Sunday, July 7, 2013

Rooney Kekal Milik United


London: Pengurus baru pasukan Manchester United David Moyes mengesahkan Wayne Rooney tidak akan dijual. Beliau berkata demikian pada sidang media pertama sejak beralih ke Old Trafford. Masa depan Rooney menjadi spekulasi dan tumpuan musim panas ini hingga mengaburi perpindahan Moyes yang mengambil alih tugas Sir Alex Ferguson.

Chelsea, Arsenal dan Paris Saint Germain (PSG) diramal menjadi lokasi perpindahan buat penyerang England itu namun Moyes menegaskan anak buahnya itu akan kekal di Old Trafford. “Wayne bukan untuk dijual. Dia pemain United dan akan kekal di sini,” tegasnya. Moyes pernah memimpin Rooney, 28, ketika dia bersama Everton lantas optimis beliau mampu meraih yang terbaik dari penyerang England itu.

“Saya bertuah kerana sudah mengenali Wayne ketika usianya baru 16 tahun. “Malah, saya juga sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan Wayne. Dia menjalani latihan dengan hebat dan kembali ke prestasi yang amat baik menjadikan saya teruja untuk bekerja dengannya. “Selepas berbincang dengannya beberapa kali, bagi saya perkara lalu itu tidak perlu diungkit lagi.

“Kini kami bekerjasama dan saya lihat dia turut teruja dan gembira. Dia seorang pemain yang hebat dan sekali lagi saya tekankan, Wayne bukan untuk dijual,” katanya. Moyes turut enggan menyentuh pergeseran yang dilapor berlaku antara Rooney dan bekas pengurus United Sir Alex Ferguson.

“Saya tidak tahu intipati pertemuan mereka. Bagi saya, masa saya baru bermula di United. “Saya ingin berusaha membantu Wayne mengecapi prestasi terbaiknya. “Bagi saya Wayne setaraf legenda kelab ini, George Best, Bobby Charlton atau Roy Keane.” - Agensi

No comments:

Post a Comment