Nabi Idris A.S
adalah nabi kedua yang wajib diketahui oleh umat Islam. Dikisahkan bahawa Nabi Idris
diangkat ke syurga kerana setiap hari dia membuat amal yang diterima sebanyak
alam penduduk bumi. Melihat akan hal itu, maka malaikat Izrail begitu sayang
kepadanya. Pada suatu hari, Izrail meminta izin kepada Allah untuk turun ke
bumi untuk berjumpa dengan Nabi Idris dan Allah memperkenankannya.
Lalu turunlah
Izrail ke bumi dalam bentuk rupa seorang manusia biasa dan memberi salam pada
Nabi Idris serta duduk di sampingnya. Nabi Idris yang sedang berpuasa ketika
itu memperlawa tamunya untuk makan setelah tiba waktu berbuka puasa, namun
tamunya itu hanya mendiamkan diri. Nabi Idris pun meneruskan ibadahnya sambil
dilihat Izrail sehingga terbit fajar.
Melihat akan
hal tamu yang duduk di sebelahnya, maka Nabi Idris pun bertanya, “Hai lelaki,
mahukah kamu berjalan-jalan denganku supaya kita berasa senang?”.
Lalu
Izrail menjawab, “Ya, aku mahu”.
Mereka
berdua pun berjalan-jalan dan tiba di sebuah ladang yang sangat subur
tanamannya.
Malaikat
Izrail berkata, “Bolehkah kamu izinkan aku mengambil buah-buahan itu?”.
Berkata
Nabi Idris, “Maha suci Allah, semalam kau tak mahu makan benda yang halal dan
kini kau mahu memakan benda yang haram”.
Mendengar
jawapan Nabi Idris, Izrail pun terdiam.
Setelah itu,
mereka pun berjalan selama 4 hari dan dalam tempoh itu Nabi Idris merasakan
perbezaan tamunya itu dengan manusia biasa, lalu Nabi Idris bertanya, “Aku
dapati kau amat berbeza sekali daripada manusia biasa lain. Oleh itu aku harap
dapatlah kau memberitahu aku siapakah dirimu”.
Izrail menjawab,
“Aku adalah malaikat pencabut nyawa bernama Izrail”.
Nabi Idris
bertanya lagi, “Sudah 4 hari kamu bersamaku, bagaimanakah kamu mencabut roh
yang lain?”.
Izrail pun
berkata, “Memang kerjaku mencabut roh dan sesungguhnya ia adalah perkara
yang mudah seperti hidangan makanan yang aku hadapi”.
Kemudian
Nabi Idris bertanya lagi,
“Wahai Izrail,
adakah kau datang sekadar untuk menziarahi aku atau pun mencabut rohku?”.
Jawab
malaikat Izrail, “Aku datang menziarahimu dan aku telah mendapat keizinan
Allah”.
Setelah
mendengan jawapan Izrail, maka berkatalah Nabi Idris, “Wahai Izrail, aku
mempunyai hajat”.
“Katakan
hajatmu itu”, jawab Izrail.
Ujar
Nabi Idris, “Hajatku padamu ialah kamu hendaklah mencabut rohku. Kemudian Allah
akan menghidupkan aku supaya aku boleh kembali beribadah kepadaNya sesudah aku
merasakan sakitnya mati”.
Izrail
menjawabnya dengan tenang, “Sebenarnya aku tidak mempunyai kuasa untuk mencabut
roh seseorang kecuali dengan izin Allah”.
Atas permintaan
Nabi Idris itu, Allah mewahyukan kepada Izrail, “Hai Izrail, cabutlah nyawa
Idris itu”. Maka Izrail pun menurut perintah dan mencabut nyawa Nabi Allah itu
dan kematian Nabi Idris ditangisinya. Lalu Izrail memohon supaya Allah
menghidupkan kembali Nabi Idris yang menjadi teman baiknya. Allah
memperkenankan doa Izrail lalu Dia menghidupkan semula Nabi Idris.
