Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum w.b.t..
Sekadar perkongsian dan renungan serta peringatan terutama untuk diri ini dan perkongsian buat sahabat-sahabat sekelian...
Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
SEMENJAK di lohmahfuz lagi, kematian kita telah direncanakan oleh ALLAH S.W.T. Walaupun mati itu pasti, namun tiada seorang pun mengetahui bila dan di mana Izrail akan menjemput kita menghadap ILAHI.
Usah jadikan rahsia tersebut sebagai alasan untuk kita tidak mempersiapkan diri menghadapi detik-detik sakaratulmaut. Sesungguhnya dari tanah kita berasal, kepada tanah jualah kita dikembalikan. Setiap yang kita miliki di dunia ini, satu per satu akan diambil semula oleh Pemiliknya. Dunia hanyalah pinjaman semata-mata. Selagi jasad masih bernyawa, rebutlah peluang menggandakan amal ibadat demi menjadi hamba-NYA yang cemerlang di akhirat sana.
Setiap yang hidup akan mati, dan setiap yang mati akan dibangkitkan semasa di Padang Masyar. Adakah kita golongan ahli Syurga atau golongan ahli Neraka. Kita yang tentukan sama ada di Syurga atau di neraka selepas kehidupan di alam barzakh.
Ada kalanya, ketika musim peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan lain-lain, kedengaran bisik-bisik berkenaan soalan bocor. Pelbagai respon daripada para pelajar dan ibubapa. Ada yang begitu bersungguh mendapatkannya dan membuat persiapan sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Ada juga pelajar yang mendapat soalan-soalan tersebut, tetapi tidak mempedulikannya, bahkan ada yang langsung tidak berminat untuk mengambil tahu soalan-soalan tersebut. Ketika di dalam dewan peperiksaan, ada yang bergembira kerana telah bersiap sedia dengan jawapan dan ada yang menyesal kerana mengabaikan soalan-soalan bocor tersebut.
Posting kali ini akan membicarakan berkenaan empat soalan di dalam kubur yang telah “dibocorkan” oleh Rasulullah s.a.w melalui ungkapan baginda yang bermaksud:
“Tidak akan berganjak kedua-dua kaki setiap hamba (ke syurga atau neraka) pada hari akhirat nanti sehinggalah ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan. Ditanya tentang ilmunya, apakah yang diamalkan. Ditanya tentang hartanya, bagaimana cara memperolehi dan membelanjakannya. Dan ditanya tentang kesihatan tubuh badannya, apa yang telah dilakukan dalam kehidupan.” (Tarmizi; No. 2417)
Moga-moga kita mengambil perhatian dan mempersiapkan jawapan masing-masing dan berjaya lulus dengan cemerlang di akhirat nanti.
Soalan Bocor Yang Pertama
Kehidupan di dunia adalah tempoh ujian daripada Allah swt. Apabila tiba waktunya, kematian menjelma tanpa diperlewatkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Persoalan berkenaan usia yang dianugerahkan olehNya akan ditanya kepada setiap insan lantas masing-masing menjawab dengan jawapan yang berbeza, berdasarkan cara tersendiri tentang bagaimana memenuhi tempoh tersebut.
Ada yang pendek usianya, tetapi menjadi sangat bernilai kerana diisi dengan penuh ubudiyyah (penghambaan) kepada Allah swt. Ada pula yang panjang umurnya, tetapi menjadi sebab penyesalan yang tidak berkesudahan kerana ia dipenuhi dengan penghambaan kepada hawa nafsu semata-mata. Golongan yang paling bergembira adalah di kalangan yang panjang usianya dan dihiasi dengan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Yang Maha Esa. Moga kita mampu menjawab pada saat itu dengan jawapan yang tidak menghampakan.
Soalan Bocor Yang Kedua
Soalan kedua amat menggetarkan hati khususnya golongan yang berilmu. Apakah yang telah diamalkan daripada ilmu yang dimiliki? Peringatan yang amat menggerunkan di dalam firman Allah:
“Amat besarlah kemurkaan Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu amalkan”. Surah Soff, ayat 3)
Buah kepada ilmu dan tanda ia bermanfaat kepada seseorang ialah apabila diamalkan. Para orientalis mempunyai ilmu yang banyak tentang Islam, tetapi ia tidak akan menyelamatkan mereka di akhirat kerana ia tidak diamalkan. Begitu juga para ulama’ al-suu’ (ulama’ yang jahat) yang sentiasa menggunakan agama untuk mengejar dunia dengan memutarbelitkan hukum hakam agama demi mencari redha ‘tuhan-tuhan’ yang bukan Tuhan.
Demikianlah iblis yang mempunyai ilmu paling hebat berkenaan syurga, kerana pernah menghuni dan merasai nikmat di dalamnya, tetapi tidak membawa kepada amal yang membuktikan ketaatan kepada Allah. Ada pula yang ingin mengambil jalan mudah dengan tidak berusaha menambah ilmu, agar tidak dibebankan dengan soalan ini, tetapi pada hakikatnya mendedahkan diri kepada bahaya yang lebih besar iaitu sesat dalam kegelapan jahiliah. Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami agar sentiasa berusaha menambahkan ilmu agama dan anugerahkan kami kemampuan untuk mengamalkannya dengan penuh ikhlas dan istiqamah.
