         

Lagi lambat pilihanraya di adakan lagi kuat bukti yang penangguhan yang begitu lama itu adalah disebabkan ketakutan UMNO dan BN menghadapi kekalahan. Seperti yang di sebut selalu di sini Najib merupakan satu-satunya Perdana Menteri yang tidak dipilih sampai penghujung penggal pilihanraya. Selalunya mana-mana Perdana Menteri yang baru mengambil alih jawatan itu tidak akan sabar-sabar untuk mengadakan pilihanraya bagi mendapatkan mandat yang terus dari rakyat.

Seorang Perdana Menteri itu mahu tahu sejauh mana sokongan orang ramai dan itulah yang menyebabkan semua Perdana Menteri sebelum Najib telah memanggil pilihanraya sejurus selepas mengambil alih jawatan itu. Ramai orang berkata Abdullah Badawi itu lemah dan tidak ‘effective’ tetapi apa pun orang kata terhadap beliau, Abdullah telah memanggil pilihan raya selepas empat bulan mengambil alih jawatan PM itu dari pemimpin yang boleh berjalan di atas air, iaitu Dr Mahathir Mohammad.

Abdullah telah mendapatkan ‘endorsement’ dari rakyat dan beliau telah mendapat mandat yag begitu besar, iaitu kedua terbesar selepas pilihanraya tahun 1955 dahulu. Dalam pilihanraya 1955 itu hanya seorang wakil Perikatan yang kalah iaitu Sulaiman Palestin di Pulau Pinang Selatan. Tetapi sehebat-hebat Najib seperti yang diwar-warkan oleh UMNO pada hari ini, hendak memanggil pilihanraya pun takut dan tidak berani menghadapi risiko politiknya.

Beberapa hari yang lepas Najib memberitahu kita yang beliau sengaja  menangguhkan pilihanraya ini kerana hendak menunggu hasil Program Transformasi Ekonomi (PTE) yang telah beliau lancarkan itu. Kalau begitulah alasan beliau maka pilihanraya mungkin tidak di adakan dalam tempoh empat atau lima tahun lagi kerana apa-apa program kerajaan yang baru itu akan hanya mendatangkan hasil, jika ada, selepas tempoh yang panjang.

Mengikut perlembagaan tempoh tamat penggal ini ialah 28hb April nanti. Tidak mungkin hasil transformasi ekonomi beliau itu akan kita dapati dalam masa sesingkat itu. Alasan itu amat dangkal sekali dan tidak boleh diterima akal walau pun kepada mereka yang buta huruf.  Najib lupa yang seorang insan itu mempunyai mata hati yang amat mudah untuk melihat siapa yang berbohong dan siapa yang di bohongi.

Apa yang diperkatakan Najib itu tidak siapa yang akan mempercayainya. Hanya kepada yang mahukan beliau berbohong sahaja yang akan memberikan anggukan kepada kenyataan Najib itu. Isu sebenarnya ialah isu ketidakyakinan beliau terhadap sokongan ramai terhadap UMNO itu dan juga masalah yang mungkin beliau hadapi di dalam UMNO itu sendiri.

Kemenangan besar adalah wajib bagi Najib perolehi tetapi harapan itu tidak akan menjadi kenyataan kerana ramai rakyat telah membuat ketetapan di hati masing-masing untuk meninggalkan UMNO dalam pilihanraya ini dengan memberikan undi kepada pihak pembangkang. Saya selalu bercakap dan ramai lagi manusia telah menunjukkan apa yang bakal dihadapi oleh Najib jika beliau tidak dapat memperolehi kemenangan besar dalam pilihanraya nanti. Bagaimana Najib hendak mendapatkan kemenangan besar sedangkan untuk mendapatkan sedikit lagi sokongan untuk mendapat kemenangan kecil pun tidak akan dapat beliau perolehi.

Bagi saya Pakatan Rakyat hanya perlu untuk menjaga dan mengawal keadaan yang sedang memihak kepada mereka. Pakatan Rakyat tidak boleh melakukan sedikit kesilapan dalam tindakan mereka menghadapi pilihanraya ini. Pakatan perlu ingat yang mempertahankan sokongan rakyat terhadap mereka sekarang lebih payah dari mendapatkannya. Mana-mana parti dalam PR jangan sekali melakukan kesilapan. Pakatan tidak boleh melakukan kesilapan yang disengajakan atau pun kesilapan yang tidak disengajakan.

Alasan Najib yang mengatakan penangguhan pilihanraya ini disebabkan untuk menunggu hasil PTE beliau itu adalah bukti kukuh yang Najib tidak berkeyakinan untuk memenangkan BN dalam pilihanraya ini. Najib sedang berperang untuk mempertahankan kewibawaan palsu beliau di mata rakyat. PI Balasubramaniam telah kembali untuk membantu apa yang sedang dilakukan oleh Deepak dan lain-lain yang menuduh Najib dengan berbagai-bagai isu yang ganas itu. Isu terhadap Najib datang bertimpa-timpa.

Tetapi isu yang bakal dihadapi oleh lain-lain pemimpin dalam UMNO tidak kurang ganasnya. Jika Muhyiddin mengambil alih sekali pun isu terhadap beliau pun bukannya kecil. Begitu juga isu terhadap lain-lain pimpinan kanan UMNO sekarang ini. Mereka terlalu kaya dengan isu-isu negatif dan tidak siapa pun di kalangan pimpinan UMNO dalam Majlis Tertinggi parti itu tidak mempunyai isu yang tidak mempunyai moral untuk mentadbir negara. Mereka, seperti yang saya selalu katakan itu, adalah dari acuan yang sama.

Pendeknya formula yang paling baik untuk menyelamatkan negara dan kerajaan kita ialah untuk melakukan perubahan dan kita tinggalkan pentadbiran dan politik yang tersangat menghimpit pemikiran rakyat yang dahagakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab seperti UMNO ini.

Jika benar Najib seorang yang bertanggungjawab beliau tidak akan melakukan apa yang sedang beliau lakukan hari ini. Inilah dia hasil dari didikan kepada petualang politik negara khususnya orang Melayu Dr Mahathir Mohammad.  Kata perpatah, ‘keruh air di hulu maka keruh di hilir’. Kekeruhan politik negara bermula dari permainan politik Mahathir selama 22 tahun dan budaya politik kini masih dipengaruhi oleh isu Dr Mahathir.

UMNO tidak akan kekal sebagai UMNO parti orang Melayu tetapi ia akan terus menjadi parti untuk segelintiran Melayu yang tamak kuasa dan mempunyai mentaliti ‘migrant’ yang tidak akan dapat ditanggalkan dari imej ini buat selama-lamanya.

Kita tidak tahu bagaimana lagi UMNO hendak menyelamatkan diri mereka untuk masih menjadi parti yang relevan untuk rakyat yang terlalu dahagakan pimpinan yang telus dan jujur untuk menempa hari muka yang mencabar. 
- aspanaliasnet.blogspot.com/


No comments:

Post a Comment