Sunday, July 28, 2013

JAWI nafi akan beri kebenaran 4 finalis ratu cantik bertanding semula



Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI ) hari ini menafikan akan memberi kebenaran kepada empat finalis Miss Malaysia World 2013 yang beragama Islam menyertai semula pertandingan berkenaan seperti dilaporkan sebuah portal tempatan baru-baru ini.
    
Pengarahnya Datuk Che Mat Che Ali berkata Jawi sehingga kini belum membuat keputusan berhubung isu itu memandangkan ia masih dalam siasatan.
   
"Perkara ini memang kita tidak boleh terima. Ini hanya spekulasi. Kertas siasatan hanya akan selesai sebelum Hari Raya Aidil Fitri berhubung tindakan selanjutnya terhadap empat peserta itu yang hanya akan dibuat oleh pihak pendakwaan Jawi kepada mahkamah," katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelepasan konvoi program kembara Dakwah Ramadan ke Rumah Anak-anak Yatim Al-Ihsan, Bentong, Pahang di ibunegara hari ini.
   
Sebelum ini sebuah portal menyiarkan laporan bahawa JAWI berkemungkinan akan membenarkan penyertaan empat wanita Islam itu berikutan tindakan penganjur pertandingan ratu cantik itu Datuk Anna Lim membuat rayuan kepada Jawi.
   
Menurut laporan itu Anna Lim memberitahu media bahawa keempat-empat wanita Muslim mungkin mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam Miss Malaysia World 2013.

Lihat ini sebagai pedoman;

Aurat Wanita:

Pakaian jenis ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh seorang Muslimah (yang telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar atau berjalan melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua jenis pakaian ini (jilbab dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya keluar dari rumahnya menuju ke kehidupan am tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka dia tidak boleh (haram) keluar dari rumah kerana perintah yang menyangkut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan tetap dalam keumumannya dalam semua keadaan. Mana-mana wanita yang telah baligh dan melanggar ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka dan layak mendapat seksa Allah di akhirat nanti. 

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (Surah an-Nur ayat 31)

Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah,

“Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [TMQ An-Nur (24):31].

Sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Maha Pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, syurga dan neraka juga benar. Sesungguhnya salah satu ciri-ciri ahli syurga adalah akhlak, perbuatan, percakapan dan pakaiannya memenuhi kehendak syariat Allah SWT.

Aurat Suara

Perlu diingat bahawa wanita muslim perlu menjaga suaranya kepada lelaki yang bukan mahramnya. Walaupun seorang wanita bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. sama ada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yang sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaja ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.

Berdasarkan dalil Al-Quran dan al-hadis, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal syaitan mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah SWT maksudnya :

"Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .." (Surah Al-A'raf ayat 20)

"Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" (Surah Al-A'raf ayat 26)

Daripada Abu Hurairah R.A, baginda Nabi S.A.W bersabda:

"Ada dua golongan yang menjadi penghuni neraka. Aku tidak pernah melihat mereka. Iaitulah segolongan manusia yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu, mereka memukul manusia dengannya. Kedua, golongan perempuan yang berpakaian pada rupanya, namun bertelanjang pada hakikatnya, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu, rambut mereka didandan seperti bonggol unta. Mereka tidak masuk syurga, dan tidak dapat mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu boleh didapati dari jarak sekian sekian". (Riwayat Muslim).

@Berpesan-pesanlah diantara kita kerana mungkin kita lalai dan alpa. Bahawa Allah tidak memandang darjat, kekayaan mahupun rupa paras yang elok. Hanya ketakwaan kepada Allah yang membezakan martabat seseorang itu. Berpeganglah kepada hadis dari Nabi SAW. Ingatlah dihari pembalasan nanti. Tiada pertolongan dari ibu, ayah, saudara-mara mahupun pengarah Jawi itu sendiri. Tidak ada yang lain melainkan hanya Nabi Muhammad SAW yang akan memberikan syafaat kepada umatnya. Oleh itu sebelum terlambat kembalilah kejalan yang benar. Sesungguhnya janji Allah itu benar belaka. Wallahu'alam


No comments:

Post a Comment