Mohd Pierre Andre Nazrul Andre. |
Belum pun memasuki pawagam, pembikinan Ustaz, Mung Tunggu
Aku Datang arahan terbaru dari Pierre Andre mencetuskan sedikit kontroversi.
Semuanya gara-gara pengumuman nama Ustaz Azhar Idrus sebagai salah seorang
pelakon filem terbabit.
Bagaimanapun, yang menimbulkan isu apabila Azhar
mendedahkan dia tidak memberi kata putus lagi untuk berlakon dalam filem
berkenaan. Menjelaskan situasi yang berlaku, Pierre atau nama sebenarnya, Mohd
Pierre Andre Nazrul Andre berkata, dia dan pihak MIG Production (MIG) sememangnya
sudah melamar Azhar untuk menjayakan
watak ustaz dalam filem ini.
Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada sebarang kata
putus dari Azhar, biarpun dia kelihatan berminat untuk turut serta dalam filem
ini.
Ustaz Azhar Idrus |
“Saya bukannya mencipta kontroversi murahan, menjual nama
Ustaz Azhar Idrus. Sebaliknya saya memang sudah menyampaikan hasrat kepada
beliau dan dalam perbincangan tersebut, beliau nampak senang dengan jalan
cerita tersebut.
“Justeru, saya berharap ALLAH SWT permudahkan urusan saya
kerana filem ini adalah filem dakwah dan ustaz juga dapat turut serta dalam
filem ini.
“Bagaimanapun, jika ustaz tidak dapat menerima, kita akan
ke plan B dan saya akan berbincang dengan Mejar David Teo terlebih dahulu
mengenai perkara ini,” katanya kepada Zass.
Pierre berkata, penggambaran filem ini sudah berjalan dan
ia hanya melibatkan Shiro selaku teraju utama.
“Saya rasa tidak ada masalah untuk menjalani penggambaran
biarpun ustaz masih belum memberi kata putus, kerana pelakon utamnya adalah
Shiro. Jadi kita selesaikan dahulu babak yang melibatkan Shiro,” katanya yang
kini sedang sibuk mempromosikan filem terbarunya, Cerita Kita.
Pilihan tidak
bertudung?
Sementara itu, menyentuh mengenai majlis pernikahannya
yang berlangsung Jun ini, Pierre berkata, segala persiapan sedang dilakukan dia
amat bertuah kerana tunangnya, Siti Nurhidayah Hashim, begitu memahami.
“Saya dan tunang hanya merancang dan ALLAH SWT yang
menentukan. Jadi kami hanya buat seperti apa yang telah direncanakan oleh ALLAH
SWT untuk kami juga,” katanya.
Ditanya mengenai pemilihan bulan Jun, Pierre berkata,
tidak ada sebarang tarikh istimewa pada bulan Jun, sebaliknya dia mendapat
nasihat dari orang alim untuk mengadakan pernikahan pada bulan Syaaban.
“Saya difahamkan, bulan Syaaban banyak syafaat dan segala
urusan akan dipermudahkan. Kebetulan bulan Syaaban jatuh pada bulan Jun, jadi
sebab itulah pernikahan kami akan berlangsung pada Jun ini,” katanya.
Bagaimanapun, menyentuh persepsi orang ramai mengenai
tunangnya yang tidak bertudung, walhal Pierre pula sudah berhijrah, Pierre
berkata, dia tidak menyalahkan orang lain kerana mereka tidak mengenali
Hidayah.
“Saya mengenali dia sebelum saya berhijrah. Tidak adil
untuk dia jika saya meninggalkan dia hanya kerana saya sudah berhijrah,”
ujarnya.
Ditanya apakah dia akan menyuruh tunangnya mengenakan
tudung sebaik bernikah, Pierre berkata : “Bagi saya, perkara paling penting,
saya kena ubah diri sendiri sebelum ubah orang lain.
“Lagipun kita tidak boleh nilai dia pada penampilannya
sahaja. Bersangka baiklah pada orang,” jelasnya.
Karier dan dakwah
Dalam pada itu, menyentuh mengenai hala tuju kariernya
selepas ini, Pierre berkata, dakwah akan menjadi keutamaannya selepas ini.
Namun dalam pada masa sama, dia akan aktif dalam bidang seni.
Bagaimanapun, jika berlakon, dia lebih senang memilih
cerita-cerita dakwah dan mengarahkan filem berunsur dakwah sahaja. “Bukan tidak
sayang karier, tapi dakwah itu lagi penting. Bagaimanapun, saya akan
membahagikan masa sebaik mungkin tanpa mengabaikan karier saya,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment