Bulan-bulan yang banyak
keberkatan dalam Islam. Antaranya bulan Rejab, Syaaban dan akan manyusul
Ramadan.
Rejab adalah kunci kebaikan
dan ibadah. Berkata Abu Bakar Al-Warraq al-Balkhi: "Bulan Rejab bulan
menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan
menuai buahnya."
Itu kerana bulan Ramadan
adalah bulan yang penuh dengan rahmat daripada Allah SWT. Setiap Muslim
merasakan keindahan dan kedekatan dengan-Nya. Pada bulan itu, setiap ibadah
diberi ganjaran berkali-kali ganda. Belum lagi malam Lailatulqadar yang menjadi
harapan setiap orang yang mencintai negeri akhirat.
Kesempurnaan Ramadan mustahil
diraih tanpa persiapan. Dan persiapan itu bukan bermula apabila Ramadan
bermula. Persiapan Ramadan mesti bermula sejak beberapa bulan sebelumnya. Rejab
bulan yang sangat baik untuk kita memulai persiapan itu.
Bulan Haram
Bulan Haram
Apa lagi sebenarnya Rejab
memiliki kelebihan tertentu berbanding bulan-bulan yang lain. Ia adalah salah
satu daripada empat bulan haram, yakni bulan-bulan yang sangat terhormat di
sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW pernah
bersabda: Sesungguhnya masa telah beredar seperti mana keadaannya ketika Allah
menciptakan langit dan bumi. Satu tahun adalah 12 bulan. Di antara bulan-bulan
itu terdapat empat bulan haram. Tiga di antaranya berturut-turut, iaitu
Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Dan (keempat) adalah Rejab Mudar yang
terletak antara Jumada dan Syaaban. (al-Bukhari dan Muslim)
Sejak masa jahiliah,
keempat-empat bulan haram ini sangat dihormati. Ia adalah bulan-bulan bertenang
untuk meraikan para jemaah haji dan umrah. Peperangan dan pergaduhan diharamkan
pada bulan-bulan tersebut.
Dalam Islam hukum ini memang
dimansuhkan. Apabila diperlukan, umat Islam dibenarkan berperang pada
bulan-bulan tersebut itu. Namun begitu, keempat-keempat bulan itu tetap
memiliki kelebihan tersendiri dengan dilebihkan ganjaran pahala dan dosa
padanya.
Berkata Ibnu Abbas:
"Allah mengkhaskan beberapa bulan untuk dijadikan bulan haram dan
mengagungkan kadarnya. Dosa maksiat yang dilakukan padanya sangat besar.
Sebagaimana pahala ibadah yang dilakukan padanya juga sangat besar."
(diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman).
Alaman
Alaman
Tiada amalan khas yang mesti
dilakukan pada bulan Rejab. Kita hanya diperintahkan untuk memperbanyak ibadah
apa yang kita mampu lakukan.
Siapa yang mampu memperbanyak
solat sunat dipersilakan. Namun begitu hindari daripada melakukan solat Raghaib
yang selalu dilakukan pada Jumaat pertama bulan Rejab.
Berkata Ibnu Rajab al-Hanbali:
"Hadis-hadis yang menceritakan fadilat solat Raghaib pada Jumaat pertama
bulan Rejab adalah palsu. Solat ini bidaah menurut kebanyakan ulama."
Siapa yang hendak memperbanyak
puasa sunat, juga digalakkan. Usman bin Hakim al-Ansari pernah bertanya kepada
Said bin Jubeir tentang amalan puasa sunat pada bulan Rejab.
Said menjawab: Aku mendengar
Ibnu Abbas berkata: Rasulullah selalu berpuasa sehingga kami menyangka beliau
tidak pernah berbuka. Dan baginda juga selalu berbuka sehingga kami menyangka
beliau tidak pernah berpuasa. (riwayat Muslim)
Imam Al-Nawawi menjelaskan:
"Maksud Said bin Jubeir adalah tidak ada larangan dan galakan khas untuk
melakukan puasa di bulan Rejab. Akan tetapi hukum bulan ini seperti bulan-bulan
lainnya. Asal hukum puasa adalah sunat."
Adapun ibadah umrah, maka
sunat melakukannya pada bulan Rejab. Rasulullah pernah melakukan ibadah umrah
di bulan Rejab. Ibnu Sirin meriwayatkan bahawa para tokoh-tokoh ulama salaf
sangat menyukai ibadah umrah di bulan Rejab.
Selain ibadah-ibadah ini,
lakukanlah ibadah-ibadah lain semampu kita. Perbanyakkanlah zikir, bacaan
al-Quran dan selawat.
Jika tidak mampu melakukan
ibadah dan kebaikan, minimal yang kita mesti lakukan adalah menjauhkan diri
daripada maksiat. Jangan nodai bulan yang mulia ini dengan kata-kata kesat,
lucah, ghibah, makian dan lain-lain. Siapa yang meninggalkannya kerana Allah,
ganjaran besar telah menunggu untuknya.
Semoga Allah membuka hati-hati
kita untuk menikmati keindahan Ramadan dengan memberinya hidayah untuk
melakukan kebaikan sejak dari bulan Rejab dan Syaaban.
Wallahu a’lam.
Artikal Berkaitan:
No comments:
Post a Comment