Wednesday, March 13, 2013

Lahat Datu: Seorang tentera gugur, dua pengganas mati




Seorang tentera gugur, dua pengganas mati dalam pertempuran di Sungai Nyamuk
LAHAD DATU: Seorang anggota tentera gugur manakala seorang lagi cedera dalam pertempuran lima jam dengan kumpulan penceroboh militan di Sungai Nyamuk dekat Tanjung Batu di sini, hari ini.

Dua penceroboh militan terbunuh dalam pertempuran bermula 9 pagi itu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.
Jenazah prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara di Subang pagi esok.


Bercakap pada sidang akhbar pada pukul 8 malam ini, Hamza berkata anggota tentera yang cedera kini dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sandakan.

Beliau berkata, bilangan musuh dalam pertempuran itu dipercayai lima orang dan seorang lagi musuh mungkin cedera.

"Kami menemui dua mayat," katanya.

Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pagi ini memberitahu bahawa pasukan keselamatan diserang hendap oleh kumpulan pengganas dan selepas itu mereka melarikan diri sebelum dijejaki pasukan keselamatan.
Hamza berkata, dengan pertempuran pagi ini, pasukan keselamatan menembak mati 56 musuh.

"Seramai 97 individu ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh manakala 156 orang ditahan kerana berada di zon larangan Operasi Daulat," katanya.

Beliau berkata, pasukan keselamatan akan memperketat kawalan di kawasan itu kerana Sungai Nyamuk berada di luar Kampung Tanduo dan berhampiran Tanjung Batu.

Sementara itu, Hamza turut memberitahu bahawa seorang anggota tentera maut apabila trak yang dipandunya terbabas di Jalan Lahad Datu-Cenderawasih, hari ini.

"Anggota itu cedera parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan pasukan perubatan," katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment