Lahad Datu, 9 Mac — Pasukan keselamatan yakin anggota
militan bersenjata dari Selatan Filipina kini bergerak dalam kumpulan kecil
setelah terperangkap dalam kepungan di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu,
kira-kira 130 kilometer dari sini.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin
berkata kawalan ketat yang dilakukan di lokasi berkenaan sejak Op Daulat
dilancarkan bagaimanapun tidak memungkinkan penceroboh bersenjata itu
memboloskan diri.
“Berdasarkan kejadian dan tindakan yang diambil, kami
berkeyakinan besar bahawa sememangnya mereka kini terperangkap di Kampung
Tanduo dan Kampung Tanjung Batu,” katanya dalam sidang media bersama Ketua
Polis Negara Tan Sri Ismail Omar di markas operasi Op Daulat Felda Sahabat 16,
dekat sini hari ini.
“Jadi, kami akan
meneruskan kepungan dan membuat penggeledahan, fokus kami kini tertumpu pada
kedua-dua tempat dan kepungan dikekalkan bagi mengelak pihak musuh masuk
semula
ke Kampung Tanduo selepas melarikan
diri ke Tanjung Batu.”
Seorang daripada militan Sulu maut ditembak di Kampung
Tanjung Batu, di sini selepas cuba memboloskan diri daripada kepungan pihak
berkuasa seorang diri dalam insiden pada 8 pagi ini.
Zulkifeli berkata pasukan keselamatan akan mengetatkan
lagi kepungan di kawasan hutan dan berpaya di kedua-dua kampung berkenaan yang
dikenal pasti dijadikan laluan oleh kumpulan militan itu untuk meloloskan diri
sebelum ini.
“Mereka tidak mungkin lepas daripada kepungan. Mereka
cuma dapat keluar dari Kampung Tanduo ke Kampung Tanjung Batu melalui jalan
hutan sekunder serta berpaya, bukan melalui jalan darat dan laut... jadi, kita
akan perketatkan kepungan di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata kepungan di Kampung Tanduo dijalankan
membabitkan jarak seluas empat kilometer persegi dan aktiviti pembersihan ke
atas penceroboh akan bermula di situ sebelum diperluaskan ke Kampung Tanjung
Batu.
Zulkifeli berkata sejak gerakan ofensif dan beberapa
serangan susulan dilancarkan penceroboh kini mula menyembunyikan diri di dalam
semak serta hutan tebal dan pokok-pokok besar, bukan lagi di dalam rumah
penduduk.
Polis mengesahkan, selepas lima hari dilancarkan, Op
Daulat yang membabitkan pasukan polis dan angkatan tentera berjaya membunuh 53
orang militan dengan 79 ditahan, manakala tiada anggota pasukan keselamatan
yang dilaporkan cedera atau terkorban. — Bernama
No comments:
Post a Comment