Sunday, February 17, 2013

Anwar Kecam: Penahanan Senator Australia Nick Xenophon


Nick Xenophon

Penahanan  Senator Australia Nick Xenophon di lapangan terbang di Sepang pagi tadi tiada kaitan dengan unsur politik dan dibuat mengikut "undang-undang", kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, langkah itu sesuatu yang biasa yang turut dilalui oleh rakyat Malaysia yang ke luar negara.

"Saya difahamkan oleh Ketua Pengarah Imigresen pagi tadi, beliau masih ditahan. Ini isu imigresen, dan ini perkara biasa rakyat Malaysia juga melalui perkara yang sama dan tidak dibenarkan masuk. Tidak ada yang istimewa pada dia ( Xenophon).

Hishamuddin
"Penahanan ini juga tiada unsur politik. Saya percaya penahanan itu mengikut undang-undang," katanya selepas berucap pada Majlis Jelajah Anak Malaysia dekat sini pagi tadi.

Menurut beliau, spekulasi yang mengatakan penahananXenophon adalah kerana beliau dianggap musuh negara adalah tidak benar.

"Tidak perlu buat spekulasi. Ini perkara biasa jangan putar belitkan keadaan.

"Kita ambil tindakan mengikut undang-undang. Pihak imigresen akan selesaikan perkara ini," katanya yang juga Naib Presiden Umno.

Xenophon telah dihalang daripada memasuki negara ini oleh Jabatan Imigresen.

Ibrahim Yaakob, Ketua Staf Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Xenophon. berada di LCCT untuk proses penghantaran pulang ke Australia.

“Beliau adalah salah seorang delegasi dari Australia yang datang ke Malaysia untuk membuat kajian mengenai proses pilihan raya.

“Mereka datang dengan inisiatif dan perbelanjaan sendiri,” katanya.

Xenophon merupakan salah seorang daripada delegasi antarabangsa yang terlibat dalam memantau perhimpunan menuntut reformasi pilihan raya anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0)  tahun lalu.

 Anwar kecam

Anwar
Dalam pada itu, Anwar, Ketua Pembangkang, mengecam langkah menahan Xenophon atas alasan membawa risiko keselamatan.

"Dakwaan ini sama sekali tidak berasas," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, beliau mahu mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau tidak wajar menganggap pelawat sebagai musuh negara hanya disebabkan bersikap kritikal ke atas pentadbiran pimpinan Umno.

"Malaysia bukan milik Umno. Ia milik seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi politik," katanya lagi.

Anwar juga berkata, meskipun Xenophon ada membangkitkan keprihatinannya berhubung proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), tetapi beliau tidak pernah melanggar mana-mana undang-undang bertulis ataupun terlibat dalam aktiviti yang dilihat sebagai ancaman kepada keselamatan.

"Lebih-lebih lagi, beliau akan disertai oleh beberapa ahli Parlimen Australia lain untuk perbincangan dengan kami dan juga dengan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia, Dzulkarnain Taib berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan tegas menahan Xenophon daripada  memasuki Malaysia serta menghantar beliau pulang ke negaranya.

Kata beliau, pihaknya menganggap  Xenophon adalah seorang pengacau yang cuba masuk campur dalam urusan dalaman  negara khususnya berkaitan proses PRU13.

"Kami yakin Senator Xenophon tidak bertindak atas kapasiti peribadi tetapi didalangi serta didokong oleh pihak pembangkang terutamanya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Bersih.

"KWMM amat kesal sekali dan mengecam tindakan pembangkang yang berselindung di sebalik perjuangan menegakkan keadilan dan ketelusan sistem pilihan raya di negara ini walhal motif sebenarnya adalah untuk menimbulkan huru hara serta melibatkan campur tangan kuasa asing dalam pentadbiran negara," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment