KAMAL (bukan nama sebenar) menepuk dahinya sambil
termenung sendirian. Masalah yang sama dilalui setelah hampir 12 tahun mengikat
pernikahan bersama isterinya Faridah (bukan nama sebenar) masih menghantui
rumahtangganya.
Walaupun puas berusaha dan mencuba pelbagai jenis rawatan
perubatan moden dan alternatif, namun hanya sia-sia dan tidak menampakkan
sebarang tanda permasalahan yang dihadapinya bakal berakhir.
Ikatan pernikahan yang sepatutnya menjadi pengalaman
indah bagi lelaki dan wanita selepas dihalalkan perbuatan yang sebelum ini
haram sebaliknya menjadi mimpi negeri bagi kedua-dua pasangan ini.
Malah, impian perkahwinan yang dibina atas dasar cinta
untuk menimang cahaya mata sebagai
penyeri rumah tangga dan zuriat
penyambung
keturunan juga terpaksa dikuburkan.
Apakan tidak, setiap kali ingin bersama pelbagai kejadian
pelik berlaku sehingga menghalang keinginan Kamal dan isteri untuk bersama.
Peristiwa yang hampir tidak tercapai akal memikirkannya
itu bukan berlaku sekali dua, tetapi berlanjutan hinggalah 12 tahun mendirikan
rumah tangga.
Menceritakan kisah itu, pengasas Pusat Perubatan Islam
Al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid berkata, hanya berbekalkan perasaan kasih sayang
dan cinta menjadi benteng mempertahankan rumah tangga pasangan malang tersebut.
"Ketentuan Allah SWT yang menguji hambanya tidak
mungkin dapat dihalang daripada berlaku, walaupun menggunakan pelbagai usaha
dan langkah mengelakkannya. Hanya iman dan takwa sebagai pegangan.
"Selama hampir 12 tahun mendirikan rumah tangga yang
sepatutnya dilayari dengan penuh bahagia, namun malangnya tidak bagi pasangan
ini.
"Sejak malam pertama lagi, apabila ingin 'bersama'
ada sahaja yang tidak kena. Pasangan lelaki seperti langsung tidak berselera
melihat isterinya secara tiba-tiba.
"Begitu juga isteri yang merasakan kesakitan yang
teramat sangat apabila bahagian sulitnya disentuh oleh suami," katanya
memulakan bicara ketika ditemui di rumahnya di Sg. Pusu, Gombak, baru-baru ini.
Lebih menghairankan, Lokman berkata, keinginan Kamal yang
pada mulanya memuncak melihat wanita lain di luar tiba-tiba menjadi 'layu'
apabila mendekati Faridah.
Bukan itu sahaja, bagi Faridah pula setiap kali didekati
suaminya seperti terhidu bau yang sangat busuk daripada tubuh suaminya tetapi
hanya ditahan demi menjaga perasaan suami tersayang.
"Sehinggakan Faridah mengakui alat sulitnya terasa
pedih seperti dihiris dengan pisau tajam apabila disentuh oleh Kamal. Akhirnya
kedua-dua menyerah dengan kesudahan mengalir air mata," ujarnya.
Puas melakukan pelbagai kaedah untuk merawat penyakit
pelik yang dilalui selama hampir 12 tahun, sehinggalah Kamal dan Faridah
mencuba mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah.
Setelah diselidiki tambah Lokman, itulah balasan bagi
hamba Allah SWT yang suka membuat dosa maksiat dan melanggar had perbatasan
antara hubungan lelaki dan wanita.
"Dalam situasi ini kita perlu mengenal pasti latar
belakang pesakit. Setelah diselidiki, barulah kita tahu bahawa ini merupakan
balasan Allah SWT kepada pasangan ini yang gemar berfoya-foya dan melanggar
perintah-Nya.
"Yang lelaki sering melakukan zina, begitu juga
wanita yang suka hidup berfoya-foya tanpa mengambil berat had dan batasan
lelaki dengan wanita dan perkara yang ditegah oleh syarak," katanya.
Menurutnya lagi, berkemungkinan juga penyakit yang
dilalui oleh pasangan ini adalah angkara perbuatan individu yang pernah
dianiayai oleh salah seorang atau kedua-dua pasangan ini sebelum berkahwin
dahulu.
"Kebiasaannya dalam hal ini, langkah pertama yang
kita lakukan adalah dengan menyuruh pasangan ini supaya bertaubat
bersungguh-sungguh. Minta juga maaf kepada sesiapa yang dirasakan pernah
dizalimi sebelum ini.
"Ini kerana dengan bertaubat dan meminta maaf dapat
menghapuskan dosa antara makhluk dengan tuhan dan makhluk dengan makhluk.
"Selepas itu, selain memberi rawatan, kita juga
membekalkan mereka dengan beberapa potongan ayat al-Quran untuk diamalkan
sebagai permohonan harian oleh pesakit tersebut," jelasnya.
Lokman berkata, difahamkan kira-kira setahun selepas
menjalani rawatan di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, pasangan suami isteri
itu dikhabarkan telah mendapat zuriat yang pertama.
Lokman menasihatkan kepada orang ramai agar mengelakkan
daripada melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT kerana pelbagai ujian
daripada Allah SWT, sama ada secara terus atau melalui perantaraan manusia atau
jin akan menimpa kepada orang melakukan dosa.
No comments:
Post a Comment