Tiada siapa yang pasti akan mengambil serius
orang seperti Psy. Usianya sudah 34 tahun, bertubuh besar dan seorang ahli
muzik yang dikatakan gagal. Perawakan beliau lebih sesuai menjadi penyangak
dalam filem Korea. Tetapi Psy atau nama sebenarnya Park Jae-Sang telah
membuktikan bahawa kreativiti boleh mengubah segala-galanya.
Video Gangnam Style yang
dihasilkannya mencecah angka 1.3 bilion (1,316,314,784) ‘views’ di YouTube pada hari ini . Ia telah mengalahkan lagu Baby oleh penyanyi remaja Justin Bieber yang
mencatatkan tontonan 830 juta. Ini fenomena luar biasa dalam dunia hiburan.
Gangnam Style menjadi ikutan di seluruh dunia. Semua orang mahu mencuba gaya
tarian kuda ciptaan Psy - dari penyanyi terkenal Britney Spears hinggalah
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon. Malah
Ki-Moon mengakui di tengah ketidakstabilan dan kekacauan dunia hari ini,
nampaknya hanya Psy yang mampu menyatukan penghuni planet ini dengan tariannya.
Apakah pengajaran daripada Psy
dan Gangnam Style? Kreativiti. Hari ini kreativiti menjadi enjin penggerak pada
perubahan atau transformasi dunia. Teknologi dicorakkan oleh kreativiti. Demikian
juga industri kandungan yang amat dinamik pada masa ini. Kreativiti serta
inovasi telah mencorakkan tatacara manusia berkomunikasi, berhibur dan
bermasyarakat.
Psy contoh terbaik bagaimana
kreativiti mengubah hukum hakam dunia hiburan. Cara dan kaedah lama telah
dicabar malah ditinggalkan. Pendekatan lama mungkin tidak lagi relevan.
Bayangkan, kini seorang daripada setiap lapan orang penduduk dunia telah
menonton video Psy. Ini bermakna seluruh dunia terpaku pada bakat dan
kreativiti seorang manusia yang dianggap ‘tidak mungkin boleh berjaya selama
ini’. Berapa banyak lagi Psy di dunia hari ini – mereka yang sudah dilabel
gagal tetapi mencipta nama disebabkan usaha, ketekunan dan kreativiti.
Kreativiti seniman
Perubahan besar sedang berlaku
pada industri kandungan dunia hari ini. Industri itu bernilai berbilion
ringgit. Setiap hari kita akan berdepan dengan hasil kreativiti seniman dan
karyawan industri berkenaan, dari seluruh pelosok dunia. Hari ini bukan sahaja
filem dan siri TV Hollywood yang menghiburkan kita tetapi juga karya dari
Jepun, China, Korea dan Iran. Dalam kes Psy, beliau merupakan sebahagian
daripada Gelombang Korea atau K-Pop yang melanda dunia. Cuma bezanya, gelombang
itu selalunya menampilkan anak-anak muda tetapi Psy menentang arus.
Di Malaysia sendiri industri
produktif dan kandungan memungut pulangan RM9.4 bilion setahun atau 1.27
peratus Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK). Industri ini juga menggaji lebih
45,000 pekerja kreatif secara langsung dan ratusan ribu lagi secara tidak
langsung. Ia merupakan industri yang sentiasa menggelegak dengan idea dan
pembaharuan. Potensi eksport kandungan kreatif juga cukup luar biasa.
Dan lebih menarik lagi, karya
kreatif melangkaui sempadan, bahasa dan budaya.
Perlunya bakat kreativiti di
kalangan anak-anak muda ini dipupuk dan dibajai. Dan lebih penting lagi dikenal
pasti. Bakat kreativiti di kalangan anak muda harus dikembangkan dan
dimanfaatkan. Bagaimana beberapa buah syarikat raksasa hari ini dilahirkan dari
kreativiti anak-anak muda satu waktu dahulu - Apple, Microsoft, Dell dan
Facebook. Bayangkan pengasasnya anak-anak muda yang tidak habis pengajian
tinggi pun dan memulakan usaha mereka dari garaj kereta dan pejabat kecil. Hari
ini syarikat yang mereka usahakan menyentuh kehidupan berbilion manusia dan
mereka menjadi kaya-raya.
Anak muda kreatif, inovatif
Kita memerlukan anak-anak muda
yang kreatif dan inovatif. Merekalah yang akan mencorakkan transformasi negara
masa kini dan masa depan. Mereka jugalah yang akan menjadi pesaing pada
usahawan muda dalam bidang-bidang baru di seluruh dunia. Hari ini dunia menjadi
kampung global yang dicorakkan oleh talian dan alam siber. Maklumat tersebar
pantas dan dunia hiburan mendapat nafas baru.
Mujurlah Malaysia telah
memulakan langkah awal bagi menghadapi gelombang globalisasi dalam teknologi
maklumat. Pada tahun-tahun 90-an lagi kerajaan telah mengambil langkah proaktif
untuk menghadapi arus teknologi. Tiada siapa yang meramalkan pada waktu
bermulanya Koridor Raya Multimedia (MSC) bahawa dunia komunikasi dan maklumat
akan berubah sehebat ini. Tetapi kita telah menyediakan prasarana yang sesuai
untuk menghadapi semua kemungkinan.
Dalam industri kreatif,
usahawan dan karyawan seni tidak boleh lagi berkokok di halaman sendiri.
Cabarannya ialah untuk membawakan ‘Brand Malaysia’ ke seantero dunia. Kalau
Korea, memperagakan K-Pop, kita mahukan M-Pop. M-Pop akan menjadi sebahagian
daripada fenomena hiburan dunia. Tidak semua 80 buah filem tempatan yang
ditayangkan di pawagam pada tahun ini akan membuat keuntungan atau meninggalkan
kesan. Pasaran tempatan terlalu kecil untuk menampung industri sedia ada. Filem
kita perlu diperdagangkan ke luar negara.
Kita perlukan gelanggang yang
lebih besar. Maka itu kita memerlukan strategi jangka panjang bagi melonjakkan
industri kreatif pada tahap yang lain. Kita perlukan ekosistem yang betul dan
sikap dan minda yang tepat. Kita harus bekerja sebagai satu pasukan.
Maka itu kita patut belajar
daripada Korea Selatan dan orang seperti Psy.
Kredit kepada: JohanJaafar.
No comments:
Post a Comment