KUALA LUMPUR: Berikut adalah kronologi pencerobohan
kumpulan bersenjata dari selatan Filipina:
9 Februari: Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara
menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17,
Kampung Tanduo, Lahad Datu.
11 Februari: Sebahagian daripada anggota kumpulan itu
dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut
membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan
bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.
12 Februari: Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di
beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu,
sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.
14 Februari: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui
perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka
keluar dari kawasan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis
telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai
Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan
Filipina.
Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali
sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya
berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.
Ismail berkata rundingan dengan pihak bersenjata masih
dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik tanpa melibatkan
pertumpahan darah.
Laporan memetik salah seorang anggota tentera Filipina
yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai
berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak
pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.
Lahad Datu
16 Februari: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas
sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung
Tanduo adalah terkawal.
Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja
Kesultanan Sulu' antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan
Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.
18 Februari: Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia dan
Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu
ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.
24 Februari: Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal
dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30
pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.
26 Februari: Tempoh pengusiran mereka tamat namun
rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.
28 Februari: Kerajaan Malaysia digesa mengadakan
rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk
menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan
selama lebih tiga minggu.
Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul,
Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180
'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.Lahad Datu
1 Mac: Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan
dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar
daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan
keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera. Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.
2 Mac: Jenazah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal
Sabarudin Daud yang terkorban dalam pertempuran dengan sekumpulan penceroboh
bersenjata di Lahad Datu tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
Subang pada pukul 12.43pm.
Jenazah Inspektor Zulkifli Mamat dikebumikan di Tanah
Perkuburan Kampung Gong Bayor, Jertih manakala jenazah Koperal Sabarudin Daud
dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Makmuriah di Kampung Sungai Lias,
Sungai Besar.
Pada hari yang sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa
Aman melawat dua anggota komando yang cedera iaitu anggota komando polis, Kpl
Mohd Tarmizi Hashim, 32, dan Kpl Azman Ampong, 39, di Hospital Lahad Datu.
3 Mac: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar
mengesahkan kesengitan di Semporna dengan penceroboh 'Kesultanan Sulu'
berakhir dengan jumlah sebanyak 12
kematian, termasuk enam anggota polis. Insiden berkenaan berlaku di Kampung Sri
Jaya, Siminul, Semporna, Sabah pada 2 Mac, jam 8 malam.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu
kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pihak penceroboh.
4 Mac: Jenazah Supt Ibrahim Lebar dari cawangan khas
Bukit Aman, ASP Micheal Padel dari cawangan khas IPD Semporna, Sarjan Baharin
Hami dari cawangan khas IPK Sabah,
Sarjan Aziz Sarikun dari BN 14 PGA Tawau, Koperal Salam Togiran dari IPD Tawau
dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran dari BN 14 PGA Tawau dibawa ke kampung
masing-masing.
Jenazah Allahyarham Supritendan Ibrahim Lebar, 52, dan
Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27 diterbangkan ke pangkalan Tentera Udara
Diraja Malaysia (TUDM) Subang dari Lapangan Terbang Tawau menggunakan pesawat
Charlie. Jenazah mereka tiba pada jam 7 petang.
Semasa sidang media di Manila, Presiden Filipina Benigno
Aquino III berkata pentadbiran beliau akan meneruskan membantu menyelesaikan
pencerobohan di Sabah melalui jalan keamanan.
5 Mac: Pada jam 7 pagi, pasukan keselamatan melancarkan
serangan ke Kampung Tanduo.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu
kenyataan mengumumkan serangan itu adalah "bagi menjaga maruah dan
kedaulatan negara".
Operasi diberi nama Ops Daulat.
Pada 11 pagi, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar
dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd
Zin menyifatkan Ops Daulat itu mencapai objektif yang ditetapkan.
Dalam sidang media lebih kurang pukul 2 petang, Menteri
Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada kematian dan kecederaan di pihak
pasukan keselamatan.
Pada pukul 4 petang, Ketua Polis Negara mengadakan sidang
akhbar mengatakan operasi susulan dan penggeledahan masih diteruskan kerana
polis percaya masih ada musuh di kawasan itu.
Sehingga pukul 7 petang, polis belum mengesahkan jumlah
kematian, kecederaan atau tangkapan di pihak anggota kumpulan penceroboh
bersenjata itu.
No comments:
Post a Comment