Dalam satu lagi kejadian keganasan politik,
sekurang-kurangnya seorang penyokong Pakatan Rakyat cedera di satu majlis
ceramah di Bukit Katil, Melaka malam tadi, selepas ia diganggu samseng yang
dikatakan dari Umno.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail
berkata dalam kejadian pada kira-kira jam 9 malam itu, batu dan objek lain
dilemparkan pada bas kempen 'Jelajah Merdeka' parti itu, mengakibatkan
tingkapnya
pecah.
Beliau memberitahu satu sidang akhbar bahawa kejadian itu
menyebabkan serpihan jatuh ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
pengawal peribadinya dan petugas lain - sesetengahnya mengalami luka kecil.
Bagaimanapun, Anwar yang sedang menuruni tangga bas dua
tingkat pada masa itu, tidak cedera.
Saifuddin berkata ini adalah serangan keenam ke atas bas
tersebut sejak ia dilancarkan pada Ogos tahun lepas.
Serangan sebelum ini berlaku di Perak, Johor dan
Kelantan, manakala insiden ini adalah yang kedua berlaku di Melaka.
Apabila bas itu ditunjukkan kepada pihak media di luar
ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, pintu dan tingkap dek atas pada sebelah
kiri, didapati pecah, manakala tingkap depan dek atas retak.
Manakala gambar yang disiarkan oleh penyokong Pakatan di
Facebook menunjukkan seorang lelaki
berdarah di kepalanya selepas dikatakan terkena batu.
Berita Harian melaporkan bahawa dua anggota polis, yang
telah ditempatkan untuk menjaga keselamatan di ceramah itu, cedera dan dimasukkan
ke hospital selepas batu yang dipercayai dibaling oleh "penyokong sebuah
parti politik" mengenai kepala mereka.
Akhbar itu memetik Ketua Polis Daerah Melaka Tengah,
Salehuddin Abd Rahman sebagai berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira jam
11.15 malam ketika Anwar baru sahaja selesai ucapannya dan sedang beredar untuk
ke Sungai Udang.
Kenyataan yang dikeluarkan PAS Kawasan Bukit Katil
mengenalpasti mangsa sebagai Abdul Ghani Buang, 44, seorang penduduk Kampung
Bukit Lintang.
Kenyataan itu memetik Ghani sebagai berkata beliau nampak
botol dibaling dan tidak sempat mengelaknya dan botol itu mengenainya.
Beliau juga menyuara rasa kesalnya kerana mendakwa pihak
polis tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan keganasan tersebut.
Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook yang berucap semasa
ceramah tersebut berkata, pihak Umno turut mengadakan satu ceramah di tempat
yang sama.
Loke menulis dalam twitter bahawa beliau baru tiba di
Melaka untuk mendengar ceramah PKR Bukit Katil dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ribuan orang
berada di sana.
Menurutnya, Umno mengadakan ceramah berhampiran di situ
yang dihadiri oleh hanya ratusan orang.
Beliau menyifatkannya sebagai perbuatan mereka yang takut
kalah (pilihan raya umum).
Namun, tegasnya, kebangkitan rakyat untuk menumbangkan
rejim BN akan berterusan dan mereka tidak akan tunduk kepada ugutan Umno.
Polis anti-rusuhan datang untuk memulihkan keadaan,
tetapi mereka mengalami kesukaran untuk mengawal penceroboh tersebut.
Ahad lalu, satu lagi ceramah diganggu oleh penyokong BN
di Teluk Intan, Perak.
Ahli Parlimen, M Manogaran terpaksa dibawa polis beredar
dari ceramah DAP itu selepas sekumpulan kira-kira 40 penceroboh yang membawa
bendera BN datang mengganggu dan memaki hamun pemimpin Pakatan.
Video Durasi: 1.17minit
No comments:
Post a Comment