KUALA LUMPUR, 6 Mac — Hari kedua Ops Daulat hari ini
menyaksikan seorang anggota kumpulan pengganas ditembak mati dan sembilan mayat
ditemui di dalam lubang di kawasan ladang dekat Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Seorang anggota polis sedang berkawal berhampiran tempat persembunyian kumpulan pengganas Sulu di Lahad Datu. — Gambar Reuters |
Pengganas itu maut dalam kejadian berbalas tembak dengan
anggota keselamatan yang menjalankan operasi susulan dan penggeledahan di
kampung itu selepas gerakan ofensif oleh pasukan keselamatan negara di kampung
yang menjadi kubu kumpulan pengganas itu semalam.
Selain kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, pasukan
forensik juga diserang kumpulan penceroboh ketika menjalankan siasatan di
kawasan mayat-mayat itu ditanam.
Kejadian berbalas tembak antara pasukan keselamatan dan
kumpulan pengganas turut berlaku di tiga lokasi di kampung Tanjung Batu, pada
pukul 4.15 petang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan gambar mayat penceroboh Sulu yang ditemui oleh pasukan keselamatan Malaysia dalam satu operasi, pada sidang media di Lahad Datu |
Berikutan operasi berterusan anggota keselamatan, Ismail
berkata saki-baki kumpulan itu kini bergerak ke kawasan kampung berhampiran dan
menyamar dengan berpakaian seperti orang awam untuk melepaskan diri daripada
kepungan pasukan keselamatan.
Sehubungan itu, kawasan operasi yang sebelum ini bertumpu
di sekitar kawasan seluas empat kilometer, kini diperluas berikutan kumpulan
pengganas dikesan bergerak ke tempat-tempat tertentu.
Tiada anggota keselamatan yang cedera atau dijadikan
tawanan, kata Ismail sambil sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak
mendengar khabar angin dan menasihati penduduk di kawasan sekitar berhati-hati
dan mendapatkan maklumat di pos taktikal pasukan keselamatan dan balai polis
berdekatan.
Operasi hari ini juga menyaksikan empat lelaki yang
dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh ditahan dalam
pemeriksaan di Jalan Lapangan Terbang, kira-kira lima kilometer dari pekan
Semporna.
Mereka yang ditahan itu dipercayai mempunyai kaitan
dengan penceroboh yang terlibat dalam kejadian serangan hendap di Kampung
Simunul, di sini Sabtu lepas yang mengakibatkan enam anggota keselamatan
terkorban dan enam musuh maut.
Semalam, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara
menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan
pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Feb lepas.
Sesudah itu, gerakan susulan dan penggeledahan dilakukan
rumah ke rumah bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di kampung
itu bagi memburu kumpulan pengganas itu.
Operasi susulan dan penggeledahan perlu dilakukan dengan
berhati-hati bagi memastikan keselamatan anggota keselamatan dan berikutan
faktor bentuk muka bumi di kawasan itu.
Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein berkata operasi susulan dan penggeledahan oleh polis
dan tentera itu turut menemui pelbagai senjata api milik kumpulan pengganas
rakyat asing itu.
Sejak isu pencerobohan sekumpulan lelaki berpakaian ala
tentera dan bersenjata di Lahad Datu 12 Feb lepas, lapan anggota polis
terkorban iaitu dua dalam pertempuran di Lahad Datu Jumaat lepas dan enam dalam
serangan hendap di Simunul, Semporna Sabtu lepas.
Dalam tempoh itu, 12 pengganas terbunuh dalam pertempuran
di Lahad Datu pada Jumaat dan seorang dalam pertempuran hari ini, manakala enam
lagi maut dalam pertempuran di Simunul dan seorang pengganas dibelasah hingga
mati oleh penduduk Kampung Senallang Lama di Semporna awal pagi Ahad lepas. —
Bernama
No comments:
Post a Comment