KETIBAAN
bulan Ramadan yang sepatutnya diraikan dengan penuh rasa kesyukuran bertukar
tragedi berdarah di Mesir apabila sekumpulan penyokong Presiden Dr. Mohammed
Morsi yang digulingkan daripada jawatannya terkorban.
Seramai
51 orang terbunuh selepas pasukan keselamatan bertindak melepaskan tembakan dan
gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang dikatakan cuba menceroboh
Kompleks Pengawal Republikan, lokasi Morsi ditahan pada awal pagi 8 Julai lalu.
Lebih
menyedihkan 35 daripada jumlah mangsa yang terbunuh ketika itu sedang
menunaikan solat Subuh berjemaah di satu kawasan terbuka berdekatan Masjid
Rabiatul Adawiyah yang menjadi tempat perhimpunan para penyokong Morsi.
Selain
itu, lebih 400 orang dilaporkan cedera dalam pertempuran antara peserta
demonstrasi jalanan dan pihak tentera sekali gus menjadikan krisis pergolakan
di Mesir semakin membimbangkan.
Kejadian
itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat para penyokong untuk terus
menegakkan keadilan terhadap Morsi yang dipilih secara sah melalui pilihan raya
presiden pada Jun 2012.
Mereka
bertegas untuk terus mengadakan demonstrasi di jalanan sehingga Morsi yang kini
ditahan oleh pihak tentera dikembalikan semula jawatannya sebagai Presiden.
Sebagai
Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokrasi, Morsi telah dikritik
sebagai diktator dan tidak berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin
negara tersebut. Namun, di mata penyokongnya, beliau dianggap sebagai seorang
wira.
"Saya
sanggup menempuh perjalanan sejauh 600 kilometer semata-mata untuk menunjukkan
sokongan kepadanya. Beliau adalah presiden yang telah diundi secara sah,"
ujar Essam al-Hawany, seorang guru sekolah tinggi yang menyertai demonstrasi
tersebut.
Tambah
Essam, pihak tentera telah melakukan penghinaan terhadap demokrasi di Mesir.
Justeru, dia tidak akan gentar untuk terus memperjuangkan keadilan buat Morsi.
"Biarlah
darah kami tumpah kerana kami sanggup mati dalam perjuangan menentang
kebatilan. Jika tidak, kami tidak akan datang ke sini," tegasnya.
Sementara
itu, jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad melalui laman sosial Twitter,
menggesa rakyat Mesir yang patriotik dan berani agar keluar beramai-ramai untuk
mempertahankan negara daripada pengkhianat konspirasi rampasan kuasa oleh pihak
tentera.
Demonstrasi jalanan
"Setiap
wilayah akan mengadakan majlis pengkebumian dan demonstrasi. Kami tidak akan
mengalah," ujarnya.
Apa
yang pasti, pergolakan terus berlaku di Mesir bermula pada 30 Jun lalu iaitu
antara puak yang menyokong dan menolak kepimpinan Morsi. Ia menyaksikan
beberapa buah bandar utama menjadi lokasi perhimpunan penganjuran demonstrasi
jalanan untuk meluahkan pendapat masing-masing.
Bagi
ribuan penyokong Morsi, mereka berhimpun di Rabiatul Adawiyah, Nasr City
manakala Dataran Tahrir di Kaherah menjadi tempat perhimpunan rakyat yang
menolak kepimpinan Morsi.
Menurut
pemerhati politik tanah air, Dr. Maszlee Malik, penggulingan Morsi merupakan
satu pengkhianatan terhadap aspirasi rakyat Mesir pascarevolusi 25 Januari 2011
yang telah menjatuhkan diktator Hosni Mubarak.
"Apa
yang jelas, pihak tentera telah mencabuli demokrasi serta menghina keluhuran
undang-undang di bumi Mesir. Keadaan ini boleh dianggap satu tindakan melangkah
semula ke belakang iaitu ke tahun 1952.
"Ketika
itu, Mesir telah diperintah oleh pihak tentera akibat rampasan kuasa sambil
membelakangkan pilihan rakyat melalui kerangka demokrasi. Malangnya, apabila
perkara sebegini berlaku, negara-negara Barat yang selama ini melaungkan dan
memperjuangkan demokrasi terutama Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah
(EU) bersikap hipokrit.
"Mereka
yang sepatutnya mengecam dan tidak mengiktiraf rampasan kuasa itu, sebaliknya
hanya mendiamkan diri dan cuba menyalahkan Morsi," jelas Maszlee sambil
memuji sikap Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berani mengutuk
rampasan kuasa tersebut.
Tambah
beliau, apa yang merisaukan adalah mengenai masa depan rakyat Gaza di Palestin
memandangkan pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir dan Gaza serta
antara Gaza dengan dunia luar telah ditutup sejak tentera mengambil alih
pemerintahan Mesir.
Mengakui
Morsi mempunyai kelemahan terutama dalam aspek memulihkan keselamatan dan
ekonomi negara, namun ia bukanlah alasan kukuh beliau digulingkan
sewenang-wenangnya.
"Morsi
bekerja dalam keadaan kedua tangannya 'digari'. Saki-baki rejim telah
menyukarkan pentadbiran beliau yang baru berusia setahun. Beliau juga tidak
mendapat kerjasama daripada pihak keselamatan dan media yang sentiasa
memfitnahnya.
"Malah,
pihak yang memonopoli perniagaan dan bekalan bahan api sengaja melakukan
sabotaj terhadap rakyat. Tetapi, dalam keadaan serba terikat itu, Morsi masih
dapat melakukan banyak perubahan walaupun tidak secara menyeluruh. Jadi,
mengapa menghukum beliau terlalu awal?
"Hakikatnya,
tiada presiden yang mampu mengubah sebuah negara pascarevolusi dalam tempoh
sekelip mata," ungkap beliau yang merupakan Pensyarah di Kuliyyah Ilmu
Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Pilihan raya
"Kadar
keciciran pelajaran dan buta huruf dalam kalangan rakyat Mesir merupakan antara
penyumbang kepada tidak stabilnya negara berkenaan," tegasnya.
Dalam
pada itu, Presiden Mesir sementara, Adly Mansour berikrar akan mengadakan
pilihan raya menjelang awal tahun hadapan sebagai respons terhadap situasi di
negara itu.
Mansour
telah mengeluarkan dekri yang menetapkan jadual untuk satu referendum terhadap
perlembagaan yang telah digubal, sebelum pilihan raya presiden dilaksanakan.
Keseluruhan
proses tersebut dikatakan tidak akan mengambil masa melebihi 210 hari. Menurut
dekri itu, satu panel yang mewakili parti politik, agama dan perkhidmatan
keselamatan akan bersetuju dengan penggubalan akhir perlembagaan dan menjadikan
ia sebagai satu referendum dalam tempoh lima bulan.
Di
samping itu, Mansour turut menamakan mantan Menteri Kewangan, Hazem el-Bablawi
sebagai Perdana Menteri sementara dan melantik bekas Ketua Agensi Nuklear
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mohamed El-Baradei sebagai timbalan presiden
yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal luar negara.
Apa
yang pasti, di sebalik kekacauan yang berlaku, para penyokong Morsi tidak
melepaskan peluang menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan di
Dataran Rabiatul Adawiyah.
Foto
yang memaparkan ribuan umat Islam pro-Morsi menunaikan solat tarawih dan solat
tahajud pada malam pertama Ramadan itu telah dimuat naik oleh laman sosial
Facebook Mesir Kini.
source:kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment