Entah
di mana silapnya, biarpun berpenampilan menarik, berwajah ayu dan mempunyai
kerjaya stabil hingga kini, Saleha belum mempunyai teman lelaki. Bukan
dirinya tidak pernah berusaha, malah ibu bapanya juga puas berikhtiar, namun
jodohnya ‘liat’. Tidak cukup dengan itu, rakan serta ahli keluarga lain turut
sama mencarikan jodoh buatnya, namun masih belum berjaya.
Siapa
tidak risau, memasuki usia lewat 20-an, Saleha masih belum berteman, sedangkan
rakannya sudah beranak pinak. Puas berikhtiar, akhirnya Saleha menemui pakar
dermatologi sebagai langkah terakhir selepas usahanya menggunakan kaedah
tradisional tidak berhasil.
Hasil
rundingan itu, baru Saleha tahu mengenai masalah sebenar dirinya. Saleha
mempunyai masalah bau badan yang melampau hingga menyebabkan orang ramai sukar
mendekatinya. Kini, dia mula percaya apa diperkatakan rakannya selama ini.
Saleha mempunyai bau badan yang kurang menyenangkan, menyebabkan pergaulan
sosialnya terbatas.
Sejak
itu, Saleha sedaya upaya berusaha mengurangkan bau badan. Selain manfaat untuk
dirinya, dia mahu mencari jodoh dan segera berkahwin. Hakikatnya, bau badan
boleh dialami oleh semua individu menyebabkan hilang keyakinan diri selain
membataskan kegiatan sosial.
Perunding
Dermatologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Guru Ratnavelu berkata, bau badan
berpunca daripada bahan buangan terkumpul dalam badan akibat proses pencernaan
yang tidak sempurna.
Dalam
pengambilan pelbagai jenis makanan, majoritinya digunakan untuk tubuh manakala
selebihnya ditukar ke dalam bentuk sisa buangan atau toksin. Toksin ini mudah
disingkirkan jika ginjal, hati dan saluran penghadaman usus berfungsi dengan
baik.
“Bau
badan dicipta oleh hormon yang dipanggil pheromones tetapi jika dibiarkan,
hormon semula jadi ini akan mengeluarkan bau lebih kuat apabila kelenjar peluh
atau apocrine mula dijangkiti bakteria.
“Selalunya
masalah ini dialami mereka yang menjangkau usia akil baligh atau peringkat
remaja kerana mengalami perubahan hormon dan menjalani gaya hidup sihat,”
katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu di Kuala Lumpur, baru- baru ini.
Dalam
kalangan kanak- kanak, bau badan kerap dikaitkan sebagai penanda tahap
kematangannya. Misalnya, remaja perempuan mula mengalami masalah badan berbau
pada usia 14 hingga 16 tahun, manakala remaja lelaki dari 15 hingga 17 tahun.
Bagi yang obes atau terlalu gemuk pula, kerap mengambil makanan pedas dan
memakan ubat khusus (seperti pesakit diabetes), mereka lebih berisiko berdepan
masalah bau badan.
Bau
badan juga dipengaruhi oleh diet, mood, tahap hormon, jantina, tahap kesihatan,
ubat-ubatan yang diambil dan bagi sesetengah orang, genetik juga memainkan
peranan. Menurutnya, setiap individu ada bau badan yang terhasil daripada
peluh. Peluh adalah sebahagian daripada proses semula jadi dalam tubuh badan
manusia. Selain itu faktor genetik, penyakit kencing manis, tiroid, masalah
ginjal dan hati juga antara penyumbang kepada bau badan.
“Dalam
tubuh badan manusia ada dua jenis kelenjar yang menghasilkan peluh iaitu
kelenjar eccrine dan apocrine. Kelenjar eccrine bertanggung jawab terhadap
proses berpeluh, yang mana ia bersambung terus hingga permukaan kulit untuk
menghasilkan peluh serta bertujuan mengawal suhu badan, selain membuang bahan
buangan seperti urea, sodium, kalsium atau elektrolit.
“Manakala
kelenjar apocrine pula merembeskan cecair yang lebih likat dan keruh serta
menimbulkan masalah jika kuantitinya lebih banyak daripada kelenjar eccrine.
“Kelenjar
ini berada pada bahagian tubuh yang banyak folikel rambut seperti ketiak dan
tempat sulit. Ia mengandungi sebum bahan berlemak iaitu peluh dirembeskan.
Sebum pula bahan organik yang tersimpan dalam kelenjar apocrine,” katanya.
Menurutnya,
faktor pemakanan juga antara yang menyumbang ke arah bau badan. Antaranya
rempah ratus dan bawang putih, selain banyak minum kopi atau minuman berkafein
yang berpotensi menyebabkan bau pada ketiak, sama ada lelaki atau perempuan.
“Bagi mengelak perkara ini berlarutan, paling penting jaga kebersihan dan
makan.
Mandi
dua kali sehari antara perkara mudah yang biasa dilakukan. Elakkan juga
mengambil makanan mengandungi rempah ratus terlalu kuat. “Selain itu, cukur
rerambut halus yang tumbuh seperti di bahagian kemaluan serta ketiak apabila
tiba waktunya. Pemakaian deodoran mengandungi bahan antiseptik juga antara yang
banyak membantu meskipun bukan jaminan 100 peratus,” katanya.
Tambahnya,
masalah bau badan juga mungkin dianggap ringan bagi sesetengah individu yang
kurang peka. Hakikatnya, masalah ini mampu menjadi besar jika tidak dibendung
segera. “Tidak kira sama ada lelaki atau wanita, kebersihan aspek terpenting
yang perlu dititikberatkan. Jangan ambil mudah perkara ini kerana apabila
berlarutan, ia mampu menyebabkan hilang keyakinan diri dan malu, selain
membataskan kegiatan sosial.
“Paling
ditakuti, bau badan juga mampu memberi impak terhadap kehidupan peribadi.
Misalnya, sukar mencari jodoh atau bagi pasangan berkahwin, ia mampu
menjejaskan hubungan suami isteri,” katanya yang menasihati orang ramai supaya
memberi perhatian terhadap kebersihan diri. -HM
No comments:
Post a Comment