Friday, July 19, 2013

Kelebihan Sunnah Rasulullah S.A.W.




[1]. Allah S.W.T. memuji semua perbuatan Nabi S.A.W. dan menamakannya sebagai “teladan yang baik“, dalam firman-Nya yang bermaksud :

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (balasan kebaikan pada) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah” (Surah al-Ahzaab, ayat 21). Ini menunjukkan bahawa orang yang meneladani sunnah Rasulullah S.A.W. bererti dia telah menempuh jalan yang lurus yang akan membawanya mendapatkan kemuliaan dan rahmat Allah S.W.T.

[2]. Orang yang dalam hidupnya mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W. sejak ia bangun tidur sampai tidur kembali, maka orang tersebut akan mendapatkan 4 keuntungan di dunia dan 4 keuntungan akhirat.

4 keuntungan di dunia :
1). Dia disayangi orang di dunia.
2). Dia ditakuti musuh/ syaitan.
3). Hidup akan diberkati.
4). Agama tidak akan tercemar.

4. Keuntungan di Akhirat :
1). Dikubur kita mengenal wajah Rasulullah S.A.W..
2). Rasulullah S.A.W. memberi syafaat pada orang yang selalu hidupkan sunnah 
3). Rasulullah S.A.W. mengenal kita di padang mahsyar
4). Berjiran dengan Rasulullah S.A.W..

[3]. Kelebihan Sunnah :

  • Dalam sunnah ada kejayaan
  • Mempunyai daya kekuatan luar biasa
  • Dapat sifat ikram
  • Sunnah perbuatan kita telah mentauhidkan Allah S.W.T.
  • Mempunyai nur ( memberi hidayah pada orang lain )


[4]. Dari ‘Amr bin ‘Auf bin Zaid al-Muzani ra, Rasulullah S.A.W. bersabda, “Barangsiapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang-orang yang mengamalkannya, dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun"

[5]. Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari berkata, “Orang muslim yang paling utama adalah orang yang menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W. yang telah ditinggalkan (manusia), maka bersabarlah wahai para pencinta sunnah (Rasulullah S.A.W.), kerana sesungguhnya kalian adalah orang yang paling sedikit jumlahnya (di kalangan manusia)”

[6]. Muhammad bih Shaleh al-’Utsaimin – Syaikh rahimahullah berkata, “Sesungguhnya sunnah Rasulullah S.A.W. jika semakin dilupakan, maka (keutamaan) mengamalkannya pun semakin kuat (besar), kerana (orang yang mengamalkannya) akan mendapatkan keutamaan mengamalkan (sunnah itu sendiri) dan (keutamaan) menyebarkan (menghidupkan) sunnah di kalangan manusia”

[7]. Dari Anas bin Malik ra. katanya, Rasulullah S.A.W. telah berkata kepadaku: Hai anakku! Jika engkau mampu tidak menyimpan dendam kepada orang lain sejak dari pagi sampai ke petangmu, hendaklah engkau kekalkan kelakuan itu! Kemudian Baginda menyambung pula: Hai anakku! Itulah perjalananku (sunnahku), dan barangsiapa yang menyukai sunnahku, maka dia telah menyukaiku, dan barangsiapa yang menyukaiku, dia akan berada denganku di dalam syurga! (HR Tarmidzi).

[8]. Dari Ibnu Abbas ra. bahawa Nabi S.A.W. berkata: "Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerosakan pada umatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid". (HR Al-Baihaqi).

[9]. Syeikh Qadir Al-Jailani solat 1000 rakaat pada waktu malam. Ini kerana dia suka melakukannya dan telah menemui rahsia solat dan dengan itu tidak merasa bosan dengan ibadah itu. Imam Ali Zainal Abidin yang bangun solat 1000 rakaat setiap malam. Seorang ulama besar di Hadramaut, bernama Al- Habib Hasan bin Soleh Al-Bahra, membaca 90 ribu kali surah Al-Ikhlas sehari.

[10]. Syeikh Nuruddin, guru kepada Imam Asy- sha’roni menceritakan bahawa beliau berselawat 500 ribu kali pada setiap malam. Kenapa dia boleh melakukannya? Kerana dia sukakan kepada selawat itu. Imam Abu Hanifah membaca dan mengkhatam Quran dalam masa 2 rakaat tanpa rasa bosan, ataupun mengeluh.

[11]. Rahmat tersembunyi yang diberi Allah S.W.T. akan dapat dirasai melalui:

1). Berusaha dan berupaya memperbaharui taubat kita sepanjang masa.
2). Berazam menghidupkan sunnah Nabi S.A.W. selagi hidup.

[12]. Seseorang itu perlu memulakan dengan diri dan keluarga dahulu, sehingga rumahnya tersinar dengan sunnah Nabi khususnya sunnah lazim yang Nabi buat setiap hari, contohnya:

1). Ketika masuk rumah, Nabi S.A.W. melangkah masuk dengan kaki kanan dahulu.
2). Mengucapkan salam kepada ahli keluarganya dan
3). Membaca surah Al-Ikhlas sebelum masuk.

[13]. Kata ulama: Jika seseorang manusia itu tidak diberikannya selain daripada 3 nikmat ini, maka itu sudah mencukupi untuk dia mengecap kebahagian hidup di dunia dan untuk dia mengecap kebahagian yang kekal di akhirat. Tiga nikmat yang dimaksudkan itu adalah nikmat Iman, Islam dan juga nikmat menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W..

[14]. Kata Nabi Allah Adam AS berkata; Beberapa kemulian umat Muhammad yang tidak diberikan kepada umat aku antaranya;

1) Aku diberikan taubat di Makkah, sedangkan umat Muhammad tidak kira di mana-mana saja tempat yang mereka rasakan mereka mahu bertaubat.

