Pada zaman dahulu ada seorang pemuda
yang amat soleh dan warak. Dia juga terkenal sebagai seorang yang sangat jujur
dalam percakapan mahupun perbuatannya. Dia tinggal di sebuah kota kecil di
negeri Parsi.
Abu Salih adalah seorang pemuda Islam yang kuat beribadat, ilmu
pengetahuannya amat luas dia tidak tertarik langsung kepada kesenangan dunia.
Setiap hari dia suka duduk di tepi sungai sambil memikirkan kebesaran Allah
S.W.T.
Pada suatu hari ketika Abu Salih sedang
duduk di tepi sebuah sungai, tiba-tiba dia ternampak sebiji buah epal sedang
dihanyutkan air. Ketika itu Abu Salih belum lagi makan apa-apa sebagai alas
perutnya. Sebaik sahaja dia ternampak epal itu perutnya terasa lapar, lantas
dia pun mengambil buah epal itu dan memakannya. Tiba-tiba dia tersedar akan
kesalahannya. Buah epal itu adalah dari pokok kepunyaan orang.
Oleh kerana Abu Salih seorang yang
sangat beragama, dia berasa tidak senang hati kerana telah memakan buah yang
bukan haknya. Dengan tidak membuang masa dia terus mencari tuan punya buah epal
yang dimakannya itu. Dia benar-benar ingin meminta maaf di atas
keterlanjurannya. Dia ingin memohon di halalkan buah epal yang dimakannya itu.
Setelah sekian lama dia mudik mengikut
sungai itu, akhirnya dia ternampak dahan pokok epal tersebut berjuntai ke dalam
sungai. Setelah dilihatnya pokok epal itu, maka dia yakin bahawa epal yang
dimakannya adalah dari salah satu pokok epal yang terjuntai itu. Kerana rasa
takut di atas kemurkaan Allah serta tuan punya pokok epal, lantas dia terus
berjalan mencari tuan punya pokok epal itu.
Tidak lama kemudian Abu Salih pun
tiba di sebuah rumah yang sederhana besarnya. Abu Salih mengesyaki rumah itu
adalah kepunyaan tuan punya pokok epal tersebut. Rumah itu sebenarnya kepunyaan
seorang wali Allah yang terkenal bernama Abdullah Sawmai.
Setelah memberi salam dan masuk ke
rumah orang itu, Abu Salih meminta maaf di atas kesalahan yang telah
dilakukannya. Abdullah Sawmai bersedia memaafkannya tetapi dengan syarat Abu
Salih mesti tinggal bersamanya selama 12 tahun. Wali itu sengaja menguji sejauh
manakah ketakwaannya. Di dalam hati wali itu berkata, “Baik sungguh orang muda
ini, hinggakan termakan buah epal pun dia berasa perlu meminta maaf kepadaku.”
Abu Salih yang lurus itu bersetuju
dengan syarat yang diberikan oleh Abdullah Sawmai. Sejak dari hari itu
tinggallah dia dia bersama wali tersebut. Semasa dia berada di situ, dia telah
membantu membuat pelbagai kerja rumah dan taat pada setiap kerja yang diberikan
kepadanya. Setelah genap 12 tahun dia tinggal di situ, dia pergi berjumpa
semula dengan wali itu untuk meminta maaf sekali lagi kerana hendak pulang ke
kampung halamannya.
Sebaik sahaja selepas dia meminta maaf,
Abdullah Sawmai pun berkata kepadanya, “Aku bersedia memaafkan engkau dengan
syarat engkau mesti kahwin dengan anakku yang buta, pekak dan juga cacat”.
“Kenapa bergitu berat sekali hukuman yang diberikan kepadaku, sedangkan aku
hanya memakan sebiji epal”, bisik hati Abu Salih. Dia terfikir juga itu mungkin
satu cubaan terhadap dirinya oleh Allah S.W.T. Mungkin ada hikmah disebalik
denda tersebut. Akhirnya dengan rela hati Abu Salih menerima syarat Abdullah
Sawmai itu.
Setelah mereka dinikahkan, Abu Salih
amat terkejut apabila didapatinya isterinya tidak buta, tidak pekak dan tidak
cacat seperti yang dikatakan oleh bapa mertuanya. Sebaliknya isterinya adalah
seorang gadis yang amat cantik yang tidak pernah di temuinya sebelum ini
sepanjang hidupnya. Di dalam hatinya dia berkata, “Mungkin ini adalah balasan
Allah terhadapku kerana menahan sabar. Tetapi kenapa pula ayah mertuaku tidak
berkata yang sebenarnya kepadaku dahulu”.
Pada suatu hari ketika ayah mertuanya
sedang duduk di pintu, Abu Salih pun datang menghampirinya seraya bertanya,
“Wahai ayahku, kenapakah ayah berkata bahawa anak ayah itu buta, pekak dan
cacat?” Maka Abdullah Sawmai pun menjawab, “Aku katakan Fatimah isterimu itu
buta sebab dia belum pernah melihat orang lain selain dari ayahnya. Aku katakan
dia pekak kerana dia dia belum pernah mendengar sebarang kata nista dan aku
katakan dia cacat kerana dia tidak pernah membuat dosa”.
Semenjak dari hari itu Abu Salih hidup
berbahagia bersama isterinya yang bernama Ummu Khair Fatimah.
No comments:
Post a Comment