HUKUM JANGGUT
1.
Terdapat arahan dari Nabi s.a.w.;
خالفوا المشركين: وفروا اللحى، وأحفوا الشوارب
“Hendaklah
kamu berbeza dengan orang-orang Musyrikin; kerana itu biarkanlah janggut dan
buanglah misai” (HR Imam al-Bukhari dari Ibnu ‘Umar r.a.).
Berdasarkan
hadis ini, para ulamak melarang lelaki muslim mencukur janggutnya. Menurut
jumhur ulamak (termasuk mazhab-mazhab empat); arahan menyimpan janggut dalam
hadis di atas adalah arahan wajib.
Berkata
Qadhi ‘Iyadh; “Dimakruhkan mencukur janggut. Adapun membuang sebahagian dari
panjang atau lebarnya jika terlalu lebat, maka itu adalah baik/elok”. Imam
Malik memakruhkan janggut yang terlalu panjang. Sebahagian ulamak menggalakkan
dipotong janggut yang melebihi satu genggaman tangan.
Dalam
Soheh Imam al-Bukhari ada diceritakan; Ibnu Umar r.a. bila mengerjakan haji
atau umrah, beliau akan menggenggam jangguntnya, yang lebih (dari genggaman)
akan dipotongnya” (Riwayat Imam al-Bukhari).
Namun
ada juga ulamak (antaranya Imam an-Nawawi) yang berpandangan; janggut hendaklah
dibiarkan tanpa diganggu kerana Nabi s.a.w. menyebutkan di dalam hadis tadi;
“….biarkanlah janggut..”. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).
HUKUM MISAI
2.
Berbeza dengan janggut, misai pula diperintahkan (dalam hadis tadi) supaya
dibuang (digunting/dicukur); “..buanglah misai..”. Tentang had yang perlu
dibuang, para ulamak berbeza pandangan;
a) Pandangan pertama;
menurut
ulamak-ulamak mazhab Hanafi dan Hanbali; yang terbaik ialah mencukurnya (yakni
membuang habis). Mereka berdalilkan beberapa sabda Nabi s.a.w. antaranya;
جُزُّوا الشَّوَارِبَ، وَأَرْخُوا اللِّحَى، خَالِفُوا
الْمَجُوسَ
“Potonglah
misai (hingga habis) dan biarkanlah janggut. Hendaklah kamu berbeza dengan
orang Majusi”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Menurut
pandangan ini; Perkataan al-jazz dalam hadis di atas memberi makna menggunting
misai dan bulu hingga sampai ke kulit.
Di
dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda;
خالفوا المشركين: وفروا اللحى، وأحفوا الشوارب
“Hendaklah
kamu berbeza dengan orang-orang Musyrikin; kerana itu biarkanlah janggut dan
buanglah misai”. (Riwayat Imam al-Bukhari)
Berkata
Imam Ibnu Hajar; perkataan al-Jazz dan al-Ihfa’ menunjukkan kepada tuntutan
agar bersungguh-sungguh dalam membuang misai. Al-Jazz bermaksud; menggunting
hingga ke kulit. Al-Ihfa’ pula bermaksud; membuang habis. Kerana itu Imam Abu
Hanifah dan Imam Ahmad mensunatkan dibuang habis misai dengan mencukurnya.
(Faidhul-Qadier, hadis no. 3586. Tuhfah al-Ahwazi)
b) Pandangan kedua;
menurut
ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki; yang disunatkan hanyalah
mengguntingnya sahaja supaya kelihatan bibir mulut (yakni menggunting bahagian
yang memanjang ke atas bibir mulut). Adapun mencukurnya adalah dilarang, di
mana hukumnya adalah makruh. Dalil mereka ialah hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a.
yang menceritakan; Nabi menggunting sebahagian misainya dan berkata; “Nabi
Ibrahim melakukannya” (HR Imam at-Tirmizi.
Menurut
Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan gharib). Imam al-Baihaqi meriwayatkan (dalam
Sunannya) dari Syurahbil bin Muslim al-Khaulani (seorang Tabiin) yang
menceritakan; Aku telah melihat 5 orang sahabat Rasulullah iaitu Abu Umamah,
Abdullah bin Bisr, Utbah bin Abd as-Sulami, al-Hajjaj bin ‘Amir dan al-Miqdam
bin Ma’di Yakrib, mereka menggunting misai selari dengan pangkal bibir mulut”.
(al-Majmu’, Imam an-Nawawi).
Mengenai
hadis-hadis yang dijadikan hujjah oleh pandangan pertama tadi, dijawab; yang
dimaksudkan oleh Nabi dengan ucapannya “…buanglah misai..” bukanlah membuang
keseluruhannya, akan tetapi membuang sebahagiannya sahaja (iaitu yang melepasi
ke bibir mulut) sebagaimana yang ditunjukkan oleh sahabat Nabi tadi.
c) Pandangan ketiga;
menurut
Imam Ibnu Jarir at-Tabari; harus kedua-duanya, yakni kita boleh memilih sama
ada hendak mengguntingnya sahaja atau mencukurnya kerana kedua-duanya sabit di
dalam hadis Nabi s.a.w..
Wallahu
a’lam.
Rujukan;
1.
Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 1/152-155 (Kitab at-Toharah, Bab Khisal
al-Fitrah).
2.
Faidhul-Qadier, Imam al-Munawi, hadis no. 3586.
3.
al-Mjamu’, Imam an-Nawawi, Kitab at-Toharah, bab as-Siwak (1/287).
4.
Tuhfah al-Ahwazi, Kitab Abwab al-‘Ilmi, bab Ma Ja-a Fi Qassi as-Syarib (8/42).
5.
Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 276-280.
6.
Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 21.
7.
Fiqh at-Thoharah, Dr. Abdul-Karim Zaidan, hlm. 42.
By:USTAZ AHMAD ADNAN FADZI
No comments:
Post a Comment