MEMILIKI personaliti menarik seharusnya membantu Marsha Londoh, 28, untuk bergelar artis terkenal. Sayang, nasib jarang menyebelahinya apabila hal peribadi dan putus cinta lebih diberikan perhatian.
Gadis Kadazandusun dari Tamparuli, Sabah ini pernah menggemparkan umum dengan cerita cuba membunuh diri dan dikejarkan ke hospital gara-gara ditinggalkan kekasih, tetapi dinafikannya.
Perhatian keterlaluan diberikan terhadap hal peribadi menyebabkan perjalanan karier seninya dilihat mendatar. Selepas persaingan di pentas Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3) berakhir tujuh tahun lalu, Marsha masih gigih berusaha menempatkan diri dalam industri seni tanah air.
Belum ada pencapaian diraih yang boleh membuatkan peminat yakin dengan bakat dimiliki. Bagi memastikan kelangsungan dalam kerjaya, Marsha mencuba pelbagai bidang, termasuk mengacara rancangan infotainment Propaganza di Astro Ria setiap Ahad, jam 12 tengah hari selama tiga musim.
Secara jujur, Marsha akui perkara itu dan sebahagiannya berlaku atas tindak-tanduknya yang dianggap belum matang dalam menentukan apa yang terbaik. Kata Marsha, hidup adalah perjalanan yang ada pasang dan surut. Peristiwa terjadi sebelum ini dikutip sebagai ilmu untuk mematangkan diri dan lebih memahami ‘sepak terajang’ industri seni.
“Dalam tempoh tujuh tahun, sekurang-kurangnya saya sudah melakukan semuanya. Menyanyi dan menghasilkan album, berlakon drama dan filem juga mengacara. Cuma peluang lebih besar belum datang.
“Kalau saya boleh bertahan sepanjang tujuh tahun ini, mengapa tidak saya terus bertahan untuk tahun seterusnya. Saya yakin usaha dilakukan sepanjang tempoh itu sudah menunjukkan hasilnya.
“Orang tahu bakat dan kemampuan saya yang pelbagai ini. Malah diam tak diam, Propaganza masuk musim ketiga dan saya masih kekal sebagai penerajunya. Jadual berlakon juga penuh sehingga penghujung tahun.
“Bidang nyanyian juga menunjukkan kemajuan sama apabila lagu duet bersama Randy Pangalila, Selalu Milik Mu muncul juara di kebanyakan carta lagu popular di stesen radio tempatan,” katanya.
Marsha tidak kisah jika ada yang mengatakan popularitinya dalam nyanyian menumpang populariti Randy. Tegasnya, nyanyian menjadi minatnya sejak dulu dan ia dilakukan dengan ikhlas.
“Kalau lagu bersama Randy boleh mengingatkan orang kepada kerjaya nyanyian saya, apa salahnya. Pada saya, dapat bekerjasama dengan Randy adalah satu bonus. Saya banyak belajar dengannya, terutama soal komposisi lagu. Saya juga mahu mengikut jejak langkahnya satu hari nanti.
“Saya juga berkolaborasi dengan artis lain sejak dulu lagi, sama ada penyanyi tempatan mahupun luar, termasuk duet dengan Ajai menerusi lagu Sayang dan Julian Cely dari Perancis menerusi Ruang Kedua.
“Yang lebih penting, ia memberi ruang buat saya belajar dan menjadi lebih matang dalam industri muzik,” katanya.
Paranoid dengan lelaki
Sepanjang bergelar selebriti, Marsha tidak dapat lari daripada menjadi perhatian dan turut menerima kecaman, sama ada membabitkan kehidupan peribadi (terutama hubungannya dengan beberapa lelaki) mahupun sikapnya yang dikatakan gedik.
Marsha akui sebagai artis, dia faham situasi itu dan tidak berkecil hati dengan kecaman diterima. Tegasnya, ada antara dakwaan dibuat hanya berdasarkan sikap luaran.
“Sebagai wanita, dalam usia begini pastinya pengalaman bercinta itu akan ada. Cuma bezanya bahagia atau tidak. Sudah ditakdirkan saya tidak bernasib baik dalam soal itu. Ia datang pun secara tiba-tiba, saya tidak pernah meminta atau menolaknya.
“Cuma cinta dan lelaki bukan lagi menjadi agenda utama dalam hidup saya sekarang. Tidak dinafikan, pengalaman yang dilalui sebelum ini membuatkan saya paranoid dengan lelaki. Kalau ada yang mahu bercinta, saya akan lebih berhati-hati. Rasa sakit daripada pengalaman lalu benar-benar buat saya serik,” katanya.
Apa pun, kata Marsha, dia melihat perjalanan hidupnya daripada sudut positif. Katanya, dia bersyukur kerana cepat sedar dan peristiwa negatif yang terjadi dalam hidupnya digunakan untuk dijadikan idea dalam berkarya.
“Saya tidak mahu lagi murung mengenangkan nasib kerana dikecewakan, sebaliknya menjadikan ia sebagai bahan untuk dijadikan lirik menarik untuk karya terbaru.
“Selama ini, mungkin saya banyak lalai hingga lupa tujuan sebenar saya menyertai industri seni, terutama muzik. Sekarang saya kembali bangkit.
“Mungkin faktor usia juga membuatkan saya lebih matang sekarang. Peristiwa hitam dijadikan pembakar semangat dan ia jika disalurkan pada jalan betul, ia boleh mencetuskan idea,” katanya.
Kini semua yang dilalui dirangkumkan dalam single terbaru hasil ciptaannya sendiri, Jujur Bilang Cinta. Membanggakan apabila mendengar melodi dihasilkan, ternyata Marsha punya bakat dalam penciptaan lagu. Jika kena dengan susunannya, tidak mustahil lagu itu muncul karya terbaik.
“Saya sangat teruja dengan lagu dihasilkan. Tidak sangka saya mampu. Sekarang saya lebih senang duduk di depan piano dan cuba menghasilkan lebih banyak lagu sendiri daripada membuang masa melayan perasaan.
“Kejayaan diraih penyanyi atau komposer seangkatan membuatkan saya lebih bersemangat. Jika mereka mampu, mengapa saya tidak?” katanya.
Kata Marsha, album terbarunya jika tiada aral akan berada di pasaran pertengahan tahun ini. Sebelum itu, Jujur Bilang Cinta akan menjadi single pertama dan bakal diperdengarkan kepada umum bulan depan.
Mulai Jun nanti, Marsha mahu memberi tumpuan penuh kepada kerjaya nyanyian dengan mengadakan jelajah promosi. Ia sekali gus diharapkan dapat mengingatkan kembali peminat akan tujuan sebenar dia menyertai industri seni iaitu menjadi penyanyi disegani.
Album pertama Marsha, Yang Pertama dilancarkan pada 2011.
No comments:
Post a Comment