Perlahan-lahan cahaya sang matahari
menerbitkan sinarnya...
***********************
SHAH ALAM: Pengakuan bapa Saiful Bukhari bahawa Ketua
Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah atas tuduhan liwat dan
menjadi mangsa fitnah merupakan suatu tindakan yang wajib dilakukan beliau.
Ini kerana seseorang Islam hendaklah insaf dengan tidak
meneruskan kebatilan untuk kembali kepada kebenaran apabila menyedari kesilapan
mereka.
Demikian menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr
Haron Din dalam sidang media
di Masjid Shah Alam di sini.
“Dia (Azlan Mohd Lazim) melaksanakan kewajipannya sebagai
seorang Islam.
“Merujuk kepada kebenaran adalah lebih baik dari
meneruskan kebatilan,” kata beliau selepas bertindak sebagai panelis dalam
forum bertajuk ‘Mengangkat Martabat Ummah: Tanggung Jawab Siapa?’ malam tadi.
Semalam, bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim memohon maaf
kepada Anwar dengan mendakwa bahawa anaknya dipergunakan oleh pihak-pihak yang
tidak bertanggungjawab, yang didakwanya termasuk seorang pegawai perdana
menteri untuk memfitnah Anwar dalam kes Liwat II.
Pada 9 Januari tahun lalu, Anwar dibebaskan oleh Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan meliwat Saiful, yang merupakan pembantunya
pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Sementara itu, ketika mengulas isu sumpah laknat oleh
Saiful, sambil merujuk kepada sebuah kejadian di zaman Nabi Muhammad SAW, Dr
Haron berkata sumpah laknat hanya wajar dilakukan apabila berhadapan kes yang
tidak boleh diselesaikan di mahkamah.
“Kaum Nasrani dakwa Allah ada anak dan oleh kerana ianya
tidak dapat dibuktikan, Nabi Muhammad mengarahkan mereka bersumpah laknat untuk
selesaikan perbalahan itu.
“Mengapa kita pula hendak mengundang laknat Allah
sedangkan kes ini boleh diselesaikan di mahkamah,” ujar Dr Haron.
Dalam perkembangan isu calon Perdana Menteri dari Pakatan
Rakyat, Dr Haron menegaskan PAS ketika ini lebih fokus kepada agenda
menumbangkan Kerajaan Umno-BN dan hanya mengumumkan calon Perdana Menteri
apabila misi tersebut berjaya.
No comments:
Post a Comment