Saturday, March 9, 2013

Pemandu teksi enggan guna meter cederakan pelancong



Ini cerita bukan baru, dah lama dah...
Pemandu teksi cekik darah... cekik untuk orang dalam,
Jika orang luar.. sembelih terus! Tapi bukan semua...
ada juga yang jujur.. Sokong pihak berkuasa rampas permit dan
haramkan terus orang cam gini... buat malu Malaysia jer..

*****************************************************


KUALA LUMPUR 6 Mac - Polis bimbang dengan sikap ganas sesetengah pemandu teksi di ibu negara yang enggan menggunakan meter sehingga sanggup bergaduh dan mencederakan penumpang termasuk pelancong asing.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pihaknya menerima laporan ada pemandu teksi bersikap bengis dan ganas sehingga sanggup menyerang penumpang apabila tindakan mereka enggan menggunakan meter dipertikaikan.

Beliau berkata, laporan terbaharu diterima daripada dua pelancong dari China dan United Kingdom pada minggu lalu.

"Dalam dua kes ini, pelancong berkenaan membuat laporan polis selepas masing-masing mengalami kecederaan sehingga seorang terpaksa dimasukkan ke hospital akibat ditumbuk dan diserang dengan kayu pemukul besbol.

"Perbuatan menyerang penumpang bukan sahaja menyalahi undang-undang malah turut memberi imej buruk kepada industri pelancongan negara," katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini hari ini.

Menurut Chin Wah, hasil laporan tersebut, polis menahan seorang pemandu teksi untuk siasatan lanjut tetapi dia dibebaskan setelah pelancong asing yang menjadi mangsa gagal mengenal pasti suspek semasa kawad cam dilakukan.

Selain pemandu teksi enggan menggunakan meter, beliau berkata, polis juga berhadapan dengan masalah rakyat Asia Barat yang tinggal lama di negara ini, menjalankan perniagaan sewa kereta haram kepada pelancong senegara.

Katanya, kehadiran pemandu warga Asia Barat terbabit telah menimbulkan rasa tidak senang kepada pemandu teksi tempatan sehingga mencetuskan pergaduhan.

"Kereta sewa dipandu oleh warga Asia Barat ini lebih mendapat permintaan daripada pelancong dari negara berkenaan kerana mudah bagi mereka berkomunikasi menyebabkan teksi milik pemandu tempatan tidak laku dan mereka yang tidak berpuas hati akhirnya bergaduh," katanya.

Chin Wah berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam tempoh terdekat ini bagi membincangkan usaha menyelesaikan masalah tersebut.

No comments:

Post a Comment