Kad Raya |
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Razak gagal menambat hati
pengundi Cina berikutan keengganan kaum itu menerima kad ucapan Tahun Baru Cina
mengandungi tandatangan Perdana Menteri.
Kad tersebut dipos terus ke rumah dan kali ini ia datang
bersama paket ang pau yang memaparkan foto Najib bersama petikan bekas pemimpin
parti komunis China, Deng Xiaoping mengenai reformasi.
“Orang Cina marah Najib selalu bagi surat dan pesanan teks
setiap kali perayaan. Ramai yang mengadu pada saya, dan tidak puas hati dari
mana alamat mereka diperolehi, tempat mengundi dan sebagainya. Ini tindakan
‘nuisance’ (kacau ganggu),” kata Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Chua Jui
Meng.
Xiaoping (1904-1997) memainkan peranan penting dalam
menggerak China ke arah pasaran ekonomi terbuka.
Dalam surat dwibahasa itu, Najib mengingatkan masyarakat Cina
bahawa reformasi tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.
Katanya, beliau mencontohi semangat Xiaoping dalam
melaksanakan program transformasi, ibarat ‘menyeberangi sungai sambil menyentuh
batu’. Ini kata-kata masyhur digunakan Xiaoping pada 1980-an untuk
menggambarkan pendekatan pragmatik parti komunis China ke arah reformasi, yang
beliau rasakan perlu dilakukan langkah demi langkah.
Jui Meng berkata, Najib tidak layak menyamai pemerintahan
Xiaoping yang jauh lebih baik memacu ekonomi negaranya.
Menurutnya, Xiaoping (gambar) membawa reformasi kepada
sistem ekonomi China dalam masa singkat, menyuburkan ekonomi negara komunis itu
kepada pasaran ekonomi terbuka sehingga mencapai kekayaan negara sebanyak RM3
trilion dolar Amerika.
“Kualiti kepimpinan Xiaoping jauh lebih tinggi dari Najib.
Tengok Malaysia di bawah pentadbiran Najib, hanya pandai berhutang, sehingga
mencecah RM620 bilion,” katanya.
Tambah Pengerusi KEADILAN Johor itu, Najib menggunakan
pendekatan salah untuk mengambil hati masyarakat Tionghua.
Katanya, pemberian kad ucapan berkenaan menunjukkan Najib
langsung tidak faham minda masyarakat Cina di negara ini.
“Orang Tionghua tahu Xiaoping itu jurutera yang membangunkan
ekonomi negara dengan pesat. Mereka juga tahu Najib pula sebaliknya. Itu hanya
membuat dia (Najib) makin dipandang sinis,” jelasnya.
Kata Jui Meng, sistem pentadbiran Najib berteraskan gagasan
perkauman dan ini menyebabkan masyarakat Cina meminggirkan beliau.
“Kalau dulu Afrika Selatan terkenal dengan budaya perkauman,
tetapi kini Malaysia dilihat dengan ketara, mengamalkan politik assobiyyah,
kronisme dan nepotisme,” katanya.
No comments:
Post a Comment