Surat terbuka kepada Dr Mahathir ― Faekah Husin
13 MAC ― Kenyataan mantan Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed di Klang baru-baru ini saya kira telah
melampaui batas dan lebih bersifat liabiliti kepada slogan 1Malaysia yang cuba
dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Dr Mahathir menuduh kononnya
masa depan dan hak keistimewaan orang Melayu serta kesucian agama Islam akan
terancam sekiranya Pakatan Rakyat terus berkuasa di Negeri Selangor.
Kenyataan beliau menunjukkan bahawa
beliau telah tertinggal jauh dari perkembangan politik tanahair. Dr Mahathir
masih menyanyi lagu lama; lagu perkauman dan menakut-nakutkan orang Melayu
serta mahu menyegarkan pertembungan kaum setelah bibit-bibit kebencian terhadap
kaum dan penganut agama lain beliau tanam di kalangan rakyat di sepanjang 22
tahun pemerintahannya.
Dr Mahathir sepatutnya sedar ketika
beliau mengungkapkan kata-kata penghinaan
mengenai agama Islam tersebut, beliau berada di Bandar Di Raja Klang,
Bandar kebanggaan Sultan-Sultan di Selangor. Pentadbiran Pakatan Rakyat
menyerahkan hal ehwal agama Islam kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tanpa campur tangan politik.
Sesungguhnya, Ketua Agama Islam di
negeri ini adalah DYMM Sultan Selangor sendiri dan baginda begitu menjaga
kesucian agama Islam serta sentiasa mempertahankan kepentingan umat Islam.
Pentadbiran kerajaan negeri pula akur, patuh dan menghormati apa sahaja keputusan DYMM Sultan
Selangor berkenaan kesucian dan pembangunan agama Islam. Mana mungkin di bawah
pentadbiran Pakatan Rakyat kesucian agama Islam boleh terancam. Tohmahan Dr
Mahathir ini merupakan keceluparan melampau hatta menghina Institusi Agama dan
Raja di negeri ini.
Di Selangor, JAIS memperolehi
peruntukan yang paling tinggi di dalam Belanjawan Negeri; melebihi RM130 juta
setahun. Dari segi pembangunan, kita telah membelanjakan lebih RM405 juta untuk
membina masjid dan sekolah agama dan lebih RM46 juta untuk baik pulih masjid
dan sekolah agama sepanjang tempoh 2008-2012. Kita juga telah menaikkan elaun
guru-guru Sekolah KAFA dari RM400 ketika pemerintahan Dr Mahathir kepada
RM1,300 hari ini. Pengiktirafan yang kita berikan ini antara salah satu cara
kita meningkatkan ilmu agama di kalangan anak-anak Melayu Islam sebagai
pelaburan modal insan.
Sebaliknya pada zaman pemerintahan Dr
Mahathir, Sekolah-sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Tahfiz seringkali diugut
dengan pembubaran. Pelbagai alasan dangkal yang diberikan Dr Mahathir. Banyak
juga kenyataan menghina yang dikeluarkannya ketika itu antaranya; anak-anak
Melayu yang bersekolah kebangsaan waktu pagi dan ke sekolah agama sebelah
petangnya akan keletihan dan lemah dalam pelajaran. Sedangkan tidak banyak
faedah bersekolah agama di sebelah petang, sekadar menghafal doa makan dan
masuk tandas sahaja.
Pada Dr Mahathir, amalan berjaga malam
untuk berqiamulail hanya menjadikan anak-anak Melayu ini kurang tidur lantas
melemahkan sel-sel otak mereka, lembab dan tercicir di dalam pelajaran. Rakyat
di negeri ini masih belum lupa penghinaan tersebut dan jika mahu disebut satu
persatu perlakuan Dr Mahathir terhadap agama Islam serta penghinaan terhadap
umat Islam, kita sendiri yang akan terasa malu dengan masyarakat bukan Melayu
dan bukan Islam kerana ada di antara kita bersikap jelek begitu. Tiba-tiba hari
ini Dr Mahathir cuba menjadi jaguh agama.
Memang benar kata-kata seorang ulama
terkenal di negara ini yang menyatakan jika seseorang itu telah bergelar
“Mantan” ini bermakna kata-kata serta pandangannya sudah tidak relevan lagi.
