Dr Mohamad Omar |
KUALA TERENGGANU - ‘Mat
Gersang’ kembali lagi. Jika dahulu kecoh dengan kes lelaki menyamar sebagai
doktor yang bertindak menghubungi pesakit wanita dan meminta melakukan aksi
lucah, kes yang sama dilaporkan berulang kembali.
Terbaru, menggunakan modus
operandi yang sama, seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor di sebuah
hospital, bertindak menelefon mangsanya bagi melakukan aksi lucah, minggu lalu.
Timbalan Pengarah Kesihatan
Negeri (Perubatan) Dr Mohamad Omar berkata, kejadian terbaru dikesan minggu
lalu, membabitkan seorang wanita hamil berusia 30-an.
“Berdasarkan maklumat yang
kita terima, lelaki terbabit bertanyakan tentang kesihatan pesakit, sebelum
memintanya melakukan beberapa aksi lucah, termasuk membuka baju, dengan alasan
ia sebahagian daripada proses rawatan selepas mendapat kepercayaan mangsa.
“Wanita itu pada mulanya
tidak mengesyaki apa-apa, akur dengan arahan lelaki terbabit memandangkan semua
maklumat yang diberikan oleh lelaki berkenaan, tepat.
“Lelaki terbabit meminta
mangsa melakukan beberapa aksi lucah, dipercayai bagi memuaskan nafsunya dengan
mendengar suara mangsa ketika melakukan aksi yang diminta. Bagaimanapun, mangsa
kemudiannya menyedari dirinya telah ditipu, sebelum melaporkan kejadian itu kepada
pihak hospital untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Jelas Dr Mohamad, kejadian
sama pernah beberapa kali berlaku sebelum ini dan terakhir pernah dilaporkan,
pada 2011.
Katanya, lelaki terbabit
menyasarkan wanita mengandung sebagai mangsa dan menggunakan modus operandi
dengan melakukan rawatan melalui panggilan telefon sahaja.
Menurut Dr Mohamad, cara
memaklumkan mengenai keadaan pesakit dan melakukan rawatan melalui telefon
bukanlah amalan doktor atau pegawai perubatan kerajaan, kecuali dalam kes-kes
yang melibatkan kecemasan serta memerlukan tindakan segera.
Justeru, katanya, pesakit
diminta berwaspada jika mendapat panggilan yang mencurigakan dan memaklumkan
kepada hospital serta membuat laporan polis.
“Doktor atau kakitangan kesihatan
tidak akan sesekali menyuruh pesakit membuat perbuatan lucah, apatah lagi
membuat rawatan melalui panggilan telefon. Jika rasa curiga dan tertipu,
maklumkan kepada kita dan pihak berkuasa.
“Berkuat kuasa serta-merta,
kita telah mengeluarkan arahan agar maklumat pesakit tidak didedahkan kepada
mana-mana pihak, kecuali doktor dan pihak pengurusan hospital, sebagai langkah
berwaspada,” katanya. - SH
No comments:
Post a Comment