Morsi Diguling
Semasa artikel
ini ditulis Morsi iaitu Presiden Mesir pertama yang dilantik secara demokratik
telahpun digulingkn oleh tentera. Ini berpandukan kepada kenyataan pihak
Tentera bahawa Morsi sudahpun berada dalam tahanan rumah manakala pemimpin
Ikhwan yang lain juga turut ditahan.
Di Medan
Tahrir, penentang Morsi merayakan berita tersebut manakala perhimpunan
pro-Morsi dan penyokong Ikhwan di Rabaa’ Adawiah masih terkejut dengan
perkembangan ini. Namun respons penggulingan ini tidak akan berakhir begitu
mudah malah Mesir dijangka akan berada dalam keadaan krisis yang panjang dan
sekali lagi akan mendapat perhatian dunia.
Demokrasi Melampau
Adakah istilah
‘demokrasi melampau’? Sebelum revolusi rakyat pada 25 Jan 2011 rakyat Mesir
tidak pernah memahami erti demokrasi kerana sejak penggulingan Raja Farouk oleh
Gamal Abdul Naser dan kemudian Anwar Saddat yang mati di bunuh, Hosni Mubarak
meneruskan legasi penguasaan tentera yang membenam demokrasi di Mesir.
Penguasaan
tentera tidak hanya dalam bidang politik dan menentukan kepimpinan negara
tetapi tentera menguasai hampir 40% agihan ekonomi Mesir. Penguasaan tentera
hampir sukar untuk dihapuskan bagi membuka jalan kepada demokrasi untuk
menentukan masadepan politik Mesir. Dua tahun setelah Mubarak dijatuhkan dengan
kekuatan rakyat demokrasi seolah masih mencari wajahnya yang sebenar apabila
Morsi menjadi mangsa demokrasi melampau.
Gambaran
penggulingan Morsi seolah-olah memberi isyarat bahawa rakyat boleh buang siapa
sahaja Presiden yang mereka rasa tidak layak walaupun Presiden Morsi dilantik
secara demokratik dan terma perlantikannya hanya akan berakhir 3 tahun lagi.
Para analisis
menggambarkan kebimbangan mereka apakah jaminan Presiden akan datang tidak akan
diperlakukan dengan cara demokrasi melampau ini? Adakah di atas nama demokrasi,
Mesir akan menuju ke arah anarki? Atau adakah kebangkitan rakyat dalam revolusi
25 Jan yang mahukan kuasa tentera dikurangkan hanya akan mengukuhkan lagi
cengkaman tentera? Berbagai persoalan yang memerlukan jawapan kepada masadepan
peneraju Arab Spring di Mesir.
Ikhwan Gagal?
Salah satu
faktor yang dikatakan menyebabkan kepimpinan Morsi dipertikaikan ialah
tanggapan bahawa Ikhwan telah mendominasi politik Mesir sedangkan kebangkitan
rakyat adalah terjemahan berbagai pihak. Tanggapan bahawa Morsi tidak mewakili
kehendak rakyat dan hanya mewakili kelompoknya adalah asas yang menjadi kempen
penentang Morsi. Perlu diingatkan bahawa Morsi memenangi Pilihanraya Presiden
dengan meraih 52% sahaja sokongan rakyat. Golongan liberal sekular tiada
pilihan calon mereka kerana Morsi yang mewakili parti Kebebasan dan Keadilan
adalah cabang politik Ikhwan yang dilihat lebih tersusun dan mempunyai
penyokong akar umbi yang kuat.
Kemenangan
Morsi dilihat sebagai terjemahan kepada kekuatan Ikhwan yang wujud sekian lama
(hampir 85 tahun) dan berjaya kekal dalam suasana politik yang tidak
menyebelahinya sepanjang proses itu. Kegagalan Ikhwan mentadbir negara yang
cuba digambarkan oleh musuh politiknya dari kalangan liberal sekular akan
meninggalkan bekas yang buruk kepada Ikhwan malah ia adalah isyarat kepada
potensi kegagalan mana-mana parti Islam yang mahukan kuasa politik di mana-mana
negara lain.
Ikhwan
Muslimin dianggap sebagai paling kanan dan menjadi idola kepada hampir semua
gerakan Islam dunia malah mempunyai cawangannya di hampir seluruh dunia Islam
khususnya. Propaganda ini berjaya membunuh dua burung dengan satu batu atau
serampang dua mata untuk meranapkan cita-cita politikal Islam yang menyertai
proses demokrasi hari ini.
Masa Depan Partisipasi Islamis
Istilah
Islamis menggambarkan kelompok penyertaan gerakan Islam dalam gerakan politik
dan sivil sebagai salah satu komitmen terhadap proses demokrasi. Ia berbeza
dengan istilah teroris yang bergerak di luar kerangka demokrasi yang mengimani
cara keganasan sebagai mencapai matlamat Islamnya.
Ikhwan di
Mesir selama ini menegaskan dirinya sebagai entiti yang meyakini cara aman
untuk memenangkan cita-citanya, malangnya sebelum Revolusi 25 Jan, Ikhwan tiada
banyak pilihan melainkan terpaksa berhadapan dengan tekanan yang kuat dari
regim tentera. Walaupun tertindas begitu lama, namun ia mampu menyesuaikan diri
dengan keadaan tanpa hilang pengaruh dan kekuatan prinsipnya.
Setelah
Revolusi Rakyat, Ikhwan muncul sebagai entiti yang paling berpengaruh dan
tersusun berbanding dengan golongan lain. Pasti nya penyertaan dalam proses
demokrasi post Revolusi memberikan Ikhwan kelebihan lantas memenangi Pilihanraya
Presiden setahun yang lalu. Dari sudut prinsip demokrasi, Ikhwan telah
memenangi pilihanraya melalui Parti Kebebasan dan Keadilan secara demokratik
namun kemenangannya terus diragui dari sudut keyakinan dan tindakan politiknya
yang sering disalahtanggap.
