Memerhatikan gelagat
anak-anak muda menghabiskan waktu malam dengan bersantai di kafe atau restoran
adalah seperti menyaksikan satu pementasan drama tetapi itulah realitinya. Drama
kehidupan muda-mudi di bandar besar. Lelaki, perempuan bergelak ketawa dan
mempamerkan gaya hidup bebas di kota metropolitan.
Asap berkepul, mereka
menyedut perlahan-lahan objek yang diletakkan di sebelah tempat duduk. Yang
perempuannya sedikit pun tidak menampakkan rasa segan atau malu, asap yang
disedut dihembus, berkepul-kepul keluar dari mulut. Antara sedar atau tidak, ada satu trend atau
kecenderungan yang semakin menular dalam kehidupan kita hari ini, yang mungkin
jika tidak dibendung akan menjadi satu budaya perosak iaitu menghisap shisha.
Shisha atau juga
dikenali dengan nama "hookah" merupakan sejenis peralatan paip air
yang menegak, lazimnya digunakan untuk menghisap tembakau yang berperisa. Bayaran
yang biasa dikenakan ialah antara RM10 hingga RM15 untuk satu sesi shisha.
ASAL USUL
Menghisap shisha yang
kian menjadi kegilaan khususnya muda-mudi Melayu, telah diamalkan di Timur
Tengah ratusan tahun lamanya. Sebelum kemunculan tembakau, bahan yang sering
digunakan di dalam shisha ialah candu dan hashish.
Shisha dipercayai mula
membanjiri negara ini dengan kedatangan pelancong-pelancong dari Timur Tengah
khususnya pada tahun-tahun 90-an. Sesetengah pihak mungkin tertanya-tanya
mengapa tiada batasan atau larangan untuk shisha sedangkan kerajaan
membelanjakan ratusan juta ringgit untuk mengadakan pelbagai kempen
anti-merokok dan kempen amalkan gaya hidup sihat.
Aneh bukan? Atas
alasan apa menghisap shisha dibiarkan sedangkan ia masih menggunakan tembakau!
BAHAYA UNTUK PEROKOK
Menurut Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini, terdapat kira-kira 1.3 bilion perokok di
seluruh dunia dan sekitar lima juta mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan
menghisap rokok.
WHO memberi amaran
jika trend tersebut tidak berubah, 10 juta orang setahun akan mati akibat
penyakit berkaitan menghisap rokok menjelang 2020. Kebimbangan WHO itu juga
membuatkan badan dunia itu mengeluarkan slogan untuk sambutan Hari Tanpa
Tembakau Dunia tahun ini yang memberi amaran kepada perokok bahawa tembakau
adalah "berbahaya dan boleh membawa maut dalam apa jua bentuk".
Satu laporan dari
London baru-baru ini menyebut tentang pengharaman menghisap rokok di khalayak
ramai yang akan dikuatkuasakan di England Jun 2007. Langkah tegas ini sudah
tentunya turut memberi kesan kepada penghisap shisha.
MUDAH TERPENGARUH
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman tidak
terperanjat dengan budaya menghisap shisha yang semakin menular di kalangan
golongan muda negara ini khususnya anak Melayu.
"Orang Melayu
terutamanya mudah dipengaruhi dengan satu benda kelainan yang pada pendapat
mereka ia hanya sekadar berseronok tanpa mengetahui latar belakang sejarah
sesuatu budaya tersebut dan juga risiko ke atas diri sendiri, dari segi
kesihatan terutamanya," jelas beliau.
Tradisi menghisap
shisha ini, tambahnya, sesuatu yang barangkali boleh diterima di kalangan
masyarakat tertentu seperti di Timur Tengah dan di Afrika.
"Ada di antara
mereka berpendapat bahawa apabila mereka membakar tembakau atau buah-buahan
atau bahan-bahan lain yang diadun maka air yang digunakan akan menjadi satu
penapis yang boleh menyelamatkan mereka daripada risiko kesihatan akibat
pengambilan tembakau."
"Perbuatan ini
sebenarnya didorong oleh nafsu dan mereka sekadar ingin merasa selamat walhal
mereka masih menanggung risiko," tambah Dr Maamor.
Menghisap shisha,
katanya, mempunyai banyak persamaan dengan perbuatan menghisap rokok dan dalam
masa yang sama, ada juga penggemar shisha perokok tegar.
Di Malaysia,
tambahnya, menghisap shisha ini lebih mirip kepada pengambilan dadah marijuana
dengan menggunakan alat yang dipanggil "dapur".
"Ini sebenarnya
memberikan satu bentuk kebebasan kepada kumpulan penagih untuk berlindung
kononnya sekadar mengambil shisha yang menggunakan buah-buahan dan
sebagainya."
"Persoalan yang
perlu dirungkaikan ialah, sesuaikah menghisap shisha ini dengan sosio-budaya
Malaysia?" soal Dr Maamor.
GANGGU KETENTERAMAN
Perbuatan menghisap
shisha yang biasanya dibuat secara berkumpulan juga boleh mengganggu
ketenteraman dan keselesaan orang ramai di satu-satu premis yang tidak
bertepatan dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.
Ini kerana, katanya,
terdapat golongan remaja yang bersikap biadap dan kurang sopan apabila mereka
ditegur di tempat-tempat awam seperti restoran dan premis makanan yang lain.
"PPIM memandang
serius penularan aktiviti negatif ini walaupun atas apa alasan dan pihak
bertanggungjawab perlu mengkaji secara profesional perkara ini sebelum ia
merebak dan mempengaruhi serta merosakkan budaya orang-orang Islam," tegas
Dr Maamor.
Timbalan Setiausaha
Agung, ERA Consumer Malaysia, Ismail Abd Aziz berkata beliau bimbang shisha
akan membawa kesan sosial yang negatif di kalangan remaja dan belia tempatan.
Beliau sendiri membuat
beberapa tinjauan ke gerai-gerai makanan termasuk di sekitar Petaling Jaya di
sebelah malam dan lewat malam untuk melihat sendiri trend menghisap shisha ini.
"Saya dapati
golongan remaja termasuk anak-anak gadis tidak segan-silu menghisap shisha di
khalayak ramai, baik di gerai-gerai makan tepi jalan dan di kawasan-kawasan
perumahan kos rendah sehinggalah ke Bintang Walk Kuala Lumpur."
"Mereka
seolah-olah bangga dengan cara menghisap begitu dan merasakan kepuasan apabila
ramai orang memerhatikan mereka sedangkan mereka belum tahu risiko dari segi
kesihatan yang boleh membawa kesan jangka panjang," jelasnya.
Ismail turut
menyuarakan kebimbangannya akan berlaku penyalahgunaan menghisap shisha dengan
mencampurkan ganja yang boleh mengkhayalkan.
Menurutnya, perkara
itu mungkin berlaku tetapi tidak secara terbuka, di kalangan rakan karib atau
pelanggan tetap tuan punya gerai atau restoran yang menawarkan shisha.
LUMPUH HASRAT KERAJAAN
Kegilaan menghisap
shisha boleh melumpuhkan hasrat kerajaan untuk membebaskan rakyat Malaysia
daripada pengaruh dadah. Kekhuatiran ini disuarakan Dr Maamor dalam mengulas
lebih lanjut tentang kecenderungan anak muda menghisap shisha yang semakin
menjadi-jadi ini.
Beliau mengimbau kesan
penagihan ganja dan marijuana di mana menjadi kebiasaan untuk penagih
menggunakan "dapur" bagi menghisap dadah tersebut apabila dadah-dadah
tersebut mula diperkenalkan ke alam Melayu.
"Kita dapati
hampir semua penagih tersebut kemudiannya berlanjutan kepada pengambilan apa
yang ditakrifkan sebagai 'designer drugs' seperti syabu, ice dan
lain-lain."
"Kerajaan telah
menetapkan dadah sebagai musuh utama negara. Justeru, kita tidak sepatutnya
membiarkan budaya negatif ini timbul semula melalui inovasi shisha. Ia mungkin
inovasi baru tetapi tetap sama (penggunaan tembakau)," jelasnya.
Beliau berpendapat
kempen daripada pihak Pemadam, polis dan sebagainya seolah-olah ditipu melalui
penggunaan alat shisha yang kononnya tidak memberi apa-apa risiko negatif.
"Ini juga sangat
bertentangan dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk melahirkan
masyarakat budiman (towering personality) kerana budaya ini juga mengundang
kepada perbuatan membuang masa dan boleh merebakkan penyakit kerana perkongsian
alat yang sama," tambah Dr Maamor.
RISIKO PENYAKIT
Perbuatan menghisap
asap boleh mendatangkan risiko penyakit berkaitan sistem pernafasan seperti
bronkitis yang kronik, emphysema (bronchiaectasis) dan kanser paru-paru. Menurut
Dr Maamor, keadaan itu berlaku kerana peningkatan kandungan bahan berisiko
seperti nikotin dan tar dalam saluran pernafasan.
"Dalam masa yang
sama ia merendahkan aktiviti sel-sel khas yang akan menurunkan daya tahan badan
serta mendedahkan seseorang itu kepada risiko mendapat jangkitan kuman
sekunder."
"Andaian yang
menyatakan bahawa apabila kita menyedut asap yang melalui air boleh
mengurangkan risiko di atas adalah sesuatu yang indah khabar dari rupa.
Risikonya tetap ada sebab masih ada asap yang disedut. Seperti juga rokok yang
ada filter, risikonya masih ada" jelas beliau. Beliau turut mengingatkan
tentang risiko tinggi yang terpaksa ditanggung penghisap pasif.
"Kanak-kanak yang
membesar dan ibu-ibu yang mengandung yang mungkin berada di premis tersebut
turut menanggung risiko. Malah mereka yang tidak berada di premis yang sama
juga boleh terdedah kepada bahaya kerana asap yang dikeluarkan tidak musnah dan
ia mencemar alam sekitar," tambah Dr Maamor.
Beliau turut
memberitahu terdapat kajian bahaya menghisap shisha ke atas sistem saraf dan
juga tahap kesuburan seseorang.
"Risiko kesihatan
juga meningkat apabila peralatan ini dikongsi kerana ia boleh menyebabkan
merebaknya penyakit bawaan udara."
"Selain risiko
kesihatan sudah tentulah ada risiko-risiko sosial, ekonomi, budaya dan pengaruh
politik yang boleh menyebabkan masyarakat menjadi keliru dan celaru. Maksud
saya ada orang yang berkata ia halal, ada kata haram atau makruh,"
jelasnya.
Ini Mamacama Pulak? |
LANGKAH YANG PERLU
DIAMBIL
Dr Maamor dan Ismail
mahu kerajaan mengambil langkah memantau penularan budaya menghisap shisha ini
sebelum ia merebak dan tidak dapat dikawal. Dengan mengibaratkan shisha sebagai
"api yang semasa kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan", Dr
Maamor berkata budaya negatif itu perlu dibendung semasa ia masih di peringkat
awal.
"Jika tidak, ia
akan menjadi sesuatu yang sangat sukar dan mungkin menelan belanja jutaan
ringgit untuk diatasi."
"Harapan kita
supaya kerajaan menyedari kesan negatif akibat perbuatan menghisap shisha ini
dan mengambil satu polisi yang jelas supaya ia bersesuaian dengan polisi-polisi
lain yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini," kata beliau.
Ismail pula
menyarankan Kementerian Kesihatan supaya memantau kandungan shisha dan segera
membuat kajian.
"Pihak polis juga
perlu memantau gerai atau premis yang menawarkan shisha ini dan memeriksa
bekasnya jika perlu untuk memastikan tiada kandungan ganja."
"Khidmat jualan
shisha juga perlu dilesenkan seperti jualan rokok dan pihak kastam juga perlu
memantau jualan tembakau shisha ini dan mengesahkan sumber bekalan," kata
Ismail.
@ Kerajaan Malaysia
sepatutnya mewartakan pengharaman membekal, menjual dan menghisap Sisha. Sama seperti
Akta Dadah Merbahaya dan Air Ketum!
Pernah disaksikan sekumpulan
kanak-kanak perempuan 9 tahun, asyik mencuba dan melayan sisha di bawah
pemerhatian kakaknya yang dianggarkan
berusia 17 tahun! … Anak sape lah yang malang itu?
No comments:
Post a Comment