Jangan diambil pusing, elok sahaja dibiarkan melalak tanpa perhatian. Ini
sangat bertepatan sekali dengan situasi Dr Mahathir ketika ini. Nampaknya
beliau masih berilusi dan mengalami sindrom penafian bahawa beliau sudah
menjadi mantan hampir 10 tahun lamanya.
Dr Mahathir juga membuat tuduhan jahat
kononnya nasib orang Melayu akan tergadai jika pembangkang memerintah Selangor.
Mahathir perlu tahu Umno adalah pembangkang di Selangor; melatah dan tersasul
sememangnya sifat seorang mantan 10 tahun yang gagal menerima hakikat bahawa
kuasa sudah bukan miliknya lagi.
Kita tidak menafikan Dr Mahathir
meneruskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang matlamat asalnya membantu orang
Melayu. Malangnya dasar itu ternyata gagal dalam pelaksanaannya kerana agihan
kekayaan yang tidak adil dan tidak telus. Amalan kronisme; memperkaya suku sakat
sangat berleluasa dan “dihalalkan” atas dasar menjaga kepentingan Melayu.
Sasaran 30 peratus ekuiti orang Melayu tidak tercapai kerana salah guna kuasa
dan kecurangan yang diamalkan.
Hanya segelintir Melayu yang mempunyai
hubungan dengan pemimpin Umno menikmati keistimewaan tersebut manakala
masyarakat Melayu teramai ketinggalan dan kekal di takuk lama. Pada Dr
Mahathir, Melayu bererti Halim Saad, Tajudin Ramli, Syed Mokhtar dan beberapa
kerat nama lagi termasuk Mokhzani dan Mukhriz Mahathir. Adakah yang dimaksudkan
Dr Mahathir menjaga kepentingan Melayu adalah untuk menjaga kepentingan
segelintir nama di atas?
Bukan dasar kita membongkar apa yang
telah dilakukan Umno sepanjang pemerintahan mereka di Selangor. Kita maklum
kerana kerakusan mereka merompak hasil negeri ini maka mereka terhukum pada
2008. Namun, tuduhan melampau Dr Mahathir menjadikan saya teruja untuk
mendedahkan sedikit apa yang dikatakan “menjaga kepentingan Melayu” itu.
Melalui semakan rambang, kita dapati ratusan ekar tanah dimiliki Umno Selangor
atas dasar Melayu dan Bumiputera. Apabila perkara ini didedah di Dewan Negeri
Selangor baru-baru ini, mereka dengan angkuh mengatakan apa salahnya mereka
mengambil tanah rakyat ini kerana kononnya merekalah yang telah membangunkan
negeri ini !!
Ratusan ekar tanah mereka perolehi
hanya dengan membayar premium paling minima RM100 setiap ekar. Kebanyakan tanah
tersebut kini telah dimajukan dan dijual dengan harga ratusan juta kepada
syarikat swasta yang bukan milikan Bumiputera. Saya tidak bermaksud mempersoal
pemilikan tanah oleh bukan bumiputera tetapi sikap hipokrasi Umno begitu
menjengkelkan. Peliknya, ketika menjual hartanah tersebut kepada syarikat
swasta dengan keuntungan berlipat ganda, tidak pula mereka bertempek “Hidup
Melayu”!! Mengapa Dr Mahathir tidak menghalang pimpinan Umno ini dari menggadai
tanah-tanah orang Melayu ini kepada orang bukan Melayu? Mana perginya
kedaulatan, maruah dan harga diri orang Melayu yang dilaung-laungkan?
Kita juga mendapati ketika pemerintahan
Umno di Selangor, ribuan ekar Tanah Rezab Melayu yang terletak di bandar telah
ditarik keluar dan dijadikan milikan bebas. Diganti pula dengan tanah di hujung
kampong seperti di Panchang Bedena, Sabak Bernam serta di Hulu Selangor. Maka
terletaklah Tanah Rizab Melayu jauh dari kota kerana pada Umno, orang Melayu
layaknya hidup terperosok di kampung-kampung. Kerana itu jugalah, apabila
kerajaan Pakatan Rakyat berusaha meningkat taraf hidup orang Melayu dengan
memberi peluang memiliki aset bertaraf dunia seperti pembangunan Datum Jelatek,
hiruk pikuk Umno membantah pembangunan tersebut. Umno mahu Melayu kekal
berniaga di warung-warung dengan bermentaliti pemilik gerai.