Soalan Bocor Yang Ketiga
Soalan ketiga berkenaan harta. Ia mempunyai dua anak soalan, iaitu bagaimana cara memperolehi dan bagaimana cara membelanjakannya. Realiti dunia hari ini yang dikuasai kapitalis melahirkan segolongan manusia yang tidak mempedulikan halal dan haram di dalam mengumpul harta. Matlamatnya hanyalah wang, setiap tindak tanduk diputuskan berdasarkan keuntungan wang, segala pengorbanan adalah demi wang, bahkan hidup matinya seolah-olah menghambakan diri kepada wang. Golongan ini lupa untuk merealisasikan makna doa iftitah yang dibaca pada setiap rakaat pertama solatnya.
Sepatutnya segala-segala yang dilakukan adalah demi Allah, Tuhan sekalian alam. Lantas suburlah budaya rasuah, pecah amanah, menipu dalam perniagaan, lari dari hutang, mencuri, merompak dan sebagainya. Alangkah ngerinya keadaan golongan ini apabila berada di dalam mahkamah Allah di akhirat kelak, apakah yang bakal dijawab oleh mereka? Soalan susulan seterusnya ialah cara membelanjakan harta yang dimiliki.
Ada yang begitu cermat memastikan hartanya benar-benar dari sumber yang bersih dan halal, tetapi lalai ketika membelanjakannya. Tanpa disedari, ia membeli perkara-perkara yang menjadi senjata musuh untuk merosakkan zuriatnya sendiri lalu menempatkannya di dalam rumah yang mereka diami. Ada kalanya, menggunakan harta yang halal, tetapi membawa ahli keluarganya ke tempat yang melalaikan mereka dari mengingati Allah. Semua ini bakal ditanya, persiapkanlah jawapannya!.
Soalan Bocor Yang Keempat
Soalan terakhir berdasarkan hadis ini adalah berkenaan tubuh badan dan kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah. Ramai yang tidak menghargai kesihatan ketika mereka sihat bahkan jarang memuji Allah di atas nikmat ini. Tetapi apabila jatuh sakit, secara tiba-tiba mereka menjadi orang yang sentiasa menyebut Allah dan berazam untuk melakukan ketaatan setelah sembuh.
Demikianlah sakit, satu anugerah yang sangat baik dari Allah, tanda kasihNya kepada hambaNya. Justeru, hargailah nikmat tubuh badan ini dengan menggunakannya semaksima mungkin untuk melakukan pelaburan yang profitnya akan digunakan untuk ‘shopping’ di akhirat nanti.
Tangan Dan Kaki Bercakap
Di dalam surah Yaasin, Allah menceritakan suasana di akhirat nanti di dalam firmanNya yang bermaksud:
Ketika itu, mulut yang sangat petah berkata-kata tidak mampu memberi alasan dan melepaskan diri lagi sebagaimana di dunia dahulu. Mulut terkunci rapat dan tugas menjawab dipindahkan kepada seluruh anggota badan lain lalu mengakui satu persatu amal baik dan buruk ketika di dunia dahulu tanpa tertinggal sedikitpun, sehingga akhirnya menempatkan mereka ke destinasi terakhir sama ada di syurga mahupun neraka.
Setiap muslim yang hidup di dunia ini perlu tahu apa soalan-soalan cepumas yang akan ditanya dan semua jawapan tersebut telah kita ketahui. Yang kita tidak ketahui adalah dapatkah kita menjawab semua persoalan yang ditanya oleh Malaikat Mungkar dan Nakir.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila si mati dikuburkan, datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama “Munkar” dan yang satu lagi disebut dengan nama “Nakir”, (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya). Kemudian mereka menyoalnya: Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?
Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud:
Mereka bertanya kepadanya: Apa yang engkau pernah sembah?
Maka kalau Allah memberi hidayah petunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: Aku menyembah Allah!
Kemudian ia ditanya lagi: Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?
Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga:
Mereka menyoalnya dengan berkata: Siapa Tuhanmu?
Ia menjawab: Tuhanku ialah Allah!
Mereka bertanya lagi: Apa agama mu?
Ia menjawab: Agamaku ialah Islam!
Mereka bertanya lagi: Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu?
Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!
Mereka berkata kepadanya: Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian.
Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda s.a.w bersabda: “Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Syurga.”
Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya; kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya: Tidurlah! Lalu ia berkata: Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?
Dua Malaikat itu berkata kepadanya: Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu.
Jika si mati itu seorang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak.
Lalu dua Malaikat itu berkata: Memang kami tahu engkau berkata demikian.
Dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia pakaian dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka.
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: ”Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya; kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya.” (Abu Hurairah r.a)
Wallahu a'lam
source:
-ustazsyed.blogspot.com
-atiqsalleh.com
No comments:
Post a Comment