Thursday, July 18, 2013

Rakyat guna kuasa sendiri jika kerajaan lewat bertindak



PULAU PINANG 17 Julai - Kelewatan kerajaan bertindak tegas terhadap pihak atau individu yang mempersenda agama Islam menyebabkan rakyat, khususnya umat Islam terpaksa mengambil jalan penyelesaian sendiri meskipun menyalahi undang-undang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, perkara sedemikian amat membimbangkan berikutan kejadian lebih buruk mungkin boleh berlaku yang mampu menggugat perpaduan kaum.

Menurutnya, kes culik dan membogelkan seorang penjaga kaunter kafe siber di Lembah Klang kelmarin merupakan permulaan kepada kebangkitan masyarakat Islam yang terlalu marah dengan perbuatan menghina Islam sejak kebelakangan ini.
"Saya bimbang pada suatu hari nanti rakyat akan menggunakan kuasa mereka dengan mengambil tindakan sendiri.

"Kerajaan perlu tegas, gunakan undang-undang sedia ada terhadap mereka yang mempersendakan Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian pukul 3 pagi kelmarin yang mana mangsa terbabit diculik sekumpulan lapan lelaki menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna ketika berada di sebuah restoran bersama teman wanitanya di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Mangsa kemudian dibawa kumpulan suspek terbabit ke sebuah kawasan hutan sebelum dibogelkan, seterusnya ditinggalkan di tepi jalan di Kilometer 4.5, Lebuh Raya Duke berhampiran susur masuk ke Setiawangsa.

Selain dibogelkan dengan seluar, baju dan pakaian dalamnya dilarikan, badan mangsa turut diconteng.

Musa memberitahu, sekiranya kerajaan masih gagal bertindak tegas terhadap pihak yang menghina Islam, rakyat mungkin akan hilang kepercayaan terhadap undang-undang negara.

"Mereka (rakyat) akan melihat undang-undang sedia ada tidak tegas, tidak perlu dihormati," tegasnya.


No comments:

Post a Comment