Pertempuran
Membawa Korban
Sementara itu,
seramai 16 orang terkorban dan lebih 780 orang lagi cedera apabila tercetus
pertempuran antara penentang Mursi dan penyokongnya dalam demonstrasi
besar-besaran bagi mendesak beliau meletakkan jawatan, semalam.
Pertempuran
itu berlaku selepas sejumlah penunjuk perasaan bertindak menyerang ibu pejabat
Ikhwan Muslimin, yang merupakan pergerakan dipimpin Mursi, di Kaherah ketika
demonstrasi utama diadakan di Dataran Tahrir di sini. Seramai 12 orang maut
dalam pertempuran, manakala empat lagi meninggal dunia akibat kecederaan, kata
seorang pegawai Kementerian Kesihatan kepada saluran televisyen satelit swasta,
hari ini.
Rakaman
televisyen menunjukkan bangunan tersebut terbakar ketika berpuluh-puluh orang
menyerang ibu pejabat Ikhwan Muslimin itu dengan membaling batu dan bom petrol.
Penyokong Ikhwan Muslimin pula melepaskan tembakan ke arah penyerang untuk
mengundurkan mereka. Pergolakan di Mesir yang dikepalai oleh pergerakan Tamarod
semakin memburuk dengan Menteri Luar, Mohammed Kamel Amr bertindak meletak
jawatan hari ini.
Pergerakan
Tamarod pula mendapat sokongan dalam bentuk lojistik daripada parti-parti
pembangkang yang berfahaman sekular dan mereka menggunakan medium internet
seperti Facebook dan Twitter untuk meraih sokongan. Malah, khabar angin bertiup
kencang tentang Kabinet Mesir pimpinan Presiden Mohammed Mursi telah meletak
jawatan, tetapi dinafikan oleh Menteri Keadilan, Ahmed Suleiman.
Akhbar al
Arabia sebelum ini, melaporkan sepuluh menteri Mesir turut menghantar surat
peletakan jawatan selepas berjuta-juta rakyat Mesir mengadakan tunjuk perasaan
menuntut Presiden Mohammed Mursi meletak jawatan.
Wartawan Dirogol di Tahrir
Seorang
wartawan menjadi mangsa rogol beramai-ramai ketika rakyat Mesir turun ke jalan
raya pada malam yang turut menyaksikan 44 serangan ganas lain ke atas wanita.
Lima lelaki
dilaporkan menyerang wartawan kelahiran Belanda itu menyebabkan mangsa “cedera
parah” dan perlu dibedah untuk menyelamatkannya. Laporan lain menyatakan,
selain wartawan berusia 22 tahun itu, seorang nenek dan kanak-kanak berusia
tujuh tahun turut menjadi mangsa serangan seksual.
Seorang saksi
kejadian berkata, mangsa dipercayai wartawan pelatih dan diserang ketika
merakamkan gambar penunjuk perasaan di Kaherah. Pengarang Timur Tengah BBC,
Jeremy Bowen berkata: “Sedih melihat suasana revolusi di Dataran Tahrir
kehilangan adab, manakala serangan seksual menjadi lazim.
“Tiada polis
kelihatan di situ.” Berjuta-juta orang kini turun ke jalan raya di sekitar
Dataran Tahrir untuk mendesak Presiden Mohamed Mursi berundur. Aktivis dari
kumpulan Operasi Antiserangan Seksual merekodkan 44 kes insiden berlaku pada
malam kelmarin saja. Pertubuhan itu turut menggesa wanita menjauhi Dataran
Tahrir sehingga keadaan kembali terkawal.
Menteri letak
jawatan
Seorang
pegawai kanan kerajaan bagaimanapun berkata, Perdana Menteri Hisham Qandil
telah menolak permohonan peletakan jawatan daripada lima menteri iaitu Menteri
Pelancongan; Hisham Zaazou, Menteri Hal Ehwal Alam Sekitar; Khaled Abdel-Aal,
Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi; Atef Helmi, Menteri Hal Ehwal
Parlimen dan Undang-Undang; Hatem Bagato dan Menteri Air; Abdel Qawy Khalifa.
Kekecohan itu
diburukkan lagi apabila empat menteri yang masing-masing memegang porfolio
pelancongan, alam sekitar, komunikasi dan hal ehwal perundangan meletak jawatan
hari ini. Sebanyak lapan anggota Parlimen daripada kumpulan berfahaman sekular,
turut meletakkan jawatan dalam Majlis Syura, Dewan Tinggi Parlimen Mesir,
kelmarin.
Ihab
al-Kharatt yang mengetuai Majlis Hak Asasi Manusia, Majlis Syura pula berkata,
sekurang-kurangnya 22 anggota Parlimen telah meletakkan jawatan. Pembangkang
Mesir dikenali sebagai pergerakan Tamarod yang mengetuai demonstrasi itu
memberi Mursi sehingga esok untuk berundur daripada jawatan tersebut.
Jika Presiden
Mesir itu tidak berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan, Tamarod yang
bermaksud pemberontakan dalam bahasa Arab, mengancam meningkatkan kempen
kekacauan dan huru-hara.
Ramai wartawan
antarabangsa telah diserang dan kelengkapan mereka turut dirosakkan. Suasana
ini membuatkan Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton menyatakan rasa terkejut
dan memberi 'amaran'.
Murshi Tidak
Hiraukan amaran Tentera
Presiden
Mesir, Mohammed Mursi, menolak amaran terakhir tentera yang mengancam
untuk campur tangan jika beliau tidak memenuhi tuntutan rakyat, sekali gus ia
dilihat meningkatkan lagi ketegangan politik di negara itu.
Kelmarin,
televisyen tempatan menyiarkan kenyataan tentera yang memberi tempoh 48 jam
kepada Mursi untuk berbuat demikian.
"Jika
tuntutan rakyat tidak dipenuhi dalam tempoh diberikan, kami (angkatan tentera)
akan mengumumkan pelan tindakan dan langkah yang akan mengawasi
pelaksanaannya," tegas mereka. Menurut laporan AFP, kumpulan penganjur
demonstrasi besar-besaran, Tamarod turut menyatakan sokongan mereka kepada
kenyataan yang dikeluarkan tentera itu kerana menganggap ia seperti berpihak
kepada rakyat.
Puluhan ribu
penunjuk perasaan juga dilaporkan terus membanjiri jalan di Kaherah,
Iskandariah dan beberapa bandar besar lain bagi terus menggesa Mursi berundur.
Di Dataran Tahrir, penunjuk perasaan turut melaungkan slogan menyokong ketua
tentera dan Menteri Pertahanan, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi.
Bagaimanapun,
dalam satu kenyataan, Mursi tetap berkeras untuk terus dengan 'jalan' beliau
sendiri menuju ke arah perdamaian nasional.Beliau juga mengecam sebarang deklarasi yang akan mencetuskan kekeliruan
dan mengancam keamanan sosial. "Menjadi sebuah negara demokratik adalah
pencapaian terpenting selepas revolusi 25 Januari.
Kita tidak
lagi akan menoleh ke belakang walaupun dalam apa jua situasi," katanya
yang merujuk kepada kebangkitan rakyat menggulingkan bekas Presiden, Hosni
Mubarak lebih dua tahun lalu. Difahamkan, tentera yang menyebabkan peralihan
kuasa menjadi huru-hara selepas kebangkitan revolusi rakyat pada 2011 turut
memberi tempoh seminggu kepada semua pihak untuk berdamai.
Sementara itu,
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran sebarang peralihan yang
berlaku di Mesir akan memberi kesan besar kepada negara lain
Ketua tentera
Mesir hari ini memberi masa 48 jam kepada kerajaan Mesir pimpinan Presiden Mohammed
Mursi untuk menjawab tuntutan rakyat atau pihak tentera akan menggunakan cara
tersendiri untuk masa depan negara ini.
Jeneral Abdel
Fateh al-Sisi dalam kenyataannya yang disiarkan melalui siaran televisyen
tempatan berkata, tunjuk perasaan yang diadakan secara besar-besaran semalam
mendesak Mursi meletakkan jawatan dan tuntutan tersebut tidak pernah berlaku
yang dilakukan secara pungutan suara di negara ini.
No comments:
Post a Comment