Setelah hidup
semula, maka Izrail bertanya kepada Nabi Idris,
“Wahai Idris,
bagaimanakah rasanya mati itu?”.
Jawab Nabi
Idris, “Rasanya seperti mengupas kulit binatang yang hidup, rasa sakitnya
adalah lebih seribu kali ganda”.
Berkata Izrail
pada Nabi Idris, “Aku mencabut nyawamu dengan cara yang paling lembut sekali
dan tidak pernah aku mencabut roh selembut ini”.
Nabi Idris kemudian
menyatakan hasratnya untuk melihat neraka jahanam kepada Izrail supaya dia
boleh beribadah dengan lebih tekun lagi selepas ini. Izrail pun berkata, “Aku
tidak dapat membawa kamu pergi tanpa izin dari Allah”. Lalu Allah mewahyukan
kepada Izrail, “Bawalah oleh kamu dan tunjukkanlah kepada Idris akan neraka
jahanam itu”. Lalu dibawanya Nabi Idris melihat neraka jahanam dan Nabi Idris
dapat melihat suasana yang mengerikan dalam neraka tersebut.
Setelah
keduanya kembali dari melihat neraka jahanam, maka berkatalah Nabi Idris akan
hajatnya lagi, “Wahai Izrail, aku ingin sangat melihat syurga yang Allah
ciptakan untuk hambaNya yang taat”.
Izrail
menjawab, “Aku tak dapat membawamu kecuali dengan izin Allah”. Kemudian Allah
mewahyukan lagi kepada Izrail, “Wahai Izrail, bawalah Idris melihat syurga. Aku
memberi izin kepadamu”.
Setelah sampai
di pintu syurga, maka nampaklah Nabi Idris akan kecantikan syurga yang tidak
ada tolok bandingnya. Melihat hal yang demikian, Nabi Idris pun berkata, “Wahai
malaikat Izrail, aku telah merasakan sakitnya mati. Aku juga telah melihat
neraka serta siksaan di dalamnya. Oleh itu aku harap kamu mohonlah pada Allah
supaya aku dapat duduk di dalam syurga dan meminum airnya supaya hilang rasa
sakit mati dariku dan minta hindarkanlah aku dari api neraka jahanam”.
Kemudian Izrail
memohon kepada Allah dan Allah memberi izin kepada mereka untuk masuk dan
keluar dari syurga. Setelah mendapat izin, Nabi Idris masuklah ke dalam syurga
dan meletakkan kasutnya di bawah sebatang pohon syurga. Nabi Idris kemudiannya
keluar dari syurga sambil berkata, “Wahai Izrail, aku tertinggal kasutku. Oleh
itu bawakan aku kembali ke dalam”. Nabi Idris segera masuk kembali ke dalam
syurga, tetapi setelah ditunggu beberapa lama oleh Izrail, dia masih belum
keluar lagi.
Maka risaulah
Izrail lalu berkata, “Wahai Idris, keluarlah kamu dari syurga”.
Jawab Nabi
Idris, “Aku tidak mahu keluar dari syurga ini kerana Allah telah berfirman,
‘Kullu nafsin dzaaiqatul mauti‘ (dan tiap-tiap yang bernyawa itu mesti
merasakan mati) dan sesungguhnya aku telah mati”. Sambung Nabi Idris lagi,
“Allah juga telah berfirman, ‘Wa-in minkum illaa waariduhha‘ (dan tidak adalah
di antara kamu kecuali dia memasukinya) dan aku telah masuk neraka”. Kemudian
Nabi Idris berkata lagi, “Allah berfirman, ‘Wamaahum bimukhrijiina‘ (dan
tidaklah mereka itu dikeluarkan daripadanya). Maka siapakah yang mengeluarkan
aku daripadanya?”
Akhirnya Allah mewahyukan kepada malaikat
Izrail, “Hai Izrail, biarlah Idris itu. Sesungguhnya Aku telah memutuskan di
zaman azali bahawa sesungguhnya Idris itu adalah termasuk dalam ahli syurga”.
No comments:
Post a Comment