Tuesday, March 12, 2013

Sejarah Kesultanan Sulu




KESULTANAN Sulu di timur laut Nusantara dipercayai telah wujud sejak penghujung abad ke-14.

Kemunculan Kesultanan Sulu boleh dikatakan hampir serentak dengan kemunculan Kesultanan Melaka, Kesultanan Brunei di Borneo dan Kesultanan Aceh di barat laut Nusantara.

Walaupun tidak ada tarikh tepat bila kesultanan ini ditubuhkan dan siapakah tokoh sebenar yang menubuhkan Kesultanan Sulu, namun kerajaan Sulu telahpun wujud sejak era empayar Hindu Majapahit lagi dan ia kemudian berkembang sebagai sebuah kerajaan yang kuat di bawah Kesultanan Islam Sulu setelah Islam tersebar di Nusantara.

Beberapa laporan menyebut, Kesultanan Islam Sulu ditubuhkan pada 1458 oleh seorang ulama dari Johor yang dikenali sebagai Abu Bakar yang tiba di Bwansa dekat Jolo.

Ketibaan Abu Bakar disambut baik oleh Rajah Baguinda Buansa dan Datu serta ketua-ketua di Jolo kerana Abu Bakar juga merupakan seorang yang berdarah raja.

Semasa berada di Sulu, Abu Bakar telah menyebarkan Islam di kalangan kaum Tausug dan menyatukan penduduk yang tinggal di pantai dan di bukit, yang sebelum itu berseteru.

Abu Bakar kemudian berkahwin dengan salah seorang puteri Rajah Baguinda, Paramisali.

Selepas Rajah Baguinda mangkat, Abu Bakar kemudian diangkat sebagai pemimpin Sulu dengan memakai gelaran Sharif ul-Hashim, dan menjadi Sultan Sulu pertama dengan menjadikan Sulu sebagai sebuah kerajaan Islam dan menggunakan hadis dan al-Quran sebagai undang-undang di bawah pemerintahannya.

Sejak itu, Kesultanan Sulu menjadi sebuah kerajaan Islam dan wilayah jajahannya meliputi Sulu, Borneo Utara termasuk Sabah, Palawan, Mindoro dan Basilan.

Kesemua Sultan Sulu dan Datu-datu di dalam wilayah Sulu selepas beliau kemudian mendakwa adalah waris atau keturunan kepada Abu Bakar.

Pemerintahan Abu Bakar bertahan selama 30 tahun dan selepas kemangkatannya, anaknya Kamal-ud-Din telah menggantikannya sebagai Sultan Sulu. Makam Abu Bakar masih lagi boleh dilawat di Gunung Tumatangis.

Ketokohan dan kehebatan Abu Bakar memimpin Kesultanan Sulu di bawah panji-panji Islam telah menukar bangsa Tausug sebagai pejuang Islam yang berani dan sanggup mati syahid bagi mempertahankan Islam dan bumi Sulu daripada penjajah ketika itu.

Oleh kerana itu, penjajah Sepanyol yang menjajah Filipina selama 333 tahun sejak kedatangan Ferdinand Magellan pada 16 Mac 1521 gagal menewaskan tentera Kerajaan Islam Kesultanan Sulu dalam peperangan yang berlarutan hampir tiga abad dan Sepanyol hanya berjaya menawan Sulu pada hujung tempoh penjajahannya dengan menandatangani perjanjian dengan Kesultanan Sulu pada 1885.

Perjanjian itulah buat pertama kalinya menyaksikan terhapusnya Kesultanan Sulu apabila Sultan Sulu ketika itu Sultan Jamalul Kiram II bertindak menyerahkan wilayah, kerajaan dan kedaulatannya kepada Sepanyol.

Malahan Jamalul Kiram II jugalah yang bertindak menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat di bawah Perjanjianm Carpenter pada 1915 menyerahkan wilayah, kedaulatan, dan kekuasaan Sulu kepada Amerika Syarikat.

Sejak itu, Kesultanan Sulu ibarat sebuah institusi beraja tanpa negara, kerajaan, kedaulatan dan kekuasaan.

Perjalanan sejarah Kesultanan Sulu sejak ditubuhkan sehinggalah kejatuhannya, penuh dengan warna-warni seperti mana kerajaan-kerajaan monarki yang lain di dunia, penuh dengan hasad dengki, pembunuhan dan perebutan kuasa.

Walaupun Kesultanan Sulu kini hanya tinggal sebagai sebuah institusi beraja, isu perebutan takhta ke atas institusi kesultanan itu masih berterusan antara waris-warisnya sampai sekarang.

Kesultanan Sulu sudah tiada, tuntutan Sabah terbatal [sinarHarian]

KOTA KINABALU - Penyertaan Sabah dalam gagasan atau pembentukan Malaysia pada 1963 menghapuskan sebarang tuntutan ke atas negeri ini yang dahulunya dikenali sebagai North Borneo, kata Prof Madya Dr Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pensyarah Sekolah Sains Sosial (Program Sejarah) itu berkata berdasarkan perkara itu sebarang tuntutan hak ke atas negeri Sabah ketika ini adalah terbatal.

"Tarikh penubuhan Malaysia pada tahun 1963 menghapuskan sebarang tuntutan ke atas Sabah dan pada tahun 1888, Sabah di bawah naungan kolonial British dan pada tahun 1903 protokol telah menetapkan jajahan Amerika Syarikat di Filipina tanpa Sabah.

