KUALA LUMPUR: Isteri kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri
Wan Azizah Wan Ismail memanjat kesyukuran berikutan pendedahan bapa Saiful
Bukhari, Azlan Mohd Lazim bahawa anaknya itu diperguna pihak tertentu untuk
menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Liwat II.
Presiden PKR itu yang dipetik KeadilanDaily, menyifatkan
pendedahan Azlan itu sebagai anugerah Ilahi.
Katanya dengan pengakuan itu sedikit sebanyak
membersihkan tohmahan jahat ke atas suaminya.
“Allah bagi. Kita pun terkejut juga, kita tidak ada usaha
cari tapi ini memanglah. Hanya Allah yang dapat gerakkan hati manusia,” katanya
kepada lidah PKR ituy.
Walaupun pengakuan itu lambat, Wan Azizah yakin tindakan
bapa Saiful itu sedikit sebanyak mampu mengubat keaiban yang dihadapi beliau
sekeluarga.
“Tidak akan terlambat kerana selagi ada masa, kalau kita
dengan Allah atau sesiapa pun tidak terlambat untuk bertaubat, beristigfar
mencari keredhaan-Nya.
“Mungkin dulu ayahnya tidak mengetahui. Mungkin (sangka)
anaknya jadi mangsa. Dulu mungkin rasa membela (Saiful Bukhari) tapi sekarang
baru tahu. Jadi beliau buat sebagai seorang ayah yang bertanggungjawab.
“Saya kira, Alhamdulillah. Kalaulah ini dapat buka hati
ramai lagi melihat kebenaran. Saya berterima kasih, bersyukur kepada Allah,”
katanya yang tidak lekang dari ucapan syukur kepada Yang Maha Esa.
Beliau turut berkongsi perasaan anak-anaknya yang lega
dengan pengakuan bapa Saiful.
“Anak-anak pun kata begitu. Sebab mereka tahu, mereka
lebih muda daripada saya, jadi perasaan muda itu adalah marah dan berdendam
kerana bapa mereka diperlaku sebegitu, diaibkan.
“Mereka lebih agresif mengatakan patutnya (pengakuan itu
dibuat) dari dulu lagi,” katanya yang sedih mengenang ujian yang terpaksa
dilalui anak-anaknya.- harakahdaily
No comments:
Post a Comment