Haji Musa Abdullah atau Jeneral Musa dipercayai sosok
utama di sebalik peristiwa pencerobohan Sabah, ditembak mati di Lahad Datu lima
hari yang lalu.
Polis dan jabatan forensik telah mengesahkan kematiannya
berdasarkan laporan bedah siasat hari ini.
Kematiannya telah dianggap sebagai perkembangan penting
pertembungan antara pasukan keselamatan Malaysia dengan penceroboh bersenjata
di Lahad Datu.
Sebelum kematiannya disahkan, terdapat beberapa spekulasi
berkaitan kematian Musa. Sewaktu dunia digemparkan dengan kekecohan lewat
berita kematiannya, ramai yang tertanya-tanya: Siapakah Haji Musa Abdullah dan
mengapa kematiannya dianggap sebagai satu kemuncak dalam pertempuran tersebut?
Musa, salah seorang daripada dua anggota yang direkrut
Jabidah, juga merupakan antara 13 penduduk Kampung Simunul yang mendarat di
Lahad Datu dengan 200 bala tentera mereka bulan lepas.
Walaupun Raja Muda Agbimuddin Kiram (pewaris Kesultanan
Sulu) dipercayai pemimpin pengganas di Sabah, tetapi sebenarnya dialah orang
sama yang merangka perancangan di sebalik pencerobohan di Sabah, kata penduduk
Kampung Simunul kepada Rappler, sebuah portal berita dalam talian yang
berpangkalan di Filipina.
Dalam portal berita itu, artikel bertajuk "Jabidah
recruits plotted standoff ", melaporkan bahawa Musa telah menghidupkan
semula Oplan Merdeka secara rahsia.
Oplan Merdeka adalah sebuah operasi yang dibentuk oleh
angkatan tentera Marcos untuk menghantar rekrut beragama Islam untuk menyerang
Sabah pada tahun 1968. Operasi itu kemudiannya dimansuhkan.
Musa, timbalan ketua Angkatan Kesultanan Diraja (RSF),
satu pangkat di bawah Raja Muda merupakan seorang pemimpin yang lebih berada di
barisan depan berbanding Agbimuddin.
Akmad Ibnohasim, ahli RSF yang tidak menyertai
pencerobohan Sabah berkata, Agbimuddin jarang melawat kem mereka walaupun
terletak hanya satu kilometer dari rumahnya.
Beliau berkata, Musa yang telah mengajar mereka peraturan
tentera.
"Dia (Musa) mengajar kami perancangan tertentu,
memberi taklimat kepada kami tentang kaedah-kaedah dan peraturan ketenteraan,
bagaimana untuk melakukan tugas sebagai tentera dan bagaimana untuk mengikuti
undang-undang ketenteraan," tambah Ibnohasim.
Rappler melaporkan, Musa hidup sebagai pesara sehingga
bulan lepas dan sempat mengucapkan "selamat tinggal" kepada isterinya
sebelum berangkat ke Sabah. -astroawani
No comments:
Post a Comment