"Pada tahun 1946, Sabah diserah kepada British dan jelas pada tahun 1963 Sabah berada dalam Malaysia," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Justeru Dr Bilcher berkata, tindakan Jamarul Kiram III menyerang Sabah dengan alasan menuntut hak warisan Kesultanan Sulu adalah satu jenayah yang boleh disifatkan sebagai serangan pengganas.

Mengenai bayaran yang dibuat oleh kerajaan Malaysia terhadap waris Kesultanan Sulu, beliau berkata ia cuma pampasan atau saguhati perjanjian "sewa mati 1787" yang tertulis pajakan kekal.

"Maka pampasan itu dibayar sampai mati (istilah dalam perjanjian ‘selagi ada bulan dan bintang’)," katanya

Mengupas kembali sejarah Sabah, Dr Bilcher berkata penduduk Sabah telah memilih Malaysia (pada tahun 1963) seperti yang terkandung dalam Laporan Cobbold.

“Cuma Sultan Sulu fikir orang Sabah adalah rakyatnya. Rakyat adalah pengakuan taat setia pengikut. Tapi orang Sabah tidak mengakui mereka ada sultan melainkan Gabenor (kini Yang Dipertua Negeri Sabah).

"Justeru itu, tuntutan yang mendakwa dirinya sebagai pewaris Kesultanan ulu, jika ada sultan pun, ke atas Sabah adalah terbatal melalui beberapa peringkat perjanjian sebelum ini.

“Hakikatnya, Sulu tidak ada sebuah kerajaan atau negara yang membolehkan "ada hak" untuk membuat tuntutan. Tuntutan ini cuma tuntutan individu semata-mata, yang tidak melibatkan orang ramai, tetapi individu itu telah
memperalatkan orang ramai untuk mencapai kepentingan dirinya sendiri,” katanya.

Oleh itu, Dr Bilcher berkata tindakan menyerang negara luar adalah jenayah dalaman negara Filipina dan jenayah antarabangsa di Malaysia.

"Melainkan jika individu itu memiliki kerakyatan Malaysia, maka ini adalah jenayah yang berat, setara ancaman Komunis dahulu atau pengganas,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, semasa menjelaskan isu sama, bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata bayaran AS$5,000 (RM15,500) setahun oleh kerajaan Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu sehingga hari ini bukanlah wang sewaan atau pajakan tetapi merupakan satu bentuk wang penghargaan yang dikenali sebagai "cession".

Katanya beliau sendiri pernah melihat cek dengan jumlah tersebut dibayar kepada waris Kesultanan Sulu ketika menjadi Menteri Luar dari 1999 hingga 2008.

"Wang penghargaan atau cession berkenaan sama seperti duit penghargaan yang dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang kepada Sultan Kedah apabila pulau itu diserahkan kepada British," jelas beliau kepada Bernama.

Menegaskan Kesultanan Sulu yang ada hari ini bukan kerajaan yang diiktiraf, Syed Hamid berkata, waris keluarga itu tidak layak membawa tuntutan Sabah ke Mahkamah Keadilan Antarangsa (ICJ).

"Ini kerana ICJ hanya menguruskan kes-kes yang melibatkan kerajaan yang sah. Kesultanan Sulu bukan satu kerajaan," katanya.

Syed Hamid berkata, kuasa pentadbiran dan politik yang ada pada Kesultanan Sulu dianggap berakhir apabila Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada tahun 1915 dengan penjajah Filipina ketika itu iaitu Amerika.

Syed Hamid berkata cubaan menuntut Sabah pernah dibuat oleh Filipina ketika Malaysia dan Indonesia membawa masalah tuntutan pulau Sipadan dan Ligitan ke ICJ pada tahun 2001.

"Filipina cuba untuk turut serta dalam tuntutan itu. Bagaimanapun ICJ terus menolak campur tangan Filipina dalam tuntutan Sipadan dan Ligitan yang terletak dalam perairan Sabah dengan alasan tuntutan itu tidak ada asas. Ini
jelas menunjukkan, Filipina sama sekali tidak mempunyai hak ke atas negeri di bawah bayu itu," katanya.

Syed Hamid menegaskan Sabah merupakan wilayah Malaysia yang berdaulat kerana Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan sebelum pembentukan Malaysia melaporkan
bahawa rakyat Sabah dan Sarawak mahu merdeka di dalam Malaysia.

Sementara itu, pakar sejarah Prof Dr Ramlah Adam menyatakan keyakinannya bahawa pihak kerajaan mempunyai dokumen perjanjian wang penghargaan tersebut.

"Kerajaan Malaysia memang menyimpan dokumen itu sebab selepas kita (kerajaan) ambil alih dari British kita ambil alih juga segala perjanjian itu sebab soal 'cession money' itu sangat penting," katanya.

Tambahnya, perjanjian itu menyatakan wang penghargaan akan diserahkan kepada waris bukannya kesultanan Sulu selagi 'ada bulan dan bintang'.

"Perjanjiannya adalah selagi ada bulan dan bintang, bukan ada tarikh, itu cara orang dulu buat perjanjian, saya tidak tengok perjanjian itu tetapi saya
tahu ada perjanjian.

"Ia (wang penghargaan) diberi kepada waris bukan kesultanan. Kesultanan Sulu telah tiada. Itu yang diperkatakan dalam sejarah Sulu. Semasa kita membuat sejarah Malaysia kita tidak pernah menyentuh tentang kerajaan Sulu ia termasuk dalam sejarah Filipina.

"Kita (Malaysia) tidak termasuk, kita hanya anggap ia sebagai kaum Suluk sahaja," katanya. - Bernama

Dokumen perjanjian...


Diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris.

No comments:

Post a Comment