Kumpulan mahasiswa dikenali sebagai Gerakan Mahasiswa PRU13
mengumumkan akan menurunkan calon bertanding di parlimen Pekan dalam pilihan
raya umum akan datang.
Bercakap dalam satu sidang media hari ini, pengerusi
kumpulan siswa tersebut Syis Abdul Kadir berkata calon mereka itu akan diumumkan
sebaik sahaja perdana menteri mengumumkan tarikh pilihan raya.
Mereka kini sedang menimbangkan beberapa orang daripada
kalangan mereka untuk berdepan presiden Umno itu dalam pertandingan satu lawan
satu, katanya.
Tambahnya, tindakan bertanding di kawasan kubu kuat perdana
menteri itu bagi menunjukkan sentimen mahasiswa yang didakwa menolak
pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Syis berkata, kumpulan mahasiswa dengan kekuatan jentera
seramai 500 orang itu akan berkempen dengan membawa isu melibatkan golongan
pelajar.
"Isu mahasiswa bukan sekadar isu mahasiswa sahaja - isu
pendidikan percuma, isu PTPTN, yang menjadi penjamin itu adalah ibu dan ayah
(yang bukan mahasiswa).
"Isu mahasiswa juga adalah isu rakyat sebenarnya,"
kata Syis yang menambah, kempen tersebut akan dimulakan dengan program
'Mahasiswa Turun Pekan' bermula 11 hingga 17 Februari depan untuk
"mendekati dan memahami jerih perih kehidupan rakyat".
Sidang media pagi tadi turut disokong beberapa gerakan
mahasiswa lain antaranya Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis),
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI), serta
persatuan mahasiswa Islam dari Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.
Hujung tahun lepas, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri
Mohamed Khaled Nordin mengumumkan bahawa mahasiswa dibenarkan bertanding
bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.
Menurutnya ia dibuat untuk mengiktiraf fungsi, sumbangan
serta kematangan pemikiran mahasiswa dalam negara.
No comments:
Post a Comment