2) Ketika aku melakukan maksiat maka Allah menelanjangkan aku, sedang aku dalam keadaan berpakaian. Namun umat Muhammad melakukan maksiat dalam keadaan bertelanjang sekalipun, Allah masih memberikan pakaian kepada mereka.

3) Nabi Muhammad telah meminta doa mustajabnya ke atas umat disimpan untuk akhirat sebagai syafaat. Sedang nabi-nabi terdahulu telah menggunakannya, dan sebahagiannya dipohon untuk membinasakan umat mereka yang terdahulu.

[15]. Terdapat tujuh amalan Nabi S.A.W. yang tidak pernah ditinggalkan baginda sebagai sunnah dan amalan seharian iaitu :

Pertama : Melaksanakan solat berjemaah di masjid. Abdullah bin Umar r.a menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, "Solat dengan berjemaah adalah dua puluh tujuh (27) kali baik mutunya daripada solat bersendirian." Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud, "Barangsiapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah, maka satu langkah menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan kebaikan. Hal itu berlangsung pada saat berangkat mahupun pulang." (HR Ahmad dan Ibnu Hibban).

Kedua : Mengerjakan solat tahajjud. Bilal r.a. berkata Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamullail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( HR Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.) Sungguh Nabi S.A.W. solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Dalam satu riwayat Aishah berkata kepada Nabi S.A.W..: “Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang.” Baginda bersabda: “Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?” (HR Imam al-Bukhari).

Ketiga : Membaca al-Quran. Pembaca al-Quran akan mendapat kemuliaan dihari akhirat nanti.

1). Mereka adalah keluarga Allah S.W.T. Daripada Anas ra. Ia berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda, "Sesungguhnya Allah itu mempunyai keluarga yang terdiri daripada manusia. "Kemudian Anas berkata lagi, "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Iaitu ahli Quran (orang yang membaca atau menghafal Al-Quran dan mengamalkan isinya). Mereka adalah keluarga Allah dan orang-orang yang istimewa bagi Allah".

2). Ditempatkan di Syurga yang paling tinggi.

3). Ahli al-Quran adalah orang yang arif di Syurga. Daripada Anas ra. Bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda; "Para pembaca Al Quran itu adalah orang-orang yang arif di antara penghuni Syurga".

4). Dapat memberi syafaat kepada ahli keluarga. Daripada Ali Bin Abi Talib ia berkata, "Barangsiapa membaca Al Quran dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga dan memberikannya hak syafaat untuk sepuluh anggota keluarganya di mana mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk Neraka."

5). Memakai mahkota kehormatan. Daripada Abu Hurairah ra. daripada Nabi S.A.W. baginda bersabda maksudnya : "Orang yang hafal Al Quran, pada hari kiamat nanti akan didatangi oleh Al-Quran akan berkata; "Wahai Tuhan, pakaikanlah dia dengan pakaian yang baik lagi baru." Maka orang tersebut diberikan mahkota kehormatan. Al Quran berkata lagi : "Wahai Tuhan tambahlah pakaiannya." Maka orang itu di beri pakaian kehormatannya. Al Quran lalu berkata lagi, "Wahai Tuhan, redhailah dia." Maka kepadanya dikatakan; "Bacalah dan naiklah". Dan untuk setiap ayat, ia di beri tambahan satu kebajikan."

6). Al-Quran merupakan bekalan terbaik. Daripada Jabir bin Nufair, katanya Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya kamu tidak akan kembali menghadap Allah dengan membawa sesuatu yang paling baik daripada sesuatu yang berasal daripada-Nya iaitu Al Quran.

Keempat: Solat Dhuha. Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya. Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat dhuha.“ (Hadis Riwayat Muslim). Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata: "Kekasihku (Rasulullah S.A.W.) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur". Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud, "Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti pahala haji. Barangsiapa yang keluar untuk solat Dhuha dan tidak keluar melainkan hanya untuk itu, pahalanya seperti pahala umrah.“ (Hadis Riwayat Abu Daud).

Kelima : Memberi sedekah. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).” (HR al-Tirmuzi) Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang soleh.” (Surah al-Munafiqun ayat 10).

Keenam : Beristighfar dan berzikir. Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud: "Sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari semalam." Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka." Berzikir dapat melepaskan diri dari bahaya. Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Maka Yunus ditelan oleh ikan yang besar. Maka kalau sekiranya, dia tidak termasuk orang-orang banyak mengingat Allah, nescaya ia akan tetap tinggal dalam perut ikan itu hingga hari berbangkit”. (Surah As Shafaat ayat 142). Berzikir memperoleh pahala yang tinggi. Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya: “Dua kalimah yang tercinta kepada Tuhan Yang pemurah, ringan diucapkan pada lidah, berat dalam timbangan iaitu: Subhanallahi Wabihamdihi, Subhanallahil Aziim.” (HR Bukhari dan Muslim).

Ketujuh : Sentiasa berwudhu. Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi S.A.W., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud: "Tidaklah salah seorang di antara kamu berwudhu, maka ia sempurnakan wudhunya kemudian berkata, Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya, kecuali dibukakan baginya lapan pintu Syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya." (Hadis Riwayat Muslim). Dari Abu Hurairah r.a. yang berkata, bahawa ia mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan bersinar putih wajah dan anggota wudhunya dari bekas-bekas wudhu. Barangsiapa di antara kamu ingin memanjanglan sinarnya, maka lakukanlah.“ (Muttafaq Alaih)

source:slideshare.net


No comments:

Post a Comment