Malah
kemenangan Ikhwan tempoh hari dianggap sebahagian sebagai kebangkitan Islamic
Fascism. Kejatuhan Morsi pasti akan memberi kesan yang besar kepada persoalan
partisipasi politikal Islam dalam proses demokrasi.
Memberi Keadilan
Adakah benar dakwaan
terhadap Morsi? Ataukah ianya tuduhan yang tidak berasas malah sengaja direka
secara terancang untuk mengapuskan pengaruh Islam yang terlibat dalam proses
demokrasi? Morsi sering mengulangi aduannya bahawa saki baki regim Mubarak
masih menguasai beberapa kementerian di mana Morsi gagal untuk membentuk
struktur barunya. Ini tidak termasuk dakwaan sabotaj kepada kerajaannya dengan
menimbulkan krisis kekurangan tenaga, minyak yang membawa kesan kepada
keselesaan rakyat. Rakyat menuduh Morsi gagal dan alasan membuangnya menjadi
semakin kukuh pada pandangan awam yang rata-rata berada pada pendapatan US 2.5
dollar seorang.
Faktor ekonomi
menjadi tekanan terhadap Morsi namun ramai yang mempertikaikan kemampuan untuk
reformasi ekonomi dalam jangka masa setahun dan Morsi tidak boleh
dipersalahkan. Kementerian Dalam Negeri masih dalam penguasaan saki-baki
Mubarak menyebabkan sukar bagi Morsi mengembalikan keadaan stabil dalam negara
kerana terlalu banyak sabotaj ke atas inisiatif Morsi.
Reaksi Pro-Morsi
Penganalisis
masih menanti reaksi penyokong Morsi yang kebanyakannya ialah dari anggota
Ikhwan dan para aktivisnya dan simpatiannya. Kebimbangan para analisis
berpandukan kepada keupayaan Ikhwan untuk menggerakkan penyokongnya yang
bertebaran di seluruh Mesir bagi membalas tindakan terhadap penggulingan Morsi.
Ikhwan
terkenal dengan keberanian, disiplin ahlinya dan kesediaan mereka untuk
mempertahankan ideologinya dan sebarang kenyataan yang provokatif mampu untuk
menambahkan minyak ke atas api yang sedang membara. Walaupun demikian hingga
saat ini, Ikhwan masih senyap dan tetap menyatakan bahawa mereka akan terus
membantah tindakan penggulingan Morsi dengan cara aman.
Namun siapa
yang boleh beri jaminan bahawa kerapuhan yang ada di Mesir berupaya untuk
mencetuskan kekacuan kelompok yang sukar untuk dikawal.
Amerika Bersuara
Obama
mengeluarkan kenyataan bahawa Amerika mengambil berat apa yang berlaku dan
meminta supaya demokrasi dikembalikan dalam suasana yang telus dan mahukan
penguasaan tentera dikembalikan kepada kuasa awam.
Malah Obama
mahukan tindakan undang-undang tidak dikenakan keatas Morsi dan penyokongnya.
Sudah tentu Amerika akan bertindak balas kerana Amerika mempunyai kepentingan
besar di Mesir. Mesir adalah negara Arab pertama yang mengiktirafi Israel pada
tahun 1979, sebelum ini Mesir mendapat bantuan ekonomi dan ketenteraan yang
besar. Setelah revolusi, bantuan awal US 250 juta diberikan atas semangat
reformasi demokrasi dan US 1billion dijanjikan untuk perkembangan selanjutnya
ketika Morsi membuat lawatan ke Amerika baru-baru ini.
Amerika juga
berharap Mesir terus kekal menjadi rakan bagi mengimbangi kuasanya memelihara
kewujudan Israel. Morsi tidak dilihat dapat memenuhi kehendak ini berpandukan
kepada sikap Ikhwan yang keras terhadap Israel.
Definisi Kuasa Rakyat
Pelik memahami
perkembangan di Mesir kerana Revoulusi Rakyat 25 Jan mahukan kuasa tentera
dikawal tetapi perhimpunan terkini di Tahrir Square menjemput kuasa Tentera
untuk menggulingkan Morsi.
Apakah
matlamat awal revolusi dikhianati dengan memberikan kuasa kepada tentera hanya
setelah 2 tahun revolusi? Apakah kehendak rakyat hanya boleh disampaikan
melalui tentera? Lebih penting ialah apakah makna demokrasi jika perlantikan
seseorang boleh dibatalkan di jalanraya tanpa peti-peti undi?
Para penentang
Morsi menegaskan bagaimana mereka tidak turun ke jalanraya sedangkan Morsi
gagal membentuk kerajaannya secara demokratik? Mesir akan melalui fasa-fasa
yang menyukarkan dalam menemui wajah sebenar demokrasi setelah terlalu lama
dicengkam otokrasi. Kesan reaksi selanjutnya sukar dibayangkan kerana selagi
tentera terus mempunyai kata putus dan kedua kelompok berkonflik mahu
menyatakan sikapnya, Mesir akan menyaksikan konflik berterusan.
Menarik
kata-kata Qaradhawi seorang ulamak besar yang menjadi penyokong terkuat
revolusi rakyat di Mesir bahawa “Bagaimana kita boleh bersabar dengan Mubarak
selama 30 tahun, tapi tidak boleh bersabar dengan Morsi setahun?
source:drmujahid.com
No comments:
Post a Comment