TIDAK ramai
yang tahu akan cerita ini. Peristiwa yang berlaku dalam hidupnya pada satu
malam, kira-kira tujuh tahun lalu menjadikan penyanyi Memburu Rindu
terus-terusan dilanda kasmaran kepada wanita bernama Arianie Mohd. Abidin.
"Selepas
dua atau tiga tahun bercerai, aku didatangi mimpi. Mimpi yang indah sekali dan
berlaku pada satu malam Jumaat. Aku bermimpi dengan disaksikan oleh arwah ayah
aku sendiri. Dalam mimpi itu, aku dan Arianie kembali bernikah. Kami kembali
menjadi suami isteri dalam mimpi yang sangat mendamaikan jiwa itu,"
beritahu Hattan kepada Mega dalam perbualan eksklusif kami, selepas empat hari
kembali bergelar suami.
Lalu, mimpi
itulah yang memberi kekuatan kepada lelaki yang dilahirkan dengan nama Mohd.
Shukri Sahabuddin ini. Mimpi itu kejap dan berbekas di jiwa, menaburkan
bunga-bunga semangat untuk kembali memburu cinta wanita itu.
Meskipun
mereka telah dipisahkan oleh satu talak pada 2005 (Hattan mengaku lafaz cerai
dibuat kerana sifat 'baran' sendiri), Arianie masih ada untuknya. Arinie lah
isteri yang akan menjaga makan minum pada hari tuanya dan Arianie juga adalah
tulang rusuk yang akan kembali kepada dirinya sebagai tuan pemilik.
"Aku
pegang pada mimpi itu sebagai petunjuk Allah. Sebab itu, selepas tiga tahun
kami bercerai, aku lebih banyak bertaubat, tinggalkan dunia-dunia kelab malam,
kehidupan buruk. Satu persatu aku tinggalkan sebab aku tahu, hal-hal itu antara
perkara yang buat Arianie tidak suka," katanya.
Kepada penulis
sendiri, Hattan pernah katakan bahawa walau dengan apa cara sekalipun, dia
yakin wanita itu akan kembali menjadi miliknya, dengan izin Yang Maha Esa.
"Aku
dapat rasa, tidak akan ada perempuan lain yang boleh jaga aku, sama macam
Arianie jaga aku. Hanya dia yang faham tentang aku," itu yang diucapkan
kira-kira empat atau lima tahun lalu. Ketika itu dia telah kehilangan Arianie
hampir lima tahun dan selepas perceraian, Hattan mengakui sukar untuk dia
meneruskan hidup tanpa wanita itu di sisi.
"Aku
memang hendak kahwin dengan dia balik, aku tak boleh kahwin dengan orang lain.
Bila aku hilang dia, baru aku tahu dia sangat bernilai pada hidup aku,"
katanya lagi dalam perjalanan pulang kami selepas terlibat dalam penganjuran
Konsert Pancaindera di Johor Bharu ketika itu.
Sebenarnya
hasrat Hattan untuk kembali memiliki Arianie tidak pernah padam. Hari pertama
dia melafazkan cerai, detik itu juga dia berpaling daripada rasa amarah dan
mahu kembali bersatu dengan Arianie.
Lalu, ketika
buat kali keduanya menzahirkan lafaz kembali bernikah dengan wanita yang sama,
ada air mata yang deras mengalir di pipi lelaki ini.
Semuanya
kerana terkenangkan kembali kepada mimpi yang memberikan kekuatan kepada
dirinya untuk mendapatkan semula Arianienya yang telah pergi.
"Ketika
mahu berjabat tangan dengan tok kadi, aku teringat kepada mimpi malam Jumaat
itu, itulah keajaiban, benda tu yang buat aku menangis. Tak tahu nak cakap apa
lagi. Ya Allah, ini dia, inilah dia. Aku tak boleh hendak terang kepada semua
orang kenapa aku menangis. Aku menjadi sangat insaf. Tuhan itu satu, Dia Maha
Agung dan aku sebak sendirian.
"Melalui
mimpi itu, aku tahu, aku sangat sayang dan kasih kepada dia. Tiada tempat untuk
orang lain di hati ini, selain dia sebenarnya," katanya yang dalam
perbualan kami, turut beberapa kali menjadi sebak tidak keruan.
Hattan dan
Arianie kembali bergelar suami isteri pada 15 Ramadan 1434 dengan mas kahwin
RM300 tanpa sebarang hantaran lain, di Putrajaya, Rabu lalu.
Bukan tidak
ada perempuan lain yang singgah di hatinya sebelum ini. Ada. Malah, Hattan
pernah bernikah seketika dengan seorang wanita lain tidak lama dahulu tetapi
bercerai hanya selepas dua bulan menjadi suami isteri.
Untuk Arianie
pula, pernah bertunang, tetapi terputus di tengah jalan, maka hari ini dia
kembali kepada Hattan, lelaki yang telah memberikannya seorang zuriat sebelum
ini.
"Masa
Arianie bertunang, aku cakap sendiri kepada dia, "Kau takkan bernikah
dengan dia, kau akan bernikah dengan aku balik." Arianie marah kepada aku
ketika itu, tetapi itu adalah keyakinan aku. Aku pun tidak boleh jadi suami
kepada perempuan lain sebab dalam otak aku, tak pernah padam nama Arianie.
Asyik teringat kepada Arianie, macam mana aku nak bahagia dengan perempuan
lain?" demikian ceritanya dengan nada paling berterus terang.
Hikmah tangguh tunai haji
Hari pertama
setelah kembali bergelar isteri, melihat Arianie masuk ke rumah kelamin mereka
di Putrajaya, hati lelakinya begitu terkesan.
"Dio
masuk rumah den, dio susun balik baju-baju den, hati den pun cair,"
ketawanya dalam bahasa Negeri Sembilan yang lepas bebas.
Perbualan kami
berlangsung selepas empat hari Hattan kembali bergelar suami Arianie. Apa yang
mahu dikongsi?
"Aku boleh
cakap, hidup aku lebih bermakna. Kami jadi macam dulu-dulu semula, macam baru
kahwin. Tetapi kali ini lebih romantik dan cinta kami lagi matang. Semalam kami
pergi pasar malam Putrajaya, beli samping aku. Boleh pegang-pegang tangan,
peluk-peluk pinggang lagi," katanya.
Hattan juga
mengaku, dia pernah membuat keputusan untuk membatalkan hasrat menunaikan
ibadah haji pada 2012 meskipun sudah membuat banyak persiapan untuk itu.
"Pada
tahun 2012, memang sudah daftar, tetapi tiba-tiba aku tidak jadi pergi. Hati
aku kuat mengatakan, aku nak tunggu Arianie untuk pergi buat ibadah Haji
bersama-sama sebagai suami isteri.
"Insya
Allah, kalau semuanya berjalan lancar, aku akan bawa Arianie dan ibu mertua
sekali mengerjakan ibadah haji bila rezeki kami sampai nanti," kata bapa
kepada Adam Eiman, 15.
Majlis
pernikahan ringkas yang turut disertai dengan majlis berbuka puasa itu dihadiri
oleh kira-kira 250 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan
terdekat serta petugas media.
Selain
daripada beberapa rakan artis dan pemain bola sepak yang hadir, majlis tersebut
turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri
Ahmad Shabery Cheek bersama keluarganya. Pasangan itu sah menjadi suami isteri
dengan dua kali lafaz pada pukul 6 petang di hadapan Pegawai Tadbir Agama
Daerah Sepang, Abdul Halim Mohd. Isa
No comments:
Post a Comment