Friday, March 8, 2013

Tian Chua hebat dikecam





Apakah episod saman-menyaman akan berterusan
Jika maklumat datang dari satu sumber saja... inilah jadinya...
Apa utusan atau  Tv3 lapor berkaitan pihak sebelah sana, terus saja ditelan bulat2.
Apapun... sendiri buat, sendiri tanggung laa..
****************************************

Pemimpin kanan PKR didesak mohon maaf secara terbuka
Kecaman hebat dan laporan polis terus dibuat pelbagai pihak di seluruh negara terhadap kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang menyifatkan insiden di Lahad Datu, Sabah sebagai konspirasi terancang UMNO.

Kira-kira 30 ahli MCA Petaling Jaya semalam membuat laporan polis berhubung isu itu dan mendesak pemimpin kanan PKR terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

Penasihat Undang-undang MCA Selangor, Datuk Lim Choon Kin, berkata laporan yang dibuat pihaknya adalah bagi mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Tian Chua secepat mungkin.

Bantahan aman
Di Johor Bahru, kira-kira 100 ahli Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) bersama 42 badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan bantahan aman di hadapan Stadium Larkin.

Turut mengadakan bantahan ialah lebih 100 ahli Gabungan NGO Johor (GABUNG) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada Johor), semalam.

Di Kluang, hampir 50 ahli komponen Wanita BN dan 34 wakil NGO Melayu daerah mengecam keras dan membuat laporan polis berhubung kenyataan Tian Chua, diketuai Ketua Wanita UMNO bahagian Kluang, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Di Muar, seramai 4,046 ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Muar mendesak Tian Chua supaya tidak terus berdiam diri atau melarikan diri ke luar negara berhubung kenyataannya itu.

Ketuanya, Shamsudin Rais, berkata Tian Chua perlu berani tampil menunjukkan bukti selain tidak memperlekehkan perjuangan perajurit yang terkorban serta pasukan keselamatan yang sedang mempertaruhkan nyawa mempertahankan negara.

Di Kota Tinggi, Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) Kebangsaan, MBFM Wilayah Johor Bahru dan Majlis Belia Daerah (MBD) Kota Tinggi berkumpul di hadapan pejabat PKR cabang Kota Tinggi sebagai tanda protes terhadap kenyataan Tian Chua itu.

Di Mersing, seramai 80 ahli NGO termasuk Persatuan Veteran 1Malaysia Tentera Tidak Berpencen (PV1MTP), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Johor (PKMM) Daerah, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (PEKIDA) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengadakan tunjuk perasan secara aman di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah.

Buat siasatan

Di Kota Bharu, kira-kira 50 ahli Puteri UMNO daripada 37 kawasan peti undi di Parlimen Kubang Kerian membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan terhadap Naib Presiden PKR itu yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap UMNO.

Di Melaka Tengah, Pemuda BN Tangga Batu dekat sini, membuat laporan sama pada 6 petang. Mereka turut mengadakan bantahan terhadap tindakan penyokong pengganas mengepung kedutaan Malaysia di Manila, dan membakar gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Di Kota Kinabalu, tiga bahagian Wanita UMNO Sabah membuat laporan polis terhadap Tian Chua yang menuduh UMNO menjadi dalang pencerobohan di Lahad Datu.

Dalam laporan berasingan itu, Wanita UMNO Kota Kinabalu, Putatan dan Menggatal sepakat meminta polis mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Batu berkenaan, selain mendesak Tian Chua memohon maaf kepada rakyat Malaysia.



Cybertroopers Umno bakal berdepan tindakan undang-undang – Tian Chua
Tragedi Lahad Datu kini dimanipulasi oleh cybertrooper Umno untuk menjana kebencian terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat termasuk saya.

Semalam beberapa blog pro-BN telah menyiarkan berita palsu bahawa saya telah menghina pembunuhan anggota keselamatan kita dengan istilah “Komando Mati Katak” di satu ceramah di Puchong.

Ini adalah cerita yang dipalsukan dan tidak benar sama sekali. Semalam saya tiada berada di Puchong dan tidak pernah beri ucapan menghina pengorbanan Pasukan Keselamatan. Sebenarnya saya berada di Johor dan dalam semua ucapan saya, saya menyatakan keyakinan dan sokongan saya terhadap Pasukan Keselamatan dan anggota-anggotanya.

Blog pro-BN seperti Mymassa, Talk With Hand, Aloqlaloq dan Papagomo sengaja melemparkan fitnah terhadap saya. Selain dari siaran berita palsu, mereka juga mendesak pembaca terutamanya anggota polis dan askar untuk menghantar sms maki-hamum serta panggilan bantahan kepada saya. Saya akan mengambil tindakan termasuk tindakan undang-undang terhadap mereka-mereka yang rekakan fitnah dan berniat untuk mengancam saya.

Saya merayukan rakyat Malaysia supaya jangan percaya kepada propaganda niat jahat ini. Kini rakyat harus bersatu dan menyatakan setiakawan kepada anggota keselamatan bukan memainkan taktik politik murahan untuk memburukkan parti lawan.

Tian Chua
Ahli Parlimen Batu
Naib Presiden KEADILAN 

No comments:

Post a Comment