Tuesday, July 16, 2013

Erti Solat: Puasa Rajin Tapi Solat Culas, Camne Tu Ustaz?



Solat itu adalah tiang Agama. Bagaimana untuk mendirikan sebuah rumah, jika tidak ada tiangnya?...


Solat merujuk kepada sembahyang dalam agama Islam. Solat terbahagi kepada solat fardu dan solat sunat. Solat fardu diwajibkan ke atas orang Islam yang baligh dan berakal sebanyak 5 kali sehari pada waktu-waktu tertentu. Solat fardhu merupakan Rukun Islam yang ke-2 dari lima Rukun Islam.

Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solat lima waktu sehari semalam, iaitu subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak.

Sekiranya seseorang tertinggal solat fardhu, wajib baginya untuk mengulangkannya dengan niat qada. Bagi mereka yang musafir, mereka diharuskan bagi solat dengan menqasar dan menjamakkannya.

Waktu-waktu solat

[1]. Solat Zohor Waktunya dimulai sejak matahari tergelincir ke barat dan berakhir di saat bayangan sesuatu benda itu sama betul panjangnya dengan benda itu.

[2]. Solat Asar Waktunya dimulai setelah waktu Zohor habis, iaitu ketika bayangan sesuatu benda sama panjang dengan bendanya dan berakhir setelah terbenamnya matahari.

[3]. Solat Maghrib Waktunya dimulai setelah terbenamnya matahari dan berakhir apabila mega merah telah hilang.

[4]. Solat Isyak Waktunya dimulai setelah hilangnya mega merah sampai terbitnya fajar shadiq.

[5]. Solat Subuh Waktunya dimulai setelah terbit fajar shadiq sampai terbitnya matahari.

Dalil wajib solat

Dalil-dalil Al-Quran.

[1]. Surah Al-Baqarah ayat 149 :

Maksudnya :

"Dan dari mana saja engkau keluar (untuk mengerjakan solat) hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (Kaabah). Sesunggunya perintah berkiblat ke Kaabah itu benar dari Allah (tuhanmu) dan ingatlah Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan".

[2]. Surah Al-Baqarah ayat 150:

Maksudnya:

"Dan dari mana saja engkau keluar (untuk mengerjakan solat) maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram ( kaabah ) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi sebarang alasan bagi orang yang menyalahi kamu, kecuali orang yang zalim diantara mereka (ada saja yang mereka jadikan alasannya). Maka janganlah kamu takut kepada cacat cela mereka dan takutlah kamu kepada-Ku semata-mata dan supaya Aku sempurnakan nikmat-Ku kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah ( mengenai perkara yang benar ) ".

Dalil-dalil Hadis.

Ayat-ayat ini dijelaskan Rasulullah saw dengan sabdanya: “Islam didirikan dari lima sendi: mengaku bahawasanya tiada Tuhan yang sebenar-benarnya disembah melainkan Allah yang Maha Esa, mengaku bahawasanya Muhammad itu pesuruhNya; mendirikan solat; mengeluarkan zakat; mengerjakan haji, dan berpuasa di bulan Ramadhan.”
(HR BUKHARI DAN MUSLIM DARI IBNU UMAR) (TAISIRUL WUSHUL 1 : 13)

Syarat wajib solat:

[1]. Islam
[2]. Baligh
[3]. Berakal
[4]. Suci daripada haid dan nifas bagi perempuan

Syarat sah solat

[1]. Suci dan bersih badannya dari hadas besar dan kecil – Ertinya seseorang itu telahpun berwuduk dan mandi hadas. Sabda Rasulullah s.a.w.

"Allah tidak menerima solat seseorang dari kamu, apabila dia berhadas sehingga dia berwuduk" (H.R. Bukhari,Muslim).

[2]. Suci dan bersih pakaian serta tempat solat dari najis – Orang yang mendirikan solat wajib suci pakaian dan tempat solatnya dari najis, kecuali najis yang dimaafkan seperti darah yang sedikit, kotoran yang melekat pada kaki dan sebagainya. Dalam kaedah feqah disebutkan bahawa "kesukaran itu dapat menarik keringanan", oleh itu najis yang dimaafkan itu tidak membatalkan solat.

[3]. Menutup aurat – Adapun menutup aurat bagi wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Manakala aurat lelaki ialah diantara pusat hingga lutut. Batas ini paling penting dan wajib ditutup dalam solat. 

Firman Allah s.w.t.

"Wahai manusia, pakailah perhiasan mu ketika hendak solat di masjid" (Al-A'raf:31).

[4]. Menghadap Kiblat – Ketika mendirikan solat, kita diwajibkan menghadap kiblat iaitu Kaabah berdasarkan firman Allah s.w.t.

"Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (Kaabah)" (Al-Baqarah:144).

[5]. Yakin bahawa waktu solat telah masuk – Dengan yakin telah masuk waktu solat fardu yang hendak dilaksanakan.