Dr Mahathir juga antara manusia yang
bertanggungjawab memperkenalkan konsep penswastaan di negara ini. Seperti DEB,
penswastaan juga bermatlamat murni namun pelaksanaan tempang dan curang telah
menjadi beban kepada rakyat tetapi syurga kepada kroni dan pimpinan Umno.
Contoh terdekat bagi negeri Selangor ialah penswastaan konsesi air. Meskipun
tidak mempunyai kepakaran dan kemampuan kewangan namun oleh kerana beliau
adalah Bendahari Umno Selangor, seorang Melayu maka konsesi industri air yang
bernilai berbilion ringgit diserahkan kepadanya. Akhirnya beliau menikmati
kekayaan melampau di atas kesengsaraan rakyat menanggung bil air yang tidak
setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan. Tidak terdengar satu ayatpun dari
Dr Mahathir ketika rakyat Selangor berjuang berhabisan mempertahankan hak air
mereka. Dr Mahathir berpura-pura seolah-olah hidup di dunia berbeza.
Ah Chai |
Mana pergi suara Dr Mahathir ketika
kita membongkar pengkhianatan Umno yang memberikan ribuan ekar tanah serta
ratusan juta ringgit kontrak kepada Tan Sri Chan Ah Chai melalui Syarikat
Kumpulan Talam? Mengapa Mahathir senyap sunyi apabila kita dedahkan Talam
berhutang RM392 juta kepada rakyat Selangor hampir sedekad lamanya dan gagal
dituntut oleh Umno? Tahu atau tidak Dr Mahathir bahawa kerajaan Pakatan Rakyat
yang mempunyai kekuatan politik untuk mengutip hutang-hutang tersebut? Sedarkah
Dr Mahathir kerajaan Pakatan Rakyat telah pulangkan jumlah RM390 juta tersebut
kepada rakyat miskin di negeri ini yang sebahagian besar adalah orang Melayu?
Tidak terbayang di minda kita bagaimana beliau boleh menuduh Pakatan Rakyat
akan menghancurkan orang Melayu kecuali kita menerima hakikat bahawa faktor
usia telah melemahkan daya pemikiran beliau.
Seawalnya saya cuba untuk tidak
mengingati kerosakan yang telah dilakukan Dr Mahathir pada kebanyakan institusi
penting Negara selama 22 tahun pemerintahannya. Polis, Kehakiman, Perkhidmatan
Awam menjadi kucar kacir dan hilang intergriti. Tetapi memandangkan beliau
ghairah untuk beraksi selaku “de facto” Perdana Menteri mungkin kerana Perdana
Menteri hari ini begitu lemah dan gagal maka rakyat terutama orang Melayu yang
“mudah lupa” perlu diingatkan bahawa insan bernama Mahathir yang telah
memporakperandakan kesatuan orang Melayu khusus ketika peristiwa hitam Badan
Kehakiman 1988 dan insiden Mata Lebam 1998.
Ini belum lagi menyentuh bagaimana
Malaysia kehilangan berbilion ringgit dalam permainan mata wang oleh orang
kepercayaan beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan.
Pendedahan Barry Wain (mendiang) dalam bukunya bahawa ketika pemerintah Dr
Mahathir, Malaysia kehilangan sekurang-kurangnya RM100 billion kerana rasuah
dan salah guna kuasa masih gagal dijawab oleh beliau sehingga ke hari ini.
Malah perkara terbaru yang begitu
serius ialah apabila Siasatan Suruhanjaya DiRaja Kewarganegaraan Sabah mendedahkan
penglibatan langsung Dr Mahathir menjual kewarganegaraan kepada bangsa asing
(yang pastinya bukan Melayu) semata-mata mahu kekal berkuasa. Tanpa rasa malu
mahupun berdosa terhadap rakyat dan bangsa Malaysia Dr Mahathir mengakuinya dan
sanggup pula mengheret Almarhum Tunku Abdul Rahman ke dalam isu tersebut.
Rasanya tiada perkataan yang sesuai dan
layak diungkapkan terhadap insan bernama Mahathir ini apabila kita mengimbau
segala kerosakan yang telah dilakukannya. Jauh di sudut hati saya terfikir,
pastinya Dr Mahathir bersyukur Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah
dimansuhkan di negara ini. Kekadang terdetik juga, alangkah baiknya jika
sebaliknya .. !!!
* Faekah Husin ialah setiausaha politik
kepada mentri besar Selangor
* Ini adalah pendapat peribadi penulis
dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment