KAHERAH 6
Julai - Situasi di Mesir terus berada dalam keadaan tegang dengan pertempuran
terbaharu antara penyokong pro dan anti-Mursi serta tentera menyebabkan
sekurang-kurangnya 36 orang maut, semalam.
Pergerakan
Ikhwanul Muslimin dalam pada itu hari ini berikrar untuk terus mengadakan
tunjuk perasaan bagi menuntut tentera mengembalikan kuasa kepada Presiden Mesir
pertama yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat, Mohammed Mursi.
"Perhimpunan
besar-besaran secara aman akan berterusan sehinggalah tentera mengembalikan
tampuk pemerintahan kepada Presiden Mursi," kata pergerakan itu dalam satu
kenyataan awal hari ini.
Pergerakan
Tamarod yang menganjurkan tunjuk perasaan antikerajaan, sekali gus menyebabkan
Presiden Mursi digulingkan, turut menggesa pengikutnya turun ke jalan raya esok
untuk berhimpun.
Ini
memburukkan lagi situasi di Mesir selepas pemimpin agama sebelum ini memberi
amaran bahawa negara ini mungkin akan terjerumus ke kancah 'perang saudara'.
"Kita
perlu berjaga-jaga supaya tidak terjerumus ke kancah perang saudara," kata
ulama di Institut al-Azhar sambil menyalahkan 'geng penjenayah' yang
mencetuskan keganasan jalanan dan menyebabkan ramai pengikut Ikhwanul Muslimin
terbunuh.
Jurucakap
Ikhwanul Muslimin sebelum ini turut pernah berkata, pengikutnya bersedia untuk
mati syahid demi mempertahankan Mursi.
"Hanya
satu yang kami boleh lakukan iaitu berdiri teguh mempertahankan Presiden. Kami
tidak akan membenarkan rakyat Mesir sekali lagi dibuli oleh tentera," kata
Gehad el-Haddad.
"Sebarang
rampasan kuasa hanya akan berlaku jika mereka mampu melangkah mayat kami,"
kata seorang lagi tokoh pergerakan itu, Mohammed el-Beltagi.
Seorang
penyokong Mursi yang juga pakar fisioterapi, Manal Shouib, 47, tidak menolak
kemungkinan berlaku perang saudara jika tentera merampas kuasa.
"Kami
akan berkorban nyawa untuk mempertahankan hak dan jika ini adalah takdir
kami," kata seorang lagi penyokong Mursi, Ahmed Abdel-Aziz.
Sementara itu,
kumpulan bersenjata Ansar al-Shariah di Mesir hari ini menyifatkan tindakan
tentera yang menggulingkan Mursi sebagai satu pengisytiharan perang dan
mengancam menggunakan keganasan untuk melaksanakan undang-undang Islam.
Menurut
kumpulan itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di forum internet, mereka akan
mengumpulkan senjata dan mula melatih anggotanya.
Ketua Pihak
Berkuasa Ambulans Mesir, Mohamed Sulta dalam pada itu berkata,
sekurang-kurangnya 16 orang maut akibat tembakan di kepala dan dada, lapor
al-Ahram.
Katanya,
sekurang-kurangnya 1,138 orang turut cedera akibat tunjuk perasaan di seluruh
Mesir, semalam. - AGENSI
No comments:
Post a Comment