(nota: sekiranya sesudah tamat solat, lalu disedari perkara yang tersebut di atas terjadi - misalnya didapati ada najis di sejadah - maka perlulah diulangi solat itu kerana ia tidak menepati syarat sah solat).

Perkara-perkara yang membatalkan solat

[1]. Keluar/kedatangan hadas besar atau kecil.
[2]. Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit yang memberi faham, atau ketawa.
[3]. Makan/minum dengan sengaja membatalkan solat.
[4]. Melakukan pergerakan di luar rukun solat tiga kali berturut-turut(mutawaliyat).
[5]. Berniat keluar dari solat (mufaraqah).
[6]. Terkena najis yang tidak dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat solat.
[7]. Beralih arah dari kiblat dengan sengaja (berpaling dada).
[8]. Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak segera ditutup.
[9]. Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
[10]. Meninggalkan rukun solat.
[11]. Murtad

Rukun Solat

Rukun solat terbahagi kepada tiga kategori:

[1]. Qalbi (diingat dalam hati)
[2]. Qauli (diucap dengan lidah)
[3]. Fi'li (perbuatan)

Rukun solat ada 13 perkara iaitu:

[1]. Berdiri bagi yang mampu. [Fi'li]
[2]. Niat.[Qalbi]
[3]. Takbiratul Ihram (Allahu Akhbar yang pertama). [Qauli]
[4]. Membaca surah Al-Fatihah. [Qauli]
[5]. Rukuk dengan tama'ninah .[Fi'li]
[6]. Iktidal dengan tama'ninah. [Fi'li]
[7]. Sujud dengan tama'ninah. [Fi'li]
[8]. Duduk di antara dua sujud, dengan tama'ninah. [Fi'li]
[9]. Duduk Tasyahhud akhir. [Fi'li]
[10]. Membaca bacaan Tasyahhud Akhir. [Qauli]
[11]. Selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam Tasyahhud Akhir. [Qauli]
[12]. Mengucapkan salam yang pertama. [Qauli]
[13]. Tertib [Qalbi]

Note: tama'ninah = berhenti seketika (sekadar menyebut subhanallah)

Pada mazhab Maliki dan Hanafi, baca fatihah rukun bagi solat perseorangan sahaja. Tidak rukun bila solat berjemaah, bila imam baca makmum dengar sahaja berdasarkan Al-Quran; "Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat." (Al-A'raaf/7:204).

Perkara-perkara sunat dalam solat

[1]. Sunat Hai'ah
[2]. Sunat Ab'adh

Perkara-perkara makruh semasa solat

- Berpaling ke kiri atau ke kanan (kecuali ketika Salam).
- Memandang ke atas (mendongak).
- Berdiri menggunakan sebelah kaki sahaja.
- Berludah ke hadapan atau ke belah kanan.
- Berlebih-lebihan membongkok dan menundukkan kepala ketika rukuk.
- Bercekak pinggang.
- Menyinsingkan kain atau baju.
- Bersembahyang ketika hadir makanan (makanan dihidangkan).
- Bersembahyang ketika berasa hendak qadha' hajat (membuang air).
- Ada juga yang mengatakan adalalah makruh ketika solat sambil menutup mata.

Persediaan sebelum menunaikan solat

- Berpakaian sopan dan menutup aurat.
- Berwuduk.
- Duduk di atas tapak solat yang bersih (seperti diatas tikar sejadah) sambil berzikir, bertahmid, bertakbir, berselawat dan memuji Allah. (sekiranya ada waktu yang terluang).
- Berdiri (bagi mereka yang mampu) dan membaca niat waktu solat.
- Iqamat dan membaca ayat Kursi, Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq, Surah An-Nas (bagi menghalangi syaitan dan jin dari mengganggu solat).
- Mengangkat takbiratul ihram dan memulakan solat.

Perkara yang boleh dilakukan selepas melangsaikan solat

- Selepas memberi salam,digalakkan untuk duduk berzikir, bertahmid, bertakbir, berselawat dan memuji Allah. (sekiranya ada waktu yang terluang).
- Membaca Al-Quran.
- Berdoa kepada Allah dengan sebaik mungkin serta mengharapkan keampunan dan rahmat dariNya.

@Sebaik-baik menuntut ilmu hendaklah dengan berguru. Carilah guru yang dalam bidangnya. Ini hanyalah sebagai panduan untuk pengetahuan sebagai persediaan awal dalam mencari keredhoaan Allah. Usah malu untuk belajar dan tidak ada sekatan usia dalam menuntut ilmu.

Pernah mendengar ada yang mengatakan;
“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahat’

Tidak berani pula mengatakan yang ianya hadis, kerana;

Daripada Abdullah bin Amr r.a, Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang berdusta atas namaku, maka bersiap sedialah dia untuk dimasukkan ke dalam neraka”. (Riwayat al-Bukhari no.3274)

No comments:

Post a Comment