Sepasang suami isteri
muda sanggup menempah maut dengan membuat aksi ‘Wheelie’ di depan Dataran
Merdeka hanya semata-mata dicabar rakan mereka, malam kelmarin. Difahamkan,
pasangan suami isteri yang baru berkahwin setahun lalu itu tidak memikirkan
risiko yang bakal ditanggung sebaliknya menunjukkan kemahiran ‘bodoh’ mereka
menunggang motosikal Yamaha 125, kira-kira jam 7 malam.
Sumber polis berkata,
si isteri yang berusia 19 tahun juga didapati tanpa berasa takut membantu
suaminya berusia awal 20-an mengimbangi badannya sepanjang melakukan aksi
berbahaya itu di Jalan Raja Laut. Menurutnya, perbuatan pasangan terbabit
dikesan anggota Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) yang ketika itu
sedang melakukan Ops Samseng Jalanraya di sekitar ibu kota.
“Ketika itu, pasangan
berkenaan berada di lampu isyarat Jalan Raja Laut sebelum membuat aksi
‘Wheelie’ sebaik lampu bertukar hijau sejauh beberapa meter. “Pasangan itu
kemudian memecut laju ke Jalan Sultan Ismail dan akhirnya dicekup di Jalan
Ampang ketika memberhentikan motosikalnya,”
Siasatan mendapati mereka adalah pasangan suami isteri
dan melakukan aksi berkenaan akibat dicabar rakan.
“Pasangan berkenaan
kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur. Si suami ditahan mengikut
Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara
melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain yang
boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau
kedua-duanya.
“Isterinya pula
dibebaskan dengan dijamin anggota keluarganya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai
Turus Kuatkuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan A Asmadi
Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.-metro
No comments:
